Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS timbang dedah dokumen 9 Sep berkaitan dakwaan penglibatan Saudi
AS timbang dedah dokumen 9 Sep berkaitan dakwaan penglibatan Saudi
NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau akan mempertimbangkan permintaan keluarga mangsa serangan 11 September 2001 supaya lebih banyak rekod pemerintah didedahkan.
Ia termasuk dokumen yang didakwa boleh menjelaskan kemungkinan kaitan individu Arab Saudi dengan pelaku serangan itu.
Encik Trump membuat kenyataan tersebut pada 13 September ketika ditanya wartawan di Ireland sebelum berlepas pulang ke Amerika.
“Saya akan menelitinya apabila saya pulang,” katanya.
Keluarga mangsa serangan 9/11 sudah bertahun-tahun mendesak pemerintah Amerika supaya menyahrahsia lebih banyak dokumen berkaitan serangan yang meragut hampir 3,000 nyawa itu.
Desakan tersebut kembali mendapat perhatian sempena ulang tahun ke-25 serangan berkenaan pada 11 September.
Anggota Kongres dari New York daripada kedua-dua parti turut meminta pentadbiran Encik Trump mendedahkan rekod tertentu, termasuk rekod telefon yang dipercayai boleh memberikan gambaran lebih jelas mengenai pihak yang mungkin membantu perampas pesawat sebelum serangan.
Anggota Dewan Perwakilan Republikan dari New York, Cik Nicole Malliotakis, berkata terdapat harapan pentadbiran sekarang akan memberikan lebih banyak ketelusan.
“Ini mungkin antara peluang terbaik yang kami ada untuk mendapatkan maklumat ini,” katanya kepada ABC News awal September.
Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, baru-baru ini turut mendedahkan kepada orang ramai kira-kira 170,000 halaman dokumen mengenai mutu udara, masalah kesihatan dan tindak balas bandar itu selepas serangan 9/11.
Desakan untuk mendedahkan dokumen lain berkaitan serangan itu menjadi tumpuan semasa upacara memperingati ulang tahun ke-25 tragedi berkenaan di New York.
Cik Terry Strada, yang kehilangan suaminya dalam serangan itu, menggunakan upacara membaca nama mangsa untuk menggesa Encik Trump agar mendedahkan dokumen tanpa bahagian yang dipadamkan mengenai dakwaan kaitan pegawai Saudi dengan pelaku serangan.
“Selama 25 tahun, pentadbiran demi pentadbiran memilih untuk melindungi Saudi daripada berdiri bersama keluarga 9/11,” katanya.
“Presiden Trump masih boleh mengubah keadaan itu.”
Seorang lagi peserta turut meminta Encik Trump mendedahkan fail sepenuhnya sementara anggota keluarga mangsa yang masih hidup berpeluang mengetahui kandungannya.
Encik Brett Eagleson, yang bapanya terbunuh dalam serangan itu, turut mempersoalkan mengapakah dokumen 9/11 belum didedahkan sepenuhnya sedangkan Encik Trump sebelum ini mengarahkan pembukaan fail berkaitan pembunuhan Presiden John F. Kennedy.
“Kita sudah melihat beliau melakukannya untuk fail JFK. Mengapa tidak fail 9/11?” katanya.
Arab Saudi sejak sekian lama menolak dakwaan bahawa pemerintahnya terlibat dalam serangan tersebut.
Seramai 15 daripada 19 perampas pesawat dalam serangan 9/11 ialah warga Saudi, tetapi Riyadh menegaskan negara itu tidak bertanggungjawab terhadap serangan yang dirancang Al-Qaeda di bawah pimpinan Osama bin Laden.
Bagaimanapun, keluarga mangsa terus mengambil tindakan undang-undang untuk menentukan sama ada individu yang mempunyai hubungan dengan pemerintah Arab Saudi membantu perampas pesawat.
Pada 2025, seorang hakim persekutuan Amerika memutuskan terdapat bukti mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa dua individu yang didakwa bekerja untuk Arab Saudi mungkin memberikan bantuan kepada perampas pesawat.
Riyadh bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Isu itu turut menjadi perhatian kerana hubungan rapat antara Encik Trump dengan Putera Mahkota Saudi, Putera Mohammed bin Salman.
Amerika dan Arab Saudi sudah berdekad menjalin hubungan strategik dalam bidang keselamatan, ketenteraan dan perisikan, manakala Riyadh merupakan antara pembeli terbesar peralatan ketenteraan Amerika.
Ketika bertemu Encik Trump di Rumah Putih pada 2025, Putera Mohammed berkata beliau memahami penderitaan keluarga mangsa 9/11, tetapi menegaskan Osama sengaja menggunakan warga Saudi dalam serangan tersebut untuk merosakkan hubungan antara Washington dengan Riyadh.
Di sebalik desakan supaya dokumen didedahkan, seorang anak mangsa 9/11 mengingatkan supaya tragedi itu tidak digunakan untuk mencetuskan kebencian terhadap masyarakat Islam.
Lelaki yang bapanya, Encik Michael Massaroli, terbunuh dalam serangan tersebut berkata memperingati mangsa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membenci orang berdasarkan agama atau latar belakang mereka.
“Tragedi ini tetap sebuah tragedi,” katanya.
“Anda tidak menghormati legasi ayah saya dan semua mangsa ini dengan menggunakan tragedi tersebut untuk menyebarkan kebencian.” – Agensi berita.
