BAGHDAD/WASHINGTON: Amerika Syarikat telah melancarkan serangan pada 30 Julai ke atas satu pangkalan di Iraq sebagai langkah mempertahankan diri, kata pegawainya
Ia berlaku sedang ketegangan serantau meningkat selepas serangan udara Israel di Beirut dilaporkan membunuh komander paling kanan Hezbollah.
Polis Iraq dan sumber perubatan menyatakan serangan ke atas pangkalan di selatan Baghdad yang digunakan Angkatan Kerahan Popular Iraq, membunuh empat anggota kumpulan itu dan mencederakan empat yang lain.
Dalam satu kenyataan selepas serangan tersebut, Angkatan Kerahan Popular tidak menyatakan siapakah yang bertanggungjawab.
Seorang pegawai Amerika, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata pihaknya melakukan serangan udara di Musayib, yang terletak di wilayah Babil.
Pegawai itu menambah bahawa serangan tersebut menyasarkan militan yang sedang berusaha melancarkan dron dan menimbulkan ancaman kepada tentera Amerika dan pakatannya.
“Tindakan ini menekankan komitmen Amerika terhadap keselamatan kakitangan kami,” kata seorang pegawai.
Pada minggu lalu, beberapa roket dilancarkan ke arah pangkalan udara Ain al-Asad Iraq yang menempatkan tentera pimpinan Amerika. Namun, tiada sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Pegawai Amerika berkata pangkalan tersebut tidak terkena serangan roket itu.
Serangan Amerika pada 30 Julai pula adalah yang pertama diketahui berlaku di Iraq sejak Februari, apabila tentera Amerika melancarkan serangan udara di Iraq dan Syria terhadap lebih 85 sasaran yang dikaitkan dengan Pengawal Revolusi Iran dan militia yang bersekutu dengan Iran.
Angkata Kerahan Popular mempunyai seramai 150,000 anggota, kumpulan separuh tentera yang dibenarkan pemerintah Iraq dan dikuasai kumpulan lengkap bersenjata yang setia kepada Iran dan mempunyai hubungan rapat dengan Pengawal Revolusinya.
Iraq yang menempatkan 2,500 tentera Amerika dan mempunyai militia yang disokong Iran, telah terlibat dalam berbalas serangan yang semakin meningkat sejak perang Israel-Hamas meletus pada Oktober.
Iraq mahu gabungan tentera yang diketuai Amerika mula berundur pada September dan menamatkan kehadiran gabungan itu secara rasmi menjelang September 2025, dengan beberapa tentera Amerika berkemungkinan kekal sebagai penasihat.
Isu itu sangat dipolitikkan, dengan kebanyakan kumpulan politik Iraq yang bersekutu dengan Iran, ingin menunjukkan mereka enggan dijajah.
Pegawai Amerika pula mahu mengelak daripada memberi Iran dan sekutunya kemenangan.
Tentera diketuai Amerika menyerang Iraq pada 2003, menggulingkan bekas pemimpin, Saddam Hussein, dan kemudian berundur pada 2011, namun kembali pada 2014 untuk menentang kumpulan ISIS. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg