WASHINGTON/TEHERAN: Konflik Amerika Syarikat-Iran kini memasuki fasa lebih berbahaya selepas Memorandum Persefahaman (MOU) Islamabad tamat tanpa perjanjian baharu, sekali gus mengecilkan ruang diplomasi dan meningkatkan risiko kedua-dua pihak kembali terjerumus dalam peperangan lebih besar.

MOU yang ditandatangani pada 17 Jun itu memperuntuk tempoh 60 hari bagi Washington dan Teheran mencari penyelesaian selepas konflik tercetus awal 2026.

Apabila tempoh itu berakhir pada 17 Ogos, tiada kejayaan diplomatik dicapai kerana kedua-dua pihak kekal berbeza pendirian, khususnya mengenai Selat Hormuz.

Keadaan itu mewujudkan kebuntuan berbahaya.

Amerika mahu meningkatkan tekanan sehingga Iran bertolak ansur, manakala Teheran yakin mampu bertahan sehingga Washington mengubah pendirian.

Amerika mahu meningkatkan tekanan sehingga Iran bersedia membuat konsesi, sementara Teheran pula percaya ia mampu bertahan cukup lama sehingga Washington akhirnya mengubah pendirian.

Persoalannya kini bukan semata-mata sama ada Amerika atau Iran mahu kembali berperang.

Risiko terbesar ialah kejadian kecil – seperti serangan kapal dagang, pertembungan ketenteraan dengan Amerika, atau provokasi proksi Iran – mampu mencetuskan tindak balas yang berupaya mengheret kedua-dua negara kembali ke kancah konflik terbuka.

Selat Hormuz dijangka terus menjadi pusat pertikaian.

Bagi Washington, kebebasan pelayaran melalui laluan strategik itu mesti dipertahankan dan Iran tidak boleh dibenarkan menggunakannya sebagai senjata politik.

Bagi Teheran pula, keupayaannya mengawal laluan itu merupakan antara senjata tawar-menawar paling kuat untuk memaksa Amerika melonggarkan tekanan ekonomi dan ketenteraan.

Penasihat Kanan, Institut Dasar Eropah dan Keselamatan Austria, Encik Wolfgang Pusztai, berkata strategi Washington kini bergantung kepada gabungan tekanan ekonomi, maklumat dan ketenteraan.

Tetapi menurut beliau, senjata paling berkesan Amerika bukan serangan udara.

“Senjata paling tajam dalam strategi Amerika bukan serangan, tetapi instrumen ekonomi seperti sekatan dan sekatan laut,” katanya kepada laman web berita, The New Arab.

Selagi Iran tidak menyerang kapal dagang atau sasaran lain di rantau itu, katanya, Washington tidak mempunyai keperluan mendesak untuk melancarkan serangan baharu.

Ini bermakna Presiden Donald Trump mungkin memilih untuk menunggu sehingga tekanan ekonomi mula memberi kesan lebih besar terhadap Iran.

Serangan ketenteraan terhad masih boleh berlaku sekiranya Teheran kembali menyerang perkapalan atau negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Zamil bersekutu program Timur Tengah dan Afrika Utara di badan pemikir Chatham House, Dr Neil Quilliam, menjangkakan corak beberapa bulan lalu akan berterusan – sekatan, ancaman, tekanan terhadap perkapalan, rundingan dan serangan ketenteraan terhad.

Kedua-dua pihak sebenarnya mempunyai sebab kukuh untuk mengelakkan perang berpanjangan.

Pemerintahan Encik Trump perlu menunjukkan bahawa kempen ketenteraannya menghasilkan kejayaan nyata, sedangkan Iran mahu melindungi kestabilan pemerintahannya dan mengelakkan kerosakan lebih besar terhadap ekonomi serta prasarananya.

Namun, ketiadaan rangka kerja diplomatik selepas 17 Ogos meningkatkan kemungkinan salah perhitungan.

Menurut Dr Quilliam, satu kejadian serius di Teluk, serangan terhadap aset Amerika atau pertembungan melibatkan kapal boleh dengan pantas mencetuskan pusingan tindakan ketenteraan yang baharu.

Justeru, perang besar mungkin tercetus bukan kerana Washington atau Teheran sengaja memilihnya, tetapi kerana siri tindakan dan tindak balas yang tidak dapat dikawal.

Bekas Duta Amerika ke Tunisia, Encik Gordon Gray, pula menjangkakan kitaran yang sama akan berulang: ancaman meningkat, rundingan bermula, dakwaan bahawa perjanjian hampir dicapai, sebelum semuanya kembali menemui jalan buntu.

Menurutnya, kepimpinan kanan tentera Amerika telah memberi amaran keberkesanan serangan terhadap Iran semakin berkurangan, sedangkan bekalan beberapa aset ketenteraan turut menyusut.

Strategi Iran pula kelihatan berasaskan satu pertaruhan iaitu masa akhirnya akan memihak kepada Teheran.

Pemimpin Iran percaya tekanan terhadap Encik Trump akan meningkat apabila kos konflik bertambah, harga bahan api naik dan tentangan dalam negeri Amerika terhadap perang semakin kuat.

Namun strategi “menunggu Trump” itu membawa risiko besar.

Dr Quilliam berkata Teheran mungkin tersilap jika menganggap kesungguhan Washington akan melemah sebelum Iran sendiri tidak lagi mampu menanggung tekanan ekonomi dan ketenteraan.

Semakin lama pertikaian Selat Hormuz berterusan, semakin berat tekanan terhadap ekonomi Iran dan semakin besar kemungkinan aset negara itu kembali menjadi sasaran.

Pengarah Pusat Prince Alwaleed bin Talal bagi Persefahaman Muslim-Kristian di Universiti Georgetown, Dr Nader Hashemi, pula berkata keadaan ekonomi Iran sudah berada pada tahap amat serius.

Pengangguran, inflasi dan kesukaran rakyat memenuhi keperluan asas semakin meningkat, sementara sekatan laut Amerika menambah tekanan.

Ini bermakna Teheran sedang membuat pertaruhan besar bahawa ia mampu bertahan lebih lama daripada Washington.

Bahaya berikutnya ialah konflik itu tidak lagi terbatas kepada Amerika dan Iran.

Oman, yang sejak sekian lama memainkan peranan sebagai pengantara, semakin terperangkap dalam ketegangan tersebut.

Ancaman Encik Trump terhadap Oman ketika MOU Islamabad tamat turut mencetuskan kebimbangan kerana Muscat merupakan antara saluran diplomatik penting antara Washington dengan Teheran.

Mantan diplomat Iran, Dr Shireen Hunter, berkata sebarang tindakan ketenteraan terhadap Oman bukan sahaja tidak membantu mengubah pendirian Iran, malah boleh merosakkan hubungan Amerika dengan negara Arab Teluk.

Yaman juga merupakan satu lagi titik panas.

Kumpulan Houthi mempunyai keupayaan mengancam kapal dagang di Laut Merah dan Teluk Aden.

Peningkatan serangan mereka boleh memaksa Amerika bertindak balas, sekali gus membuka satu lagi medan ketika Washington masih berdepan Iran di sekitar Hormuz.

“Perkembangan di Laut Merah dan Teluk Aden mungkin menjadi sama penting dengan apa yang berlaku di Selat Hormuz dalam menentukan fasa seterusnya krisis ini,” kata Dr Quilliam.

Masalah terbesar ialah Washington dan Teheran masing-masing tidak mahu menjadi pihak pertama yang berundur.

Iran tidak mahu menerima perjanjian yang boleh dilihat rakyatnya sebagai menyerah kepada Amerika dan Israel.

Washington pula telah melaburkan begitu banyak modal politik dan ketenteraan dalam strategi tekanan sehingga sebarang pengunduran tanpa hasil jelas boleh dianggap satu kegagalan.

Kedua-duanya kini terperangkap dalam kebuntuan apabila setiap pihak percaya pihak lawan akhirnya akan mengalah terlebih dahulu.

Tetapi tiada siapa benar-benar mengetahui sejauh manakah tekanan yang mampu ditanggung pihak lawan.

Di sinilah berakhirnya MOU Islamabad menjadi penting.

Ia bukan sekadar tamatnya sebuah dokumen diplomatik, tetapi hilangnya satu rangka kerja yang sebelum ini membantu mengawal tindakan kedua-dua pihak.

Tanpa mekanisme baharu, setiap serangan, ancaman atau kejadian di laut membawa risiko lebih tinggi untuk disalah tafsir.

Jalan keluar paling realistik kini ialah mencari formula diplomatik yang membolehkan kedua-dua pihak berundur tanpa kelihatan kalah.

Jika ruang itu terus mengecil, ancaman terbesar mungkin bukan keputusan sengaja untuk memulakan perang baharu.

Sebaliknya, ia adalah kemungkinan Washington dan Teheran terseret ke dalamnya – satu tindakan balas demi satu tindakan balas – sehingga tiada lagi ruang untuk berpatah balik. – Agensi berita.