TEHERAN: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara terhadap Iran untuk malam kedua berturut-turut pada 10 Jun, beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump, menuduh Tehran mengambil masa terlalu lama untuk mencapai perjanjian damai.

Media pemerintah Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di dua pulau berhampiran Selat Hormuz selain di bandar Minab, Sirik dan Bandar Abbas, kawasan strategik yang menempatkan lapangan terbang serta pangkalan tentera.

Sistem pertahanan udara turut diaktifkan di ibu kota Teheran ketika bunyi letupan kedengaran di beberapa lokasi sensitif.

Serangan terbaru itu mencetuskan kebimbangan bahawa perang yang dilancarkan Amerika dan Israel terhadap Iran sejak Februari lalu kini semakin meruncing walaupun gencatan senjata diumumkan pada April.

Dalam kenyataan di media sosial, Encik Trump berkata Iran kini perlu “membayar harga” kerana gagal menunjukkan kesungguhan dalam rundingan damai.

“Mereka mengambil masa terlalu lama untuk merundingkan perjanjian yang sebenarnya baik untuk mereka. Kini mereka perlu membayar harganya,” kata Encik Trump.

Komand Pusat Amerika (Centcom) berkata serangan terbaru itu dilakukan atas arahan Encik Trump sebagai tindak balas terhadap “tindakan ketenteraan berterusan Iran yang tidak berasas”.

Menurut Washington, serangan Amerika sehari sebelumnya dibuat selepas sebuah helikopter serangan tentera Amerika ditembak jatuh berhampiran Selat Hormuz pada malam 8 Jun.

Iran bagaimanapun tidak mengesahkan atau menafikan dakwaan menembak jatuh helikopter tersebut.

Tentera Amerika berkata dua kru helikopter berjaya diselamatkan di perairan Oman dan berada dalam keadaan selamat.

Centcom memaklumkan serangan pada 9 Jun lalu menyasarkan sistem pertahanan udara, pusat kawalan darat dan tapak radar Iran berhampiran Selat Hormuz.

Ia menyifatkan operasi itu sebagai “tindak balas seimbang” terhadap serangan Iran ke atas tentera Amerika dan kapal perdagangan antarabangsa di rantau berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, melahirkan kebimbangan bahawa gencatan senjata yang diumumkan dua bulan lalu kini semakin rapuh.

“Kita menyaksikan peningkatan serangan dan retorik ketenteraan dalam tempoh 48 jam lalu,” katanya sambil merayu semua pihak kembali ke meja rundingan.

Beliau turut memberi amaran konflik itu boleh berkembang menjadi perang lebih besar di Timur Tengah jika tidak dikawal segera.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, berkata serangan terbaru itu dijangka mengukuhkan kedudukan Washington dalam rundingan dengan Iran.

“Centcom akan sibuk malam ini kerana Presiden Trump berkata kami akan menyerang Iran dengan kuat, dan itulah yang akan kami lakukan,” katanya di Pangkalan Tentera Udara MacDill di Florida.

Wakil Iran ke PBB, Encik Amir Saeid Iravani, pula menegaskan Teheran tidak akan tunduk kepada tekanan Amerika.

“Iran tidak pernah berunding di bawah ancaman dan tekanan, dan tidak akan menyerah kepada paksaan,” katanya di Majlis Keselamatan PBB.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, berkata serangan Amerika telah menjejaskan usaha diplomatik untuk menamatkan perang.

Menurut agensi berita Mehr, beliau berkata rundingan tidak boleh diteruskan tanpa “keadaan minimum yang sesuai”.

Dalam usaha menghidupkan semula rundingan, satu delegasi pegawai Qatar dilaporkan tiba di Iran pada 10 Jun untuk meneruskan usaha pengantaraan antara Tehran dan Washington.

Qatar dan Pakistan sebelum ini memainkan peranan penting sebagai orang tengah dalam rundingan tidak langsung antara kedua-dua negara.

Harga minyak mentah dunia meningkat lebih AS$2 (S$2.57) setong pada 11 Jun selepas Iran mengumumkan penutupan Selat Hormuz, laluan strategik tenaga global, susulan serangan tambahan Amerika Syarikat terhadap negara itu.

Minyak mentah Brent mencatatkan kenaikan AS$2.30 atau 2.47 peratus kepada AS$95.40 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat naik AS$2.60 atau 2.89 peratus kepada AS$92.63 setong.

Perintah penutupan itu diumumkan oleh komando tertinggi tentera gabungan Iran yang memaklumkan bahawa Selat Hormuz kini ditutup sepenuhnya kepada kapal tangki minyak dan kapal komersial, lapor Reuters pada 11 Jun.

Memetik laporan itu lagi, Iran turut memberi amaran mana-mana kapal yang cuba melalui laluan tersebut berdepan risiko diserang.

Bagaimanapun, tentera Amerika menerusi kenyataan di platform X pada memaklumkan, kapal-kapal komersial masih terus berulang-alik keluar masuk selat berkenaan.

Tentera Amerika juga menafikan laporan media rasmi Iran yang mendakwa kapal perang negara itu diserang peluru berpandu dan dron berhampiran laluan strategik tersebut, dengan menegaskan bahawa tiada kapal perang Amerika terkena sebarang serangan.

Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak dan gas global telah terjejas selama beberapa bulan akibat sekatan oleh Iran, sekali gus menyebabkan harga minyak kekal tinggi.

Media pemerintah Iran turut mendakwa serangan Amerika mengenai kemudahan bekalan air di wilayah Hormozgan sehingga menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan air bersih.

Encik Baghaei menuduh Amerika sengaja menyerang prasarana awam yang membekalkan air minuman kepada lebih 20,000 penduduk di 10 kampung.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai “jenayah perang terancang” dan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Wilayah Hormozgan merupakan antara kawasan paling panas di dunia ketika musim panas dengan suhu boleh mencecah 50 darjah Celsius.

Ketua syarikat air wilayah itu, Encik Abdolhamid Hamzehpour, berkata gangguan bekalan air amat membebankan penduduk dalam cuaca panas melampau, namun kerosakan berjaya dibaiki dalam tempoh kurang 12 jam.

Sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika, Iran mendakwa melancarkan dron ke arah sasaran tentera laut Amerika di Bahrain dan menembak peluru berpandu ke kemudahan tentera Amerika di Jordan.

Bahrain, Jordan dan Kuwait berkata sistem pertahanan udara mereka berjaya memintas serangan tersebut.

Pegawai Amerika pula memaklumkan tiada korban atau kerosakan dilaporkan di pangkalan tentera Amerika di rantau itu.

Ketegangan turut menjejaskan keselamatan perkapalan antarabangsa apabila Amerika melaksanakan sekatan terhadap kapal yang keluar masuk pelabuhan Iran.

India pada 10 Jun memanggil diplomat kanan Amerika di New Delhi selepas sebuah kapal dagang berbendera Palau yang membawa 24 kru warga India diserang tentera AS di Teluk Oman.

Tiga kru dilaporkan hilang.

Kementerian Luar India berkata serangan berterusan terhadap perkapalan di rantau itu amat membimbangkan dan berpunca daripada konflik yang semakin memuncak.

“Kami mengulangi gesaan supaya ketegangan segera dikendurkan dan rundingan diplomatik diteruskan supaya keamanan serta kestabilan dapat dipulihkan di rantau ini,” menurut kenyataan itu. - Agensi berita