Trump dakwa Iran ‘hampir menyerah’, operasi ketenteraan berjaya
Trump dakwa Iran ‘hampir menyerah’, operasi ketenteraan berjaya
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberitahu pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) bahawa Iran “hampir menyerah kalah” dalam konflik yang sedang berlangsung di Asia Barat, menurut laporan portal berita Axios yang memetik tiga pegawai negara G7 yang diberi taklimat mengenai perbualan tersebut.
Menurut laporan itu, Encik Trump membuat kenyataan tersebut ketika satu mesyuarat maya bersama pemimpin G7 pada Rabu.
Dalam perbincangan tersebut, beliau turut memuji kejayaan operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Operasi “Epic Fury”, yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dalam konflik dengan Iran.
“Beliau (Trump) memberitahu sekutu bahawa beliau telah ‘menyingkirkan kanser yang mengancam kita semua’,” menurut laporan Axios yang memetik sumber yang mengetahui kandungan perbualan tersebut.
Encik Trump juga dilaporkan berkata keadaan kepimpinan di Iran kini tidak jelas susulan konflik yang berterusan. “Tiada siapa yang tahu siapa pemimpin sekarang, jadi tiada siapa yang boleh mengumumkan penyerahan,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Setakat ini, Rumah Putih belum memberikan sebarang komen rasmi mengenai laporan itu ketika diminta oleh media di luar waktu operasi biasa.
Dalam kenyataan berasingan pada hari yang sama, Encik Trump turut melontarkan kritikan keras terhadap kepimpinan Iran ketika konflik di Asia Barat menghampiri minggu kedua.
Beliau menyifatkan pemimpin Iran sebagai “tidak waras” dan mendakwa tindakan ketenteraan terhadap mereka sebagai satu langkah yang perlu.
Encik Trump juga berkata beliau berbangga dengan tindakan tersebut di tengah pertukaran serangan dron dan peluru berpandu yang semakin meningkat di rantau tersebut.
Konflik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran kini memasuki minggu kedua, dengan serangan udara, dron dan peluru berpandu dilaporkan berlaku hampir setiap hari di beberapa bahagian Asia Barat.
Keadaan itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai kemungkinan konflik tersebut merebak ke negara lain di rantau tersebut serta kesannya terhadap kestabilan keselamatan dan ekonomi global. - Agensi berita

