Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel setuju syarat gencatan senjata 60 hari di Gaza, Trump seru Hamas terima tawaran

Mesir, Qatar bincang usaha bersama hidupkan semula rundingan gencatan senjata Gaza
Jul 2, 2025 | 10:32 AM
Zawayda, tengah Jaluran Gaza, musnah
Seorang wanita Palestin melihat kesan kemusnahan di lokasi serangan Israel ke atas sebuah rumah yang berlaku di Zawayda, tengah Jaluran Gaza, pada 1 Julai 2025. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mengumumkan bahawa Israel telah bersetuju dengan “syarat-syarat yang perlu” untuk memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari di Gaza.

Kenyataan itu dibuat menerusi wadah Truth Social pada 1 Julai, ketika usaha diplomatik oleh Mesir, Qatar dan Amerika semakin dipertingkat bagi meredakan konflik yang berlarutan sejak Oktober 2023.

Encik Trump menyifatkan rundingan terkini sebagai peluang penting untuk menghentikan perang.

“Kami akan bekerjasama dengan semua pihak untuk menamatkan perang ini,” tulisnya.

Beliau turut memberi amaran kepada Hamas agar tidak menolak cadangan tersebut: “Saya harap Hamas terima perjanjian ini, kerana ia tidak akan menjadi lebih baik MALAH AKAN MENJADI LEBIH BURUK.”

Setakat ini, masih belum jelas sama ada Hamas akan menerima syarat yang ditetapkan.

Seorang pegawai kanan Hamas sebelum ini memaklumkan kepada BBC bahawa usaha perantaraan telah dipertingkat, namun rundingan dengan Israel masih tergendala.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, dan rakan sejawatnya dari Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon pada 1 Julai.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir yang dipetik oleh agensi berita Turkey, Anadolu Ajansi (AA), perbualan itu memberi tumpuan kepada usaha bersama dengan Amerika untuk menghidupkan semula rundingan gencatan senjata Gaza.

“Kami sedang berusaha ke arah satu penyelesaian yang menyeluruh, termasuk pembebasan tahanan dan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan ke Gaza,” kata Encik Abdelatty.

Beliau turut mendedahkan bahawa Kahirah sedang merangka inisiatif baru mencadangkan gencatan senjata 60 hari sebagai pertukaran kepada pembebasan beberapa tawanan Israel dan kemasukan segera bantuan.

Tiga negara Mesir, Qatar dan Amerika pernah menjadi perantara kepada perjanjian gencatan senjata tiga fasa antara Israel dengan Hamas yang bermula pada 19 Januari.

Namun perjanjian itu gagal selepas Israel melancarkan semula serangan pada 18 Mac.

Kenyataan Encik Trump dibuat menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang dijadual pada 7 Julai.

Dalam masa yang sama, Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Encik Ron Dermer, dijadual bertemu utusan khas Amerika ke Timur Tengah, Encik Steve Witkoff; Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio; dan Naib Presiden, Encik JD Vance, di Washington.

Walaupun rundingan sedang berlangsung, keganasan di Gaza belum reda.

Pada 30 Jun, sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kafe tepi pantai di Bandar Gaza, menurut keterangan perubatan dan saksi.

Israel turut mengarahkan pemindahan penduduk di utara Gaza, memberi isyarat kepada peningkatan operasi ketenteraan.

Angkatan tentera Israel turut menyatakan sedang menyiasat laporan adanya orang awam cedera atau terbunuh ketika menghampiri pusat agihan bantuan kemanusiaan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), badan yang disokong Amerika dan Israel.

Lebih 170 badan bukan pemerintah antarabangsa termasuk Oxfam dan Save the Children mendesak agar GHF ditutup, dengan mendakwa tentera Israel sering melepaskan tembakan ke arah penduduk Palestin yang datang untuk mendapatkan bantuan.

Namun Israel menafikan tuduhan itu dan menegaskan bahawa GHF perlu bagi mengelakkan campur tangan Hamas dalam agihan bantuan.

Setakat ini, sekitar 50 tebusan Israel masih berada di Gaza, dan sekurang-kurangnya 20 daripada mereka dipercayai masih hidup.

Hamas kekal menuntut gencatan senjata berkekalan dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza – tuntutan yang dianggap tidak realistik oleh Tel Aviv.

Israel menegaskan bahawa perang hanya akan berakhir selepas Hamas dimusnahkan sepenuhnya.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, lebih 56,000 rakyat Palestin terkorban sejak konflik bermula pada 7 Oktober 2023.

Konflik itu tercetus selepas serangan mengejut oleh Hamas ke atas wilayah Israel, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg