WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat melancarkan gelombang baharu serangan ke atas Iran untuk malam kesembilan berturut-turut pada 20 Julai ketika konflik antara kededua negara semakin memuncak, dengan jumlah anggota tentera Amerika yang terbunuh meningkat kepada 17 orang.

Perkembangan itu berlaku selepas Pentagon mengesahkan seorang lagi anggota tenteranya maut di utara Iraq pada 18 Julai ketika menjalankan operasi memusnahkan dron serangan Iran yang ditembak jatuh.

Kematian terbaharu itu menyusul dua anggota Tentera Darat Amerika yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu Iran ke atas sebuah pangkalan tentera di Jordan pada 17 Julai.

Seorang lagi anggota yang sebelum ini dilaporkan hilang dipercayai turut terkorban selepas saki-baki mayat ditemui di lokasi serangan, ujar seorang pegawai Amerika.

“Proses mengenal pasti identiti mayat masih dijalankan,” kata Markas Pusat Amerika Syarikat (Centcom) dalam kenyataan.

Lebih 420 anggota tentera Amerika turut dilaporkan cedera sejak perang bermula.

Pada malam 19 Julai, Centcom mengesahkan tenteranya memulakan satu lagi siri serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan bertujuan melemahkan keupayaan Iran mengancam laluan perkapalan komersial di Selat Hormuz, selain menyasarkan kemudahan pengawasan pantai, sistem pertahanan udara dan pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) yang didakwa terbabit menyerang tentera Amerika di Jordan.

Media Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di bandar Tabriz, Chabahar, Konarak, Mahshahr dan Bandar Imam Khomeini selepas peluru berpandu Amerika mengenai beberapa sasaran.

Agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, berkata serangan berlaku pada awal pagi 19 Julai, namun tidak memberikan butiran mengenai jumlah kemusnahan atau korban.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan baharu ke atas Jordan, Kuwait dan Bahrain yang menempatkan pangkalan tentera utama Amerika.

Tentera Jordan berkata tiga peluru berpandu Iran berjaya dipintas, manakala sebuah lagi jatuh di kawasan tidak berpenghuni.

Rakaman video turut menunjukkan kepulan asap berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Hussein di Aqaba.

Di Kuwait, kerajaan memaklumkan sebuah loji penyahgaraman air diserang untuk hari kedua berturut-turut sehingga mencetuskan kebakaran.

Kerajaan Kuwait menyifatkan serangan itu sebagai serangan langsung terhadap prasarana awam yang penting.

Sebelum ini, Iran turut mengaku melancarkan serangan dron ke atas Kem Al-Adiri dan Pangkalan Udara Ali Al Salem yang digunakan tentera Amerika.

Sementara itu, IRGC mendakwa melancarkan serangan mengejut terhadap ibu pejabat operasi khas musuh di kawasan Al-Tanf, Syria.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, berkata kematian anggota tenteranya tidak akan melemahkan semangat Washington.

“Pengorbanan mereka hanya menguatkan lagi tekad kami,” katanya.

Presiden Donald Trump pula memberi bayangan bahawa Amerika akan meningkatkan lagi tekanan ketenteraan terhadap Iran.

Selepas menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia Fifa 2026, Encik Trump berkata tentera Amerika sekali lagi “menghentam Iran dengan kuat” sebagai penghormatan kepada anggota tentera Amerika yang terkorban.

“Kami menyerang mereka dengan sangat kuat malam ini dan kami melakukannya sebagai penghormatan kepada anggota tentera kami yang terkorban sejak 17 Julai,” katanya.

Menurut beberapa pegawai Amerika, Washington turut menghantar lebih banyak pesawat pejuang ke Asia Barat sebagai persediaan menghadapi konflik yang dijangka berpanjangan.

Antara aset yang dihantar ialah pesawat pejuang F-16 dari Jerman, pesawat pejuang halimunan F-35 dari Britain serta pesawat pengisian bahan api di udara.

Seorang pegawai tentera Israel turut mengesahkan sebahagian pesawat pengisian minyak Amerika akan ditempatkan di pangkalan Tentera Udara Israel.

Bagaimanapun, Centcom enggan mengulas mengenai penempatan aset tambahan itu.

Pegawai Amerika berkata pemindahan pesawat berkenaan sebenarnya telah dirancang sebelum serangan Iran di Jordan yang mengorbankan anggota tentera Amerika.

Ketegangan turut menjejas keselamatan laluan perkapalan di Selat Hormuz, yang menjadi laluan penting eksport minyak dunia.

Pusat Operasi Perdagangan Maritim Tentera Laut Diraja Britain (UKMTO) memaklumkan menerima laporan sebuah kapal terbakar berhampiran pantai Oman, walaupun punca kejadian masih belum dapat disahkan.

Kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak kira-kira 3 peratus pada Ahad, melepasi paras AS$90 ($116) setong buat kali pertama sejak 11 Jun. – Agensi berita.

Konflik antara Amerika dengan Iran semakin memuncak selepas gencatan senjata sementara yang dimeterai pada Jun lalu musnah akibat kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian.

Perang yang bermula apabila Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari bagi melumpuhkan program nuklear dan peluru berpandunya kini telah meragut ribuan nyawa, kebanyakannya di Iran dan Lebanon, selain mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga serta inflasi sejagat. – Agensi berita