WASHINGTON: Amerika Syarikat melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas sasaran di selatan Iran selepas mendakwa Tehran bertanggungjawab menyerang tiga kapal perdagangan di Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan semula ketegangan yang mengancam perjanjian gencatan senjata sementara antara kedua-dua negara.

Pada masa sama, Washington turut menarik balik kelonggaran sekatan yang sebelum ini membenarkan Iran menjual minyak di pasaran dunia, tindakan yang disifatkan Teheran sebagai pencabulan terhadap memorandum damai yang dipersetujui Jun lalu.

 Markas Pusat Amerika (Centcom) memaklumkan tenteranya melancarkan serangan bagi mengenakan “kos yang tinggi” terhadap Iran susulan serangan ke atas kapal perdagangan yang melalui laluan perkapalan antarabangsa itu.

“Kami telah memulakan beberapa siri serangan berkuasa tinggi terhadap sasaran di Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal perdagangan yang dikendalikan anak kapal awam tidak bersalah di perairan antarabangsa,” menurut kenyataan Centcom.

Centcom turut menegaskan tindakan Iran adalah “agresif, berbahaya dan melanggar syarat gencatan senjata” yang dipersetujui selepas perang singkat antara kedua-dua negara.

Menurut pegawai Amerika, tiga kapal perdagangan terbabit termasuk sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi dan sebuah kapal pembawa gas asli cecair (LNG) Qatar yang berada berhampiran pantai Oman.

Insiden itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan Selat Hormuz, yang mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak dunia, ketika usaha sedang dijalankan untuk memulihkan semula aliran perdagangan tenaga selepas konflik bersenjata baru-baru ini.

Setakat ini, Iran belum mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas kapal-kapal berkenaan.
Pihak berkuasa Iran juga belum mengeluarkan kenyataan rasmi kerana negara itu masih mengadakan upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi, Ali Khamenei, yang terbunuh pada hari pertama perang dengan Amerika dan Israel.

Rundingan antara Washington dan Tehran turut ditangguhkan sehingga selesai tempoh berkabung itu.

Media pemerintah Iran, I.R.I.B., bagaimanapun melaporkan beberapa individu cedera akibat serpihan letupan selepas satu objek dipercayai peluru musuh mengenai kawasan pelabuhan komersial di Sirik, wilayah Hormozgan.

Mangsa dilaporkan dihantar ke hospital di Minab untuk menerima rawatan.

Beberapa letupan turut dilaporkan berlaku di Bandar Abbas, Qeshm dan Sirik, iaitu kawasan strategik berhampiran Selat Hormuz yang menempatkan pangkalan tentera serta kemudahan perdagangan utama Iran.

Pihak pentadbiran wilayah Hormozgan berkata sehingga kini tiada kematian orang awam dilaporkan.
Serangan terbaharu itu berlaku hanya beberapa jam selepas Jabatan Perbendaharaan Amerika membatalkan pengecualian sekatan terhadap eksport minyak Iran.

Kelonggaran itu sebelum ini diberikan selama 60 hari sebagai sebahagian daripada memorandum damai yang dimeterai di Islamabad pada 18 Jun lalu bagi menggalakkan Iran kembali menjual minyak secara sah ke pasaran antarabangsa.

Dengan pembatalan pengecualian berkenaan, Iran tidak lagi dibenarkan menjual minyak secara terbuka menggunakan dolar Amerika.

Washington sebelum ini berharap insentif ekonomi itu dapat menggalakkan pemimpin Iran meneruskan rundingan damai dan mengehadkan program nuklearnya.

Bagaimanapun, pegawai Iran menuduh Amerika melanggar syarat utama memorandum tersebut.

Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Undang-Undang dan Antarabangsa, Encik Kazem Gharibabadi, berkata tindakan Washington jelas bertentangan dengan perjanjian yang bertujuan menamatkan perang.

“Tindakan menarik balik kelonggaran sekatan minyak dan melancarkan serangan ketenteraan jelas melanggar memorandum yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Kementerian Luar Iran turut menyifatkan tindakan Amerika sebagai pencabulan terhadap komitmen berkaitan pelepasan sekatan ekonomi dan eksport minyak.

Sementara itu, Presiden Donald Trump, ketika menghadiri sidang pemimpin Nato di Ankara sebelum serangan dilancarkan, dilihat memperkecilkan konflik berkenaan.

“Ini bukan perang. Ia adalah operasi ketenteraan. Matlamatnya ialah nyahnuklearisasi,” katanya.

Serangan terbaharu itu mengingatkan kembali insiden pada 26 Jun lalu apabila tentera AS menyerang beberapa lokasi penyimpanan peluru berpandu, dron dan radar pantai Iran sebagai tindak balas terhadap serangan dron Tehran ke atas kapal kontena Ever Lovely sehari sebelumnya.

Encik Trump sebelum itu mendakwa Iran melancarkan sekurang-kurangnya empat dron berani mati, dengan sebuah daripadanya mengenai dek atas kapal berkenaan, manakala tiga lagi berjaya dipintas tentera Amerika.

Walaupun kapal itu mengalami kerosakan, ia dilaporkan meneruskan pelayaran.

Perkembangan terbaru sekali lagi mencetuskan kebimbangan bahawa usaha memulihkan keselamatan di Selat Hormuz akan menjadi semakin sukar.

Walaupun memorandum damai membenarkan pembukaan semula laluan itu kepada semua kapal perdagangan, kedua-dua negara masih berbeza pendapat mengenai kaedah pelaksanaannya.

Iran mahu semua kapal menggunakan laluan berhampiran pantainya yang berada di bawah kawalan tenteranya, manakala banyak syarikat perkapalan memilih laluan berhampiran pantai Oman dengan perlindungan tentera laut Amerika.

Ketegangan baharu itu turut menggoncang pasaran tenaga dunia.

Harga minyak mentah Brent melonjak lebih enam peratus kepada sekitar AS$76.50 (S$103.60) setong, paras tertinggi dalam tempoh hampir dua minggu, apabila pelabur bimbang konflik yang kembali memuncak akan mengganggu bekalan minyak dan gas global melalui Selat Hormuz.