Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS serang Iran; Teheran tutup Selat Hormuz, gempur negara Teluk
AS serang Iran; Teheran tutup Selat Hormuz, gempur negara Teluk
AS serang Iran; Teheran tutup Selat Hormuz, gempur negara Teluk
WASHINGTON/DUBAI: Tentera Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran selepas ia menyerang sebuah kapal kontena pada 12 Julai, manakala Teheran berkata ia telah sekali lagi menutup Selat Hormuz dan menyerang beberapa negara Teluk.
Serangan melibatkan kedua-dua negara itu sejak beberapa hari lalu menyebabkan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengisytiharkan tamatnya gencatan senjata yang bertujuan untuk menghentikan pertempuran bermula pada 28 Februari.
Di sebalik ketegangan tersebut, Encik Trump tetap membiarkan pintu terbuka untuk meneruskan rundingan.
Iran berkata ia menutup Selat Hormuz selepas ia melepaskan tembakan amaran terhadap sebuah kapal yang bergerak di laluan air itu tanpa kelulusan.
Ia memberi amaran bahawa sebarang tindakan balas terhadap insiden itu akan disambut dengan “tindak balas yang tegas.”
Markas Pusat Amerika (Centcom) yang telah mengenal pasti kapal itu sebagai M/V GFS Galaxy, sebuah kapal kontena berbendera Cyprus, menyatakan ia mengalami kerosakan di bahagian bilik enjin dan seorang anak kapal dilaporkan hilang.
Namun, pusat Operasi Perdagangan Maritim Britain berkata anak kapal kapal berkenaan telah meninggalkan kapal tersebut dan berada di dalam bot penyelamat.
Dalam pada itu, media pemerintah Iran melaporkan letupan berlaku di beberapa bandar pelabuhannya.
Tidak lama kemudian, Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata mereka telah memusnahkan pusat arahan dan kawalan serta hangar dron di sebuah pangkalan sekutu Amerika.
Amiriah Arab Bersatu (UAE) berkata sistem pertahanan udaranya sedang berhadapan serangan peluru berpandu dan dron dari Iran.
Qatar berkata ia telah memintas serangan peluru berpandu sementara siren amaran dibunyikan di Bahrain dan letupan kedengaran di Doha.
Perang telah mengganggu kestabilan Teluk, sementara sekatan Iran ke atas Selat Hormuz yang berkesan telah menyebabkan harga bahan tenaga melonjak, sekali gus meningkatkan inflasi global.
Harga yang lebih tinggi, terutamanya untuk petrol, merupakan isu sensitif politik bagi Encik Trump menjelang pilihan raya Kongres pada November.
Iran berkata beberapa kapal cuba bergerak melalui laluan air itu tanpa kebenaran dan mengabaikan amaran supaya membetulkan hala tuju mereka.
Selat itu – yang menyalurkan seperlima bekalan minyak dan gas cecair dunia – akan kekal ditutup sehingga “campur tangan Amerika di rantau itu berakhir” kata IRGC.
Komando Pusat Amerika berkata ia memulakan serangannya pada malam 11 Julai, kira-kira sejam selepas Iran mengeluarkan kenyataan termasuk amaran bahawa “pangkalan musuh baharu” di Timur Tengah akan disasarkan jika Amerika membalas dendam atas insiden kapal kontena itu.
Trump mengarahkan serangan itu, kata Komando Pusat.
Washington menuntut agar Teheran menyatakan secara terbuka bahawa ia akan menghentikan serangan dan tidak akan mengenakan tol ke atas kapal di Selat Hormuz, kata pegawai kanan Amerika. – Reuters.
