Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran dilapor sedia bentang syarat buka semula Selat Hormuz
TEHERAN: Iran dilaporkan bersetuju menyediakan senarai syarat bagi membuka semula sepenuhnya Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa, selepas Qatar meningkatkan usaha diplomatik untuk memulihkan kebebasan pelayaran di laluan strategik itu.
Perkembangan itu memberi sedikit harapan kepada usaha mengembalikan aliran perkapalan kepada keadaan sebelum perang, meskipun Amerika Syarikat dan Iran masih belum kembali ke meja rundingan secara langsung.
Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan Iran di Teheran pada 27 Ogos dalam usaha meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian terhadap pertikaian mengenai Selat Hormuz.
Antara yang ditemuinya ialah Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dan Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Negara Iran, Encik Mohsen Rezaei.
Sheikh Mohammed berkata beliau menekankan kepada pemimpin Iran mengenai “kepentingan menghormati kebebasan pelayaran di Selat Hormuz selaras dengan undang-undang antarabangsa”.
Qatar turut menegaskan perlunya kedaulatan negara jiran dihormati dan usaha diplomatik diteruskan bagi meredakan ketegangan serta menyelesaikan pertikaian melalui dialog.
Selepas pertemuan itu, Encik Rezaei berkata Teheran sedang menyediakan senarai syarat bagi membuka semula selat berkenaan selepas pengantara meminta Iran menyatakan secara jelas tuntutannya.
Iran sebelum ini meletakkan beberapa syarat, termasuk menamatkan sekatan Amerika terhadap pelabuhannya, pembayaran pampasan serta pemansuhan sekatan ekonomi.
Namun, belum jelas sama ada Teheran akan mengubah tuntutan itu bagi membolehkan satu kompromi dicapai dengan Washington.
Encik Rezaei berkata Iran dan Oman juga sudah mencapai persetujuan mengenai sebuah koridor perkapalan yang merentasi perairan kedua-dua negara.
Di bawah rancangan itu, kapal akan menggunakan laluan tengah yang ditetapkan merentasi Selat Hormuz sekiranya Amerika memenuhi syarat Iran.
Qatar pula berkata rangka kerja berperingkat yang sedang dibincangkan termasuk mewujudkan koridor perkapalan sementara bersama Iran-Oman serta projek bersama bagi membersihkan periuk api di selat tersebut.
Selat Hormuz yang terletak antara Iran dengan Oman merupakan antara laluan tenaga paling penting di dunia.
Sebelum perang bermula pada 28 Februari, kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia melalui laluan sempit itu.
Namun selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran enam bulan lalu, Tehran mengancam menyerang kapal yang melalui Selat Hormuz tanpa kebenarannya.
Ancaman itu menyebabkan trafik kapal merosot dengan ketara dan harga minyak meningkat, sekali gus menjadikan kawalan terhadap selat itu antara alat tekanan utama Iran dalam konfliknya dengan Washington.
Perkhidmatan pengesanan kapal menganggarkan trafik melalui selat itu kini hanya sekitar lima hingga 15 peratus daripada paras biasa, meskipun Amerika menegaskan laluan perkapalan antarabangsa sudah dibuka.
Qatar, sekutu rapat Amerika dan jiran Iran di Teluk, bersama Pakistan memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam konflik itu.
Kedua-dua negara membantu mengusahakan memorandum persefahaman pada Jun yang membawa kepada gencatan senjata dan menetapkan aturan sementara bagi perkapalan melalui Selat Hormuz.
Namun, perjanjian itu tidak bertahan lama berikutan perbezaan tafsiran mengenai sejauh mana Iran mempunyai kuasa mengawal perkapalan di selat tersebut.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, kemudian mengisytiharkan memorandum itu sudah “berakhir”, hanya tiga minggu selepas ia dimeterai.
Iran pula terus mendesak supaya kedua-dua pihak kembali kepada kerangka perjanjian Jun, yang memperuntukkan tempoh 60 hari bagi rundingan.
Usaha diplomatik terbaru itu berlaku ketika hubungan Washington-Teheran kembali menemui jalan buntu.
Rumah Putih berkata tiada rundingan sedang berlangsung kerana Iran belum menunjukkan kesediaan untuk kembali ke meja rundingan “secara bermakna”.
Encik Trump kini memilih meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Tehran selepas serangan ketenteraan langsung dihentikan.
Namun Iran menegaskan ia tidak pernah meninggalkan meja rundingan.
Sementara itu, tentera Amerika berkata pasukannya sudah membersihkan periuk api yang dipasang beberapa bulan lalu oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) di Selat Hormuz.
Panglima Markas Pusat Amerika (Centcom), Laksamana Brad Cooper, berkata laluan perkapalan antarabangsa kini terbuka dan keadaan menunjukkan perkembangan positif.
Menurut beliau, tentera Amerika sejak beberapa bulan lalu membantu sekitar 1,500 kapal dagang yang membawa hampir 750 juta tong minyak mentah melalui selat tersebut.
Namun, kebanyakan syarikat perkapalan masih berhati-hati untuk menggunakan laluan itu kerana bimbang dengan ancaman Iran.
Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pula melaporkan sekurang-kurangnya 70 insiden berlaku di Selat Hormuz sejak perang bermula pada 28 Februari, menyebabkan 19 kelasi terbunuh.
Dalam perkembangan berasingan, IRGC pada 26 Ogos mengumumkan Iran dan Oman sudah mencapai persetujuan secara prinsip mengenai pengurusan trafik di Selat Hormuz dan perkongsian hasil.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Iran kemudian menjelaskan bahawa kedua-dua negara masih merundingkan butiran perjanjian tersebut.
Walaupun belum ada tanda Washington dan Teheran akan menyambung rundingan secara langsung, lawatan Sheikh Mohammed ke Tehran menunjukkan negara Teluk kini memberi tumpuan kepada isu Selat Hormuz sebagai langkah awal untuk mengurangkan ketegangan.
Bagi Qatar dan negara Teluk lain, membuka semula laluan itu bukan sahaja penting bagi mengurangkan risiko konflik, malah bagi memulihkan aliran tenaga dan perdagangan yang terganggu sejak enam bulan lalu. - Agensi berita
