TEHERAN: Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, pada 25 Februari menolak kemungkinan rundingan langsung dengan Amerika Syarikat mengenai program nuklear negaranya.
Kenyataannya dibuat sehari selepas Washington mengumumkan sekatan baru ke atas Teheran yang menyasarkan lebih 30 kapal dan individu, termasuk ketua syarikat minyak nasional, yang dituduh terlibat dalam penjualan dan penghantaran minyak Iran.
Sekatan itu adalah yang terbaru dikenakan sejak Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengenakan semula dasar “tekanan maksimum” terhadap Iran, mengulangi pendekatannya semasa penggal pertamanya.
“Tidak akan ada kemungkinan perbincangan langsung antara kami dengan Amerika mengenai isu nuklear selagi tekanan maksimum dikenakan dengan cara ini,” kata Encik Araghchi, semasa taklimat akhbar bersama rakan sejawatannya dari Russia, Encik Sergei Lavrov.
“Mengenai rundingan nuklear, pendirian Iran sangat jelas. Kami tidak akan berunding di bawah tekanan, ancaman atau sekatan,” tegasnya.
Encik Lavrov tiba di Teheran pada 25 Februari untuk berbincang dengan Encik Araghchi dan pegawai kanan lain mengenai pelbagai topik termasuk hubungan dua hala, perkembangan serantau dan perjanjian nuklear 2015 antara Iran dengan kuasa besar.
Semasa penggal pertama Encik Trump yang berakhir pada 2021, Washington menarik diri daripada perjanjian penting yang telah mengenakan sekatan ke atas program nuklear Iran sebagai balasan bagi pelepasan sekatan.
Pada 24 Februari, Iran mengadakan pusingan rundingan baru dengan Jerman, Perancis dan Britain mengenai program nuklearnya selepas menghidupkan semula penglibatan dengan tiga negara itu, dikenali sebagai E3, pada akhir 2024.
Encik Araghchi berkata beliau telah memberi taklimat kepada Encik Lavrov tentang perbincangan terkini.
“Mengenai isu nuklear, kami akan bergerak ke hadapan dengan kerjasama dan penyelarasan rakan-rakan kami di Russia dan China,” ujarnya.
Dengan Russia berdepan sekatan berhubung perangnya di Ukraine, Moscow dan Teheran telah meningkatkan kerjasama mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ukraine dan sekutu Baratnya telah menuduh Iran membekalkan Russia dengan senjata untuk digunakan dalam perang – dakwaan yang telah Iran nafikan berulang kali.
Semasa lawatan ke Moscow pada Januari, Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, telah menandatangani perkongsian strategik dengan rakan sejawatannya dari Russia, Presiden Vladimir Putin, yang menyokong kerjasama ekonomi dan ketenteraan mereka.
Kedudukan kedua-dua Iran dan Russia terjejas teruk di Syria pada Disember 2024 apabila kumpulan pemberontak menggulingkan sekutu lama mereka rejim Bashar al-Assad. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg