TEHERAN: Amerika Syarikat melancarkan satu lagi siri serangan ke atas Iran ketika konflik yang berpunca daripada pertikaian mengenai Selat Hormuz memasuki hari kelima berturut-turut, dengan kedua-dua negara terus bertukar serangan di tengah-tengah kebuntuan diplomatik.

Media pemerintah Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di beberapa wilayah pada malam 15 Julai dan awal pagi 16 Julai, manakala sistem pertahanan udara di ibu negara, Teheran, diaktifkan bagi menghadapi ancaman serangan.

Tentera Iran pula mendakwa melancarkan serangan balas terhadap pangkalan tentera Amerika di Kuwait dan Jordan, termasuk menyasarkan beberapa tapak radar yang digunakan tentera Amerika.

Bagaimanapun, tentera Jordan memaklumkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas lapan peluru berpandu Iran tanpa menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan.

Sebelum itu, tentera Iran mendakwa melancarkan serangan dron ke Pangkalan Udara Al-Azraq di Jordan dengan menyasarkan radar tetap, sistem komunikasi dan tangki bahan api yang digunakan tentera Amerika.

Iran berkata serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Amerika ke atas Pangkalan Briged Ke-388 Tentera Iran di Bampur, wilayah Sistan dan Baluchestan, yang mengorbankan tujuh anggota tentera.

Markas Pusat Amerika (Centcom) mengesahkan serangan terbarunya menyasarkan pusat pemerintahan tentera Iran, sistem pertahanan udara serta keupayaan peluru berpandu dan dron negara itu.

Menurut Pentagon, operasi itu bertujuan melemahkan keupayaan Iran mengancam laluan perkapalan di Selat Hormuz, yang menjadi antara laluan paling penting bagi penghantaran minyak dan gas dunia.

Serangan Amerika itu dibuat selepas Iran melancarkan beberapa serangan terhadap kemudahan tentera Amerika di Asia Barat.

Pada masa sama, Washington menguatkuasakan semula sekatan terhadap pelabuhan Iran dengan mengerahkan aset tentera laut bagi menghalang pergerakan maritim negara itu, selepas Presiden Donald Trump membatalkan cadangan mengenakan bayaran kepada kapal yang menggunakan Selat Hormuz.

Perubahan dasar itu mencerminkan kesukaran pentadbiran Encik Trump menamatkan konflik yang pada asalnya dijangka hanya berlangsung antara empat hingga enam minggu tetapi kini memasuki bulan kelima.

Konflik berkenaan telah mengorbankan ramai nyawa, menggugat kestabilan Asia Barat serta memberi kesan kepada ekonomi global.

Di Teheran, Ketua Perunding Iran yang juga Speaker Parlimen, Brigedier Jeneral Mohammad Bagher Ghalibaf, menyifatkan konflik itu sebagai “perang yang menentukan kelangsungan negara”.

Beliau menegaskan Iran akan terus mempertahankan kepentingannya di medan perang, namun pada masa sama menegaskan pintu rundingan dengan Amerika masih belum ditutup.

“Rundingan pada ketika ini bukan bermaksud menyerah kalah.

“Perang dan diplomasi adalah dua pendekatan untuk mempertahankan kepentingan negara,” katanya dalam ucapan yang disiarkan televisyen pemerintah.

Beliau berkata Iran perlu mengimbangi tindakan ketenteraan dengan usaha diplomatik bagi mencapai penyelesaian jangka panjang.

Menurut Encik Ghalibaf, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin konservatif Iran, dengan sebahagian mahu meneruskan peperangan sepenuhnya manakala sebahagian lagi melihat rundingan sebagai jalan terbaik untuk memulihkan ekonomi negara.

Beliau turut mengakui dirinya menjadi sasaran kritikan golongan konservatif kerana menerajui rundingan dengan Amerika.

Namun, katanya, segala keputusan dibuat demi kepentingan Iran dengan restu Pemimpin Tertinggi baharu, Ayatollah Mojtaba Khamenei.

Encik Ghalibaf turut menuduh Washington melanggar memorandum persefahaman damai yang dimeterai Jun lalu dengan cuba menafikan kawalan Iran ke atas Selat Hormuz.

Beliau menegaskan kawalan terhadap selat itu adalah sebahagian daripada keselamatan negara Iran.

Walaupun kedua-dua negara mengisytiharkan memorandum persefahaman dan gencatan senjata yang dimeterai sebelum ini sudah terbatal, Encik Ghalibaf tetap memberi isyarat bahawa penyelesaian menerusi dialog masih boleh dicapai.

“Kita tidak perlu takut kepada peperangan atau rundingan. Kedua-duanya adalah kaedah mempertahankan kepentingan negara,” katanya.

Penganalisis Kumpulan Eurasia, Encik Gregory Brew, berkata kenyataan Encik Ghalibaf cuba menghantar mesej kepada dua pihak.

Menurutnya, kepada masyarakat antarabangsa, Iran mahu menunjukkan kesediaan berunding bagi mengelakkan konflik menjadi lebih buruk.

Pada masa sama, beliau cuba meredakan perpecahan dalam negara berhubung sama ada Iran perlu kembali ke meja rundingan atau meneruskan peperangan.

Dalam perkembangan berasingan, Encik Trump mengumumkan Iran telah membebaskan seorang warga Amerika yang ditahan sejak Disember 2024.

Encik Trump menerusi platform Truth Social berkata wanita itu kini berada di luar Iran dalam keadaan selamat sambil mengucapkan penghargaan kepada Teheran atas “isyarat muhibah” berkenaan.

Peguam wanita terbabit, Encik Jared Genser, kemudian mengesahkan individu itu ialah Cik Dena Karari, warga dwi kerakyatan Amerika-Iran yang mengendalikan pertubuhan kebajikan Yayasan Kanak-Kanak Mehr bagi membantu kanak-kanak miskin di Iran.

Menurut Encik Genser, Cik Karari dituduh secara palsu bekerjasama dengan negara musuh dan melakukan pengintipan.

Walaupun tidak pernah dipenjarakan secara fizikal, beliau dikenakan larangan keluar negara dan disoal siasat puluhan kali oleh Kementerian Perisikan Iran sehingga mengalami tekanan fizikal dan psikologi yang serius.

Encik Genser turut menggesa Iran membebaskan semua rakyat Amerika serta tahanan politik lain yang masih ditahan atau dikenakan larangan meninggalkan negara itu.

Iran sebelum ini sering dituduh menggunakan warga asing sebagai alat tawar-menawar dalam rundingan dengan negara Barat, dakwaan yang berulang kali dinafikan oleh Teheran. – Agensi berita.