Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi desak AS henti sekatan sedang kapal China lepasi Selat Hormuz
Saudi desak AS henti sekatan sedang kapal China lepasi Selat Hormuz
Saudi desak AS henti sekatan sedang kapal China lepasi Selat Hormuz
RIYADH: Arab Saudi menggesa Amerika Syarikat supaya menarik balik sekatan di Selat Hormuz dan kembali kepada rundingan diplomatik, di tengah-tengah kebimbangan langkah tersebut boleh mencetuskan ketegangan lebih luas di rantau Asia Barat.
Menurut pegawai Arab yang dipetik media antarabangsa, Riyadh bimbang tekanan berterusan ke atas Iran berisiko mencetuskan tindak balas lebih agresif, termasuk gangguan terhadap laluan perkapalan utama dunia.
Salah satu kebimbangan utama ialah Selat Bab al-Mandeb, laluan penting bagi perdagangan sejagat dan eksport minyak Arab Saudi.
Pegawai berkenaan memberi amaran bahawa Iran mungkin bertindak balas dengan menyasarkan atau mengehadkan laluan tersebut.
“Sebarang gangguan di Bab al-Mandeb akan memberi kesan besar kepada bekalan tenaga sejagat,” kata seorang pegawai.
Sekatan Amerika yang bertujuan meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Teheran dilaksanakan selepas Iran sebelum ini menyekat pergerakan kapal di Selat Hormuz sepanjang konflik.
Tindakan itu telah mengurangkan sebahagian besar penghantaran minyak sejagat dan mendorong kenaikan harga secara mendadak.
Walaupun usaha diplomatik diadakan untuk mencapai persetujuan, rundingan gagal menghasilkan persetujuan, menyebabkan Washington meneruskan sekatan terhadap pelabuhan Iran.
Rumah Putih menegaskan matlamat utama sekatan adalah untuk memastikan kebebasan pelayaran dan menghalang Iran daripada menggunakan laluan strategik sebagai alat untuk memberi tekanan.
Pegawai Amerika berkata mereka masih berhubung rapat dengan rakan di Teluk dalam melaksanakan strategi tersebut.
Namun, Arab Saudi dilaporkan berjaya mengekalkan eksport minyak hampir pada paras sebelum konflik dengan menyalurkan bekalan melalui laluan darat ke Laut Merah.
Walaupun begitu, sebarang gangguan di Bab al-Mandeb boleh menjejas laluan alternatif itu.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kapal tangki milik China yang dikenakan sekatan Amerika, Rich Starry, dilaporkan berjaya melalui Selat Hormuz pada 14 April walaupun sekatan sedang berkuat kuasa.
Data perkapalan menunjukkan kapal itu menjadi antara yang pertama berjaya keluar dari Teluk sejak sekatan dilaksanakan.
Kapal tersebut membawa kira-kira 250,000 tong metanol yang dimuatkan di pelabuhan Hamriyah, Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Syarikat pemilik kapal, Shanghai Xuanrun Shipping, sebelum ini dikenakan sekatan kerana berurusan dengan Iran.
Selain itu, sebuah lagi kapal tangki yang turut dikenakan sekatan, Murlikishan, dilaporkan menuju ke selat tersebut dan dijangka memuatkan minyak bahan api di Iraq dalam masa terdekat. – Agensi berita.
