MUSCAT: Kumpulan IS mengaku bertanggungjawab atas serangan di sebuah masjid Syiah di Oman, kata kumpulan itu pada 16 Julai.
Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam kejadian itu, termasuk tiga penyerangnya.
Serangan pada 15 Julai, yang luar biasa berlaku di negara Teluk dan dikuasai Muslim Sunni yang kaya, menimbulkan kebimbangan bahawa kumpulan IS mungkin cuba bertapak di wilayah baru, lapor agensi berita, Reuters.
“Tiga penyerang berani mati daripada IS menyerang perhimpunan Syiah (Muslim) malam tadi (16 Julai) ketika mereka sedang mengadakan acara tahunan di sebuah masjid di daerah Wadi al-Kabir di ibu negara (Oman),” berdasarkan kenyataan kumpulan itu, yang memetik tiga sumber keselamatan.
Penyerang IS itu melepaskan tembakan ke arah penganut Syiah dan berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan Oman sehingga pagi, tambah kenyataan itu.
Pada 16 Julai, IS menyiarkan apa yang dikatakan sebagai video serangan tersebut, di laman Telegramnya.
Kumpulan itu juga berkata bahawa serangan tersebut menyebabkan lebih 30 orang Islam Syiah dan lima tentera Oman termasuk seorang pegawai polis, terbunuh atau tercedera.
Menurut satu laporan lain dari Dubai, empat warga Pakistan, seorang warga India dan seorang pegawai polis adalah antara yang terbunuh dalam serangan senjata itu.
Polis Oman berkata 28 orang daripada pelbagai negara cedera, termasuk anggota keselamatan.
Sebuah video di media sosial yang disahkan oleh Reuters menunjukkan orang ramai melarikan diri dari masjid itu, setelah terdengar bunyi tembakan.
Polis tidak menyatakan sama ada mereka telah mengenal pasti motif serangan tersebut atau jika mereka telah membuat sebarang tangkapan.
Identiti penyerang juga belum didedahkan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg