Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran lancar serangan baharu pangkalan tentera AS, konflik berterusan
Iran lancar serangan baharu pangkalan tentera AS, konflik berterusan
Serangan balas berterusan hari keenam ancam gencatan senjata dipersetujui; trafik perkapalan di Selat Hormuz sekali lagi hampir terhenti
Iran lancar serangan baharu pangkalan tentera AS, konflik berterusan
TEHERAN: Iran melancarkan satu lagi siri serangan terhadap kemudahan tentera Amerika Syarikat di rantau Teluk pada 17 Julai.
Ia dilakukan ketika konflik antara kedua-dua negara terus memuncak, selepas enam malam berturut-turut serangan udara Amerika ke atas sasaran ketenteraan Iran.
Perkembangan itu sekali gus menandakan gencatan senjata yang dipersetujui pada Jun lalu kini semakin rapuh, apabila kedua-dua pihak saling melancarkan serangan hampir setiap hari.
Markas Pusat Amerika (Centcom) memaklumkan tenteranya melaksanakan satu lagi operasi udara pada malam 16 Julai, dengan menyasarkan beberapa lokasi strategik di Iran.
Ia termasuk Pulau Qeshm dan kawasan berhampiran Bandar Abbas yang menempatkan pelabuhan terbesar negara itu serta pangkalan utama tentera laut dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Dalam kenyataannya, Centcom berkata pesawat pejuang, dron bersenjata dan kapal perang Amerika melancarkan serangan tepat ke atas puluhan sasaran ketenteraan.
“Sasaran termasuk tapak pengawasan pantai, sistem pertahanan udara, prasarana logistik ketenteraan dan keupayaan maritim Iran, bagi terus melemahkan kemampuan ketenteraan negara itu,” ujar kenyataan berkenaan.
Sebagai tindak balas, tentera Iran mengumumkan bahawa mereka menyerang kemudahan tentera Amerika di Bahrain dan Kuwait pada awal pagi 17 Julai.
Sebelum ini, Iran turut melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah beberapa pangkalan tentera Amerika di negara jiran, termasuk sebuah pangkalan udara di Jordan.
Di Qatar, beberapa bunyi letupan dilaporkan kedengaran di ibu negara, Doha.
Kementerian Dalam Negeri Qatar memaklumkan seorang kanak-kanak cedera akibat terkena serpihan letupan.
Media Iran pula melaporkan serangan Amerika kali ini turut mengena lima jambatan, stesen kereta api di Bandar Khamir serta Lapangan Terbang Iranshahr di tenggara negara itu.
Agensi berita rasmi, Irna, melaporkan tujuh orang terbunuh dalam serangan ke atas jambatan di Bandar Khamir, sebuah bandar pelabuhan di selatan Iran.
Bagaimanapun, laporan itu belum dapat disahkan secara bebas.
Konflik yang kian memuncak turut memberi kesan besar kepada laluan perdagangan dunia, apabila trafik perkapalan di Selat Hormuz sekali lagi hampir terhenti.
Selat Hormuz merupakan laluan paling penting bagi penghantaran minyak dan gas dunia, dengan sebahagian besar eksport tenaga sejagat melalui kawasan itu setiap hari.
Teheran dilaporkan menyambung semula sekatan terhadap laluan berkenaan, manakala Washington memperketat sekatan terhadap pelabuhan Iran sejak 15 Julai.
Langkah itu menyebabkan harga minyak dunia kembali meningkat, berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga sejagat.
Sumber yang mengetahui perkembangan itu berkata Iran turut memberi bayangan menggesa sekutunya, kumpulan Houthi di Yaman, menutup Selat Bab al-Mandeb di pintu masuk Laut Merah sekiranya Amerika terus menyerang prasarana Iran.
Selat Bab al-Mandeb ialah satu lagi laluan perdagangan antarabangsa yang penting bagi kapal dagang menuju Terusan Suez.
Terdahulu, Iran turut menyerang beberapa kapal yang melalui koridor perkapalan di Selat Hormuz.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata Presiden Donald Trump tidak akan membiarkan tindakan yang disifatkannya sebagai “perbuatan keganasan aktif” di Selat Hormuz berterusan, tanpa tindak balas.
“Presiden tidak akan berdiam diri dan akan memastikan Iran menerima akibat daripada tindakan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Encik Trump masih terbuka kepada usaha diplomatik bagi menamatkan konflik.
Sumber Iran pula memberitahu agensi berita, Reuters, bahawa Teheran masih mahu mengekalkan Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai pada Jun kerana ia dianggap memenuhi sebahagian besar tuntutan Iran.
Menurut sumber itu, matlamat utama Iran ketika ini adalah mengukuhkan kawalan terhadap Selat Hormuz tanpa mencetuskan perang yang lebih besar.
Di bawah MOU itu, tempoh rundingan selama 60 hari diberikan sebelum Iran bercadang mengenakan bayaran kepada kapal-kapal yang menggunakan laluan berhampiran pantainya.
Amerika pula sebelum ini menggalakkan kapal dagang menggunakan laluan alternatif di sepanjang pantai Oman bagi mengurangkan pergantungan kepada laluan yang dikawal Iran.
Centcom berkata serangan udara Amerika di sepanjang pesisir pantai Iran bertujuan melumpuhkan keupayaan Teheran mengawal Selat Hormuz.
Namun, jurucakap Tentera Iran, Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia, menegaskan strategi itu tidak akan berjaya.
“Iran mampu menyerang Selat Hormuz dari mana-mana bahagian wilayahnya,” katanya.
Sementara itu, Encik Trump masih belum menolak kemungkinan menggunakan tentera darat, termasuk merampas Pulau Kharg, yang menjadi terminal eksport minyak utama Iran.
Beliau juga mengulangi ancaman untuk menyerang loji jana kuasa dan jambatan di Iran sekiranya Teheran enggan kembali ke meja rundingan.
Di Teheran, penduduk mula menunjukkan keletihan akibat konflik berpanjangan.
“Perasaan takut perang akan tercetus semula amat memenatkan.
“Kami tidak boleh hidup dalam keadaan begini selama-lamanya. Saya berharap diplomasi dapat mengatasi peperangan,” kata seorang kakitangan pemerintah berusia 46 tahun yang hanya dikenali sebagai Cik Mahlegha. – Agensi berita.
