BEIRUT: Di tengah runtuhan bangunan dan kesan perang yang masih jelas kelihatan, kehidupan perlahan-lahan kembali berdenyut di Dahiya, kawasan pinggir selatan Beirut yang menjadi kubu kuat kumpulan Hezbollah.

Kesesakan lalu lintas kembali memenuhi jalan raya.

Kedai roti sekali lagi mengeluarkan roti leper panas dari ketuhar, manakala kafe dipenuhi pelanggan yang menonton aksi Piala Dunia 2026 sehingga lewat malam.

Namun di sebalik suasana yang kelihatan semakin pulih, kesan peperangan masih membelenggu kawasan padat penduduk itu.

“Perang ini membawa terlalu banyak kehilangan,” kata Encik Issa Fahs, 51 tahun, pemilik kedai kosmetik di Dahiya.

“Namun kami cuba terus positif dan meneruskan kehidupan.”

Dahiya menjadi sasaran utama serangan Israel sejak konflik melibatkan Hezbollah dan Israel kembali memuncak selepas perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran pada Mac lalu.

Ketika itu, Hezbollah melancarkan serangan roket dan dron ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas Iran, sebelum Israel membalas dengan siri serangan udara ke atas Dahiya.

Serangan pertama berlaku ketika umat Islam sedang bersiap untuk bersahur pada Ramadan.

Penduduk yang panik segera meninggalkan rumah masing-masing, mengulangi trauma perang Israel-Hezbollah pada 2024.

Ada yang berlindung di kawasan pantai Beirut, tinggal bersama saudara-mara atau tidur di dalam kereta hanya beberapa blok dari rumah mereka sendiri.

“Pada waktu itu, semua orang hanya mahu melarikan diri,” kata Encik Mohamed Trad, 45 tahun, pengurus sebuah kafe dan kedai shisha.

“Kami tidak tahu sama ada rumah kami masih akan wujud keesokan harinya.”

Selepas beberapa siri gencatan senjata sementara dan rundingan yang disokong Amerika, Israel dan Lebanon akhirnya menandatangani perjanjian awal pada pertengahan Jun bagi mengurangkan ketegangan.

Walaupun gencatan senjata masih rapuh dan beberapa serangan Israel terus berlaku selepas itu, penduduk mula kembali semula ke Dahiya sedikit demi sedikit.

Kini, jentolak masih sibuk mengalihkan runtuhan konkrit, tetapi kedai-kedai sudah mula dibuka dan suasana bandar semakin hidup.

“Kami kembali,” kata Encik Trad sambil menghembus asap shisha di kafenya yang baru dibaik pulih.

“Tiada tempat seperti Dahiya. Ini tempat terbaik di Lebanon.”

Menurut Amnesty International, Israel mengeluarkan sekurang-kurangnya 27 arahan pemindahan besar-besaran di Dahiya antara Mac hingga Mei lalu.

Pertubuhan hak asasi itu turut menuduh penggunaan amaran pemindahan secara meluas oleh Israel melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa kerana menjejaskan penduduk awam secara besar-besaran.

Israel pula mempertahankan tindakannya dengan mendakwa Dahiya menjadi lokasi operasi dan prasarana Hezbollah.

Bagi kebanyakan penduduk, peperangan bukan sahaja memusnahkan rumah, tetapi turut menjejaskan ekonomi mereka.

Encik Trad berkata beliau kerugian hampir AS$27,000 ($34,932) selepas sebuah bangunan berhampiran menjadi sasaran serangan Israel sehingga menyebabkan kedainya rosak teruk.

Encik Fahs pula berkata kedai kosmetiknya terpaksa ditutup selama beberapa bulan selepas letupan memecahkan keseluruhan cermin premis.

Katanya, sebelum perang, pelanggan datang dari pelbagai kawasan di Lebanon kerana harga jualannya lebih murah.

“Saya kehilangan ribuan dolar setiap hari ketika kedai ditutup,” katanya.

Perang Iran-Israel juga menjejaskan import barangan dari China dan Turkey yang menjadi sumber utama produk jualannya.

Walaupun keadaan semakin pulih, tidak semua penduduk kembali ke Dahiya.

Ramai masih tinggal di pusat perlindungan sementara kerana rumah mereka musnah atau rosak teruk.

Ada juga warga emas yang enggan pulang kerana takut berdepan satu lagi kitaran serangan dan pemindahan.

Golongan pekerja migran dari Bangladesh, Ethiopia, Sudan dan Syria antara yang paling terkesan.

Ramai kehilangan pekerjaan dan tempat tinggal selepas melarikan diri dari kawasan itu.

Pengasas pertubuhan sokongan pekerja migran Ethiopia, Banchi Yimer, berkata ada pemilik rumah yang enggan membenarkan penyewa mengambil semula barangan mereka selagi tunggakan sewa tidak dijelaskan.

“Ia seperti neraka bagi mereka,” katanya.

Di sebalik kesukaran itu, suasana Asyura yang semakin hampir memberi sedikit kekuatan moral kepada masyarakat Syiah di Dahiya.

Asyura memperingati kematian cucu Nabi Muhammad saw, Imam Hussein, dalam peperangan Karbala pada tahun 680 Masihi dan dianggap antara detik paling penting dalam sejarah Islam Syiah.

Di sekitar Dahiya, sukarelawan berpakaian hitam mengagihkan air minuman dan kopi kepada orang ramai, selain memasak harissa bubur gandum dan daging dalam kawah besar untuk diagihkan kepada penduduk serta golongan miskin.

Setiap malam, penduduk turut berkumpul di dataran kejiranan untuk berdoa dan mendengar ucapan pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem.

Encik Ali Alawiyeh, 39 tahun, berkata beliau tidak dapat membayangkan menyambut Asyura jauh dari Dahiya walaupun keadaan keselamatan masih tidak menentu.

“Asyura mengajar kami supaya tidak takut dan terus mempertahankan apa yang benar,” katanya selepas kembali bersama isteri dan dua anaknya.

“Kami perlu teruskan kehidupan.”

Walaupun suasana semakin hidup, bunyi dron Israel masih kedengaran di langit Beirut hampir setiap hari, mengingatkan penduduk bahawa keamanan sebenar masih belum pasti.

Namun buat masa ini, penduduk Dahiya memilih untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Di celah runtuhan bangunan, penjual buah kembali menyusun tembikai dan pic di gerai tepi jalan, motosikal menyelit di tengah kesesakan, dan sorakan bola sepak kembali memenuhi kafe-kafe Beirut selatan.

Bagi mereka, kembali ke Dahiya bukan sekadar pulang ke rumah, tetapi simbol ketahanan hidup selepas berbulan-bulan dibelenggu perang. – Agensi berita.