Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS sedia runding nuklear secara langsung, Teheran nafi dakwaan

Apr 8, 2025 | 11:28 AM
Gambar fail menunjukkan anggota tentera mengawal kemudahan nuklear di Zardanjan dekat Isfahan, Iran, pada 19 April 2024.
Gambar fail menunjukkan anggota tentera mengawal kemudahan nuklear di Zardanjan dekat Isfahan, Iran, pada 19 April 2024. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, membuat pengumuman mengejut pada 7 April bahawa Amerika dan Iran sedia untuk memulakan perbincangan langsung mengenai program nuklear Teheran, tetapi Menteri Luar Iran berkata perbincangan di Oman adalah secara tidak langsung.

Membayangkan laluan sukar untuk dua musuh geopolitik itu mencapai perjanjian, Encik Trump mengeluarkan amaran keras bahawa jika rundingan itu tidak berjaya, “Iran akan berada dalam bahaya besar”.

Iran telah menolak tuntutan Encik Trump dalam beberapa minggu kebelakangan ini bahawa ia akan secara langsung berunding mengenai program nuklearnya atau hadapi risiko dibom, dan ia nampaknya berpegang pada pendirian itu pada 7 April.

“Kami sedang mengadakan perbincangan terus dengan Iran, dan ia telah bermula. Ia akan berlangsung pada 12 April.

“Kami akan mengadakan mesyuarat yang sangat besar, dan kami akan melihat apakah yang akan berlaku,” kata Encik Trump kepada pemberita semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di Pejabat Oval.

“Dan saya fikir semua orang akur bahawa mencapai perjanjian adalah lebih baik,” kata beliau sambil menambah bahawa rundingan dengan Iran akan berada pada tahap tinggi.

Beliau enggan menyatakan di mana rundingan itu akan diadakan tetapi menegaskan kemungkinan perjanjian boleh dicapai.

Dalam hantaran menerusi wadah X, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, menyatakan bahawa rundingan peringkat tinggi tidak langsung akan diadakan di Oman. Ia adalah satu peluang dan ujian. Keputusan kini berada di sebelah Amerika.”

Amerika dan Iran mengadakan perbincangan tidak langsung semasa penggal mantan Presiden Joe Biden tetapi ia gagal mencapai sebarang kemajuan.

Rundingan langsung terakhir yang diketahui antara kedua-dua pemerintah adalah di bawah Presiden Barack Obama yang ketika itu menerajui perjanjian nuklear antarabangsa 2015 yang kemudian diketepikan oleh Encik Trump.

Amaran Encik Trump mengenai tindakan ketenteraan terhadap Iran telah menimbulkan ketegangan di seluruh Timur Tengah selepas peperangan meletus di Gaza dan Lebanon, serangan tentera ke atas Yaman, pertukaran kepimpinan di Syria dan pertukaran tembakan Israel-Iran.

Encik Trump, yang telah meningkatkan kehadiran tentera Amerika di rantau itu sejak memegang jawatan pada Januari, berkata beliau lebih suka perjanjian nuklear dengan Iran dicapai daripada konfrontasi bersenjata.

Untuk itu, beliau telah menulis kepada Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei untuk mengadakan perbincangan.

Pegawai Iran berkata pada masa itu bahawa Teheran tidak akan dibuli untuk kembali ke meja rundingan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg