AS serang hab minyak Kharg di Iran, gesa Selat Hormuz dibuka semula
AS serang hab minyak Kharg di Iran, gesa Selat Hormuz dibuka semula
Trump: Tentera Laut AS akan ‘segera’ mula iringi kapal tangki melalui Selat Hormuz
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata sasaran tentera di Pulau Kharg telah “dimusnahkan sepenuhnya”.
Beliau turut memberi amaran akan menyerang kemudahan minyak Iran jika negara itu melakukan sebarang tindakan yang mengganggu laluan di Selat Hormuz.
Amaran yang dikeluarkan pada 13 Mac itu berpotensi mencetuskan lebih banyak ketidaktentuan dalam pasaran yang sedang mengalami gangguan bekalan minyak yang ketara.
Pulau Kharg, yang terletak di sekitar 500 kilometer barat laut selat itu, merupakan terminal eksport bagi 90 peratus penghantaran minyak Iran.
Serangan Amerika tidak menyasarkan prasarana minyak di Kharg, tetapi “sekiranya Iran, atau mana-mana pihak lain melakukan sebarang tindakan untuk mengganggu laluan perkapalan yang selamat dan bebas melalui Selat Hormuz, saya akan segera mempertimbangkan semula keputusan ini”, tulis Encik Trump di wadah Truth Social.
Presiden Amerika itu mendakwa Iran tidak mampu mempertahankan negara mereka daripada serangan Amerika.
“Tentera Iran, dan semua yang terlibat dengan Rejim Pengganas ini, dinasihatkan supaya meletakkan senjata dan menyelamatkan apa yang tinggal daripada negara mereka – yang tidak banyak!” tulis Encik Trump.
Encik Trump memberitahu wartawan pada 13 Mac bahawa Tentera Laut Amerika akan “segera” mula mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz – iaitu laluan yang menyumbang kepada 20 peratus bekalan tenaga fosil dunia.
Dengan perang ke atas Iran memasuki minggu ketiga, negara itu tidak menunjukkan sebarang petanda akan menyerah atau tunduk kepada tekanan ketenteraan Amerika dan Israel.
Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Mojtaba Khamenei, yang menggantikan bapanya yang terbunuh, berkata laluan air strategik itu perlu terus ditutup sebagai cara untuk memberi tekanan.
Sebagai respons terhadap serangan di Kharg, angkatan bersenjata Iran menegaskan bahawa sebarang serangan ke atas prasarana minyak dan tenaga negara itu akan mengakibatkan serangan balas ke atas kemudahan milik syarikat minyak yang bekerjasama dengan Amerika di rantau tersebut, lapor media Iran.
Memetik sumber, agensi berita Iran, Fars, melaporkan lebih daripada 15 letupan kedengaran di pulau itu semasa serangan Amerika.
Menurut sumber tersebut, kemudahan pertahanan udara, pangkalan laut dan lapangan terbang telah diserang, namun prasarana minyak mereka tidak mengalami sebarang kerosakan.
Iran, yang meningkatkan pengeluaran minyak menjelang pelancaran perang oleh Amerika dan Israel pada 28 Februari, masih meneruskan penghantaran minyak pada kadar sekitar 1.1 juta hingga 1.5 juta tong sehari, menurut data daripada TankerTracker.com dan Kpler.
Sebahagian besar minyak yang dihantar dari Iran melalui Pulau Kharg disalurkan ke negara pengeksport minyak mentah terbesar dunia, China.
Pasaran sedang memerhati sebarang petanda jika serangan Amerika itu telah merosakkan rangkaian rumit paip, terminal dan tangki simpanan di pulau itu.
Sebarang gangguan – meskipun kecil – boleh menambah ketegangan bekalan minyak dunia, sekali gus memberi tekanan kepada pasaran yang tidak stabil.
Iran turut mendakwa mereka berjaya menembak jatuh lima dron di ruang udaranya, menjadikan jumlah keseluruhan dron Amerika dan Israel yang dijatuhkan semasa tempoh perang itu meningkat kepada 114, lapor televisyen rasmi Iran pada 14 Mac.
Harga minyak menunjukkan ketidaktentuan ketara susulan kenyataan Encik Trump yang berubah-ubah mengenai tempoh perang yang dijangka.
Perang tersebut bermula pada 28 Februari dengan serangan besar-besaran Amerika dan Israel ke atas Iran dan ia merebak secara pantas sehingga meruncing menjadi konflik serantau yang memberi kesan luas ke atas pasaran tenaga dan saham di seluruh dunia. – Reuters.

