Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS tarik balik larangan penerbangan seluruh negara akibat gangguan komunikasi
Penutupan udara lebih 4 jam yang paling lama sejak serangan 9/11
AS tarik balik larangan penerbangan seluruh negara akibat gangguan komunikasi
WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat menarik balik larangan berlepas di seluruh negara pada 13 November selepas kegagalan sistem komunikasi di pusat kawalan trafik udara mencetuskan kekecohan di lapangan terbang.
Masalah itu turut mengakibatkan penutupan ruang udara tempoh paling lama – 4 jam dan 22 minit – di negara itu sejak serangan pengganas 11 September 2001.
Setiausaha Pengangkutan, Encik Sean Duffy, berkata ruang udara Amerika dibuka semula pada 8.15 malam Waktu Timur (9.15 pagi waktu Singapura), namun memaklumkan bahawa pelepasan penerbangan akan disambung semula secara berperingkat dan syarikat penerbangan memerlukan masa untuk memulihkan operasi seperti biasa.
“Ia memerlukan lebih banyak masa,” kata Encik Duffy kepada wartawan di Rumah Putih.
Lebih 6,600 penerbangan dibatalkan dan 8,600 lagi tertangguh, manakala 1,500 penerbangan bagi 15 November sudah dibatalkan lebih awal, menurut data FlightRadar24.
Penganalisis penerbangan berpendapat perintah larangan pelepasan selama empat jam di seluruh negara itu boleh menjejas jadual syarikat penerbangan untuk beberapa hari.
Menurut Encik Duffy, puluhan ribu penumpang terkandas di lapangan terbang di serata negara.
Kegagalan tersebut merupakan isyarat terbaharu dan paling ketara terhadap tekanan yang dihadapi sistem kawalan trafik udara Amerika, yang selama ini dibelenggu kerosakan peralatan, masalah komunikasi serta kekurangan beberapa ribu pengawal trafik udara.
Encik Duffy berkata masalah itu bermula pada 3.36 petang apabila pusat kawalan trafik udara mengalami ketidakstabilan pada sistem radar dan komunikasi.
Sistem yang mengandungi data kritikal didapati terlebih bebanan sehingga menghasilkan maklumat yang tidak konsisten, sekali gus mendorong FAA menghentikan pelepasan penerbangan di seluruh negara, katanya.
“Suis dan penghala kami sebenarnya terlebih bebanan data dan penghala tersebut mula memberikan data tidak konsisten. Oleh itu, kami mematikan sistem berkenaan,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa pihaknya tidak pernah kehilangan hubungan radar atau komunikasi sepenuhnya pada mana-mana peringkat dan berjaya mendaratkan ribuan pesawat dengan selamat.
Encik Duffy berkata masalah semasa itu telah diselesaikan dan operasi penerbangan adalah selamat, namun memberi amaran bahawa rombakan menyeluruh terhadap sistem kawalan trafik udara yang semakin usang amat diperlukan bagi mengelakkan kegagalan serupa daripada berulang.
Setiausaha Pengangkutan berkenaan turut menyalahkan Kongres kerana gagal membiayai dana bagi sistem baharu – yang menurutnya mampu mencegah gangguan sedemikian – serta menggesa peruntukan sebanyak AS$50 bilion ($64.36 bilion) untuk memperbaharuinya.
Pada awal 13 November, sebelum gangguan itu berlaku, Rumah Putih dan Jabatan Pengangkutan menggesa Kongres agar meluluskan peruntukan sebanyak AS$30.1 bilion bagi menaik taraf lapangan terbang serta prasarana kawalan trafik udara negara yang semakin usang.
“Apa yang kita ada sekarang adalah sistem kawalan trafik udara yang terlalu tua,” kata Encik Duffy.
“Beri kami peruntukan untuk memperbaikinya.”
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Encik Markwayne Mullin, berkata setakat ini “tiada sebarang bukti” menunjukkan bahawa gangguan itu berpunca daripada serangan siber atau sistem kecerdasan buatan (AI) yang beroperasi di luar kawalan, meski pihak penyiasat belum menolak kemungkinan tersebut.
“Insiden ini kelihatan berpunca daripada masalah mekanikal, bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan,” kata Encik Mullin.
Agensi Keselamatan Negara (NSA) sedang bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dalam siasatan itu, tambahnya.
Satu-satunya perintah larangan pelepasan di seluruh negara yang pernah dikuatkuasakan sejak serangan 11 September adalah pada Januari 2023, apabila FAA menghentikan penerbangan domestik selama kira-kira 90 minit.
Para pelabur sudah pun mula mempertimbangkan kesan kewangan yang bakal ditanggung syarikat penerbangan.
Ini dengan saham American Airlines, United Airlines dan Delta Air Lines susut antara 1 hingga 2 peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran, manakala JetBlue Airways merosot kira-kira 3 peratus. – Reuters.