WASHINGTON: Komand Pusat Amerika Syarikat (Centcom) pada 14 April mendakwa tiada sebarang kapal berjaya melepasi sekatan laut Amerika Syarikat terhadap Iran dalam tempoh 24 jam pertama pelaksanaannya, walaupun data penjejakan maritim menunjukkan gambaran yang lebih kompleks.

Menurut kenyataan rasmi, enam kapal dagang telah diarahkan berpatah balik ke pelabuhan Iran di Teluk Oman selepas berhubung melalui radio dengan tentera Amerika.

“Tiada kapal berjaya melepasi sekatan dan enam kapal dagang telah mematuhi arahan untuk berpatah balik,” kata Centcom dalam satu kenyataan.

Sekatan itu dilaksanakan susulan kegagalan rundingan antara Washington dan Teheran di Islamabad, dengan Presiden Donald Trump berikrar menekan Iran kembali ke meja rundingan. Langkah tersebut termasuk sekatan ke atas laluan strategik Selat Hormuz, yang mula berkuat kuasa 13 April lalu.

Centcom memaklumkan operasi itu melibatkan lebih 10,000 anggota tentera termasuk pelaut, marin dan juruterbang, disokong lebih 12 kapal perang serta puluhan pesawat. Sekatan itu dikuatkuasakan secara menyeluruh tanpa mengira negara asal kapal.

“Ia dilaksanakan secara tidak berat sebelah terhadap semua kapal yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran,” menurut kenyataan itu.

Selain Teluk Oman, sekatan turut meliputi kawasan Laut Arab di timur Selat Hormuz, satu laluan penting yang sebelum konflik menyaksikan lebih 120 kapal melaluinya setiap hari, membawa sekitar satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.

Namun, laporan media dan data industri menunjukkan sekatan itu mungkin tidak dilaksanakan sepenuhnya dengan berkesan.

Menurut laporan The Wall Street Journal, kira-kira 20 kapal komersial dilaporkan masih melalui Selat Hormuz dalam tempoh 24 jam pertama sekatan.

Firma data maritim Kpler mengesan sekurang-kurangnya dua kapal yang berlepas dari pelabuhan Iran berjaya merentasi selat tersebut.

Penganalisis perkapalan berpendapat pergerakan kapal yang berhenti sejurus keluar dari selat berkemungkinan menunjukkan mereka diarahkan supaya tidak meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, masa sebenar kapal-kapal itu berlepas berbanding waktu pelaksanaan sekatan masih belum dapat dipastikan dengan jelas.

Sekatan ini menandakan perubahan besar dalam strategi Washington. Sebelum ini, Amerika tidak menyekat aliran minyak Iran secara langsung bagi mengelakkan lonjakan harga global. Namun kini, langkah lebih agresif diambil untuk menekan ekonomi Teheran.

Selepas konflik bermula pada 28 Februari, Iran sendiri telah menyekat sebahagian besar trafik komersial melalui ancaman dan serangan terhadap kapal, sekali gus mengurangkan bekalan tenaga ke pasaran dunia.

Kesannya, harga petrol dan diesel global meningkat mendadak, memberi tekanan kepada ekonomi dan kerajaan di pelbagai negara.

Walaupun Amerika menyatakan kapal neutral dibenarkan melalui laluan tersebut, syarikat perkapalan masih berada dalam keadaan tidak pasti.

Jurucakap Hapag-Lloyd, Encik Nils Haupt berkata syarikat itu tidak menerima sebarang panduan rasmi daripada pihak Amerika.

Ketiadaan maklumat jelas menyebabkan syarikat terpaksa bergantung kepada laporan media untuk membuat keputusan operasi.

Pakar maritim, Encik Salvatore Mercogliano menyatakan kapal yang berkait dengan Iran berkemungkinan enggan memasuki kawasan timur selat kerana kehadiran kapal perang Amerika. “Mereka tidak mahu keluar,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Encik Noam Raydan, berkata tindakan sebuah kapal tangki China yang berpatah balik selepas melalui selat menunjukkan kesan langsung sekatan tersebut. “Ini boleh dikaitkan dengan sekatan,” katanya. - Agensi berita