Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes tipu cip Nvidia: Lelaki didakwa guna lebih $38j wang haram beli banglo
Kes tipu cip Nvidia: Lelaki didakwa guna lebih $38j wang haram beli banglo
Kes tipu cip Nvidia: Lelaki didakwa guna lebih $38j wang haram beli banglo
Seorang lelaki yang dituduh menipu dalam kes yang mempunyai kaitan dengan pengeluar cip Nvidia, dikatakan telah menggunakan lebih $38 juta daripada keuntungan yang dipercayai diperoleh secara haram untuk membeli sebuah hartanah berhalaman.
Alan Wei Zhaolun, 50 tahun, dikenakan sembilan tuduhan tambahan pada 6 Julai, termasuk tiga tuduhan pengubahan wang haram dan enam tuduhan menipu.
Warga Singapura yang juga bekas ketua eksekutif beberapa syarikat – A-Speed Infotech, Aperia International dan Aperia Cloud Services (II) – kini berdepan keseluruhan 11 tuduhan.
Wei dituduh menggunakan lebih $38 juta wang yang didakwa hasil haram itu untuk membeli sebuah rumah di Chee Hoon Avenue, berhampiran Adam Road, antara Julai dengan Oktober 2024.
Dalam kenyataan sebelum ini, polis berkata banglo kelas atasan (GCB) itu bernilai sekitar $55 juta.
Wei juga dikatakan telah mengumpul lebih $5 juta dalam dua akaun bank pada tahun berkenaan.
Sekitar $3.2 juta daripada jumlah tersebut dipercayai merupakan hasil daripada perbuatan jenayah.
Dalam tuduhan terbarunya, Wei turut didakwa bersubahat dengan Aaron Woon Guo Jie, 41 tahun, dan Jenny Lim, 51 tahun, untuk melakukan penipuan beberapa kali pada 2023 dan 2024.
Mereka didakwa terlibat dalam komplot untuk melakukan penipuan berkaitan pembelian pelayan (server) daripada tiga pembekal – Dell, Super Micro Computer dan Asus, kata polis.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, jurucakap polis menambah:
“Tuduhan tersebut menegaskan bahawa... mereka membuat pengakuan palsu dalam komunikasi kepada pembekal-pembekal ini, bahawa salah sebuah syarikat di bawah Aperia Group akan menjadi pengguna akhir (end-user) bagi pelayan-pelayan tersebut.”
Pada 6 Julai, Aperia International didakwa atas lima tuduhan menipu, manakala Aperia Cloud Services (II) dikenakan dua tuduhan serupa.
A-Speed Infotech pula didakwa atas satu tuduhan menipu.
Sesi prabicara bagi ketiga-tiga syarikat berkenaan serta Wei akan diadakan pada 14 Ogos.
Wei, Woon dan seorang lelaki lain, Li Ming, 52 tahun, kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada Februari 2025.
Ini berlaku selepas Singapura menjadi tumpuan dalam siasatan Amerika Syarikat mengenai sama ada syarikat pemula dari China, DeepSeek, telah memintas sekatan Amerika terhadap cip canggih Nvidia dengan membelinya daripada pihak ketiga di negara lain, termasuk di Singapura.
Ketiga-tiga lelaki itu kemudian dikenakan tuduhan berkaitan penipuan.
Pada Januari 2025, DeepSeek melancarkan pembantu kecerdasan buatan (AI) percuma dengan kos jauh lebih rendah berbanding model Amerika dengan menggunakan kurang data.
Dalam masa beberapa hari, ia menjadi aplikasi paling banyak dimuat turun di Apple App Store dan menimbulkan kebimbangan mengenai kedudukan peneraju Amerika dalam bidang AI, sekali gus mencetuskan kejatuhan pasaran yang mengakibatkan kerugian sekitar AS$1 trilion ($1.29 trilion) daripada nilai saham teknologi Amerika.
Lim kemudian didakwa, dan kes-kes berkenaan masih belum diputuskan.
