WASHINGTON: Amerika Syarikat sedang meneliti satu cadangan baru bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza untuk menggantikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Washington tetapi kini sarat kontroversi, menurut dokumen yang dilihat oleh Reuters.
Cadangan itu merupakan antara beberapa pelan yang sedang dikaji oleh pentadbiran Amerika ketika usaha ditingkatkan bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke wilayah Palestin yang musnah selepas dua tahun perang.
Sejak 13 hari lalu, satu gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas masih bertahan, dan penghantaran bantuan ke Gaza dilaporkan meningkat.
Pelan itu mencadangkan pembentukan ‘Jalur Kemanusiaan Gaza’ iaitu 12 hingga 16 hab kemanusiaan yang akan ditempatkan di sepanjang sempadan kawasan di mana tentera Israel telah berundur.
Hab tersebut bertujuan melayani penduduk di kedua-dua bahagian sempadan.
Setiap hab akan merangkumi pusat agihan makanan, air, ubat-ubatan, serta kemudahan asas seperti dapur besar, pusat perubatan, dan kemudahan pemulihan air serta elektrik.
Ia turut dicadangkan agar wujud “kemudahan penyerahan senjata secara sukarela” untuk anggota militan yang ingin menyerah diri dan menerima pengampunan.
Menurut cadangan itu, operasi hab akan diselia oleh Pusat Penyelarasan Sivil-Tentera (CMCC), yang juga akan memantau keselamatan konvoi bantuan menggunakan dron.
“Tujuannya adalah memastikan Hamas tidak mengganggu penghantaran bantuan,” jelas dokumen tersebut.
GHF yang pada asalnya diperkenalkan oleh Israel sebagai alternatif kepada sistem bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kini menghadapi krisis kewangan dan tuduhan berat.
Selama enam bulan lalu, GHF dikritik kerana didakwa menjejaskan keselamatan penduduk Gaza yang datang untuk mendapatkan bantuan.
Walaupun Israel mendakwa model itu dapat mengurangkan pengaruh Hamas, Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu sendiri mengakui ia gagal.
“Model itu tidak berkesan dan tidak sesuai untuk keperluan semasa,” katanya dalam temu bual bersama Fox News pada September lalu.
GHF, yang dikendalikan oleh kontraktor keselamatan Amerika telah menggantung operasinya sejak gencatan senjata bermula.
Seorang jurucakap yayasan itu mengesahkan bahawa dana yang tinggal hanya cukup sehingga akhir November.
“Kami masih komited untuk membantu selagi termampu,” katanya.
Cadangan baru itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan agensi kemanusiaan antarabangsa.
Seorang pegawai kanan bantuan berkata: “Hab bantuan seperti yang digambarkan itu membimbangkan kerana menyerupai tapak GHF di kawasan yang dikawal tentera Israel.”
Sebelum ini, PBB dan beberapa pertubuhan bukan pemerintah (NGO) menolak bekerjasama dengan GHF atas alasan model tersebut menjadikan bantuan kemanusiaan sebagai alat politik dan bercorak ketenteraan.
Mereka juga mendakwa sistem itu menyebabkan perpindahan penduduk secara paksa.
Seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali menegaskan bahawa dokumen tersebut “hanyalah satu kertas konsep” dan belum menggambarkan dasar rasmi. “Ia masih dalam peringkat awal dan bukan pelan muktamad,” katanya kepada Reuters.
Di bawah cadangan baru itu, semua bantuan akan disalurkan melalui hab dalam tempoh 90 hari, dengan PBB dan NGO tempatan diwajibkan menggunakan platform logistik CMCC.
GHF pula akan digantikan oleh agensi lain termasuk Palang Merah Amiriah Arab Bersatu dan Maghribi, serta organisasi Kristian Samaritan’s Purse.
“Kami telah didekati untuk menyertai rancangan Amerika dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza, namun butiran lanjut masih dibangunkan,” kata Encik Stephen Sneed, jurucakap Samaritan’s Purse.
Seorang diplomat Barat memberitahu Reuters bahawa negara Eropah menentang keras sebarang peranan masa depan GHF di Gaza.
“Tumpuan kini ialah bagaimana menggunakan infrastruktur GHF sedia ada, termasuk tapak dan stok bantuannya, untuk diserahkan kepada agensi lain,” katanya.
Jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) mengesahkan bahawa agensi antarabangsa dan penderma telah menyertai mesyuarat pertama yang dipengerusikan oleh Amerika.
“Kami masih dalam peringkat perbincangan, namun komitmen kami untuk meningkatkan penghantaran bantuan bagi menjangkau semua penduduk Gaza yang memerlukan kekal utuh,” katanya. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg