Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS timbang sekatan berkaitan keganasan terhadap UNRWA

Dec 11, 2025 | 2:51 PM
Pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB menyifatkan UNRWA sebagai tulang belakang tindak balas bantuan di Gaza ekoran perang dua tahun antara Israel dengan Hamas yang mencetuskan krisis kemanusiaan.
Pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB menyifatkan UNRWA sebagai tulang belakang tindak balas bantuan di Gaza ekoran perang dua tahun antara Israel dengan Hamas yang mencetuskan krisis kemanusiaan. - Foto: REUTERS

WASHINGTON: Para pegawai pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengadakan perbincangan lanjut mengenai sekatan berkaitan keganasan terhadap Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Menurut dua sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu, langkah itu mencetuskan kebimbangan undang-undang dan kemanusiaan yang serius di dalam Jabatan Negara.

UNRWA beroperasi di Gaza, Tebing Barat, Lebanon, Jordan dan Syria, menyediakan bantuan, persekolahan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan sosial dan tempat perlindungan kepada berjuta-juta rakyat Palestin.

Pegawai tertinggi PBB dan Majlis Keselamatan PBB menyifatkan UNRWA sebagai tulang belakang tindak balas bantuan di Gaza ekoran perang dua tahun antara Israel dengan Hamas yang mencetuskan krisis kemanusiaan.

Bagaimanapun, Israel dan pentadbiran Presiden Trump telah menuduh agensi itu mempunyai hubungan dengan Hamas, dakwaan yang dipertikaikan dengan keras oleh UNRWA.

Israel telah menerbitkan bukti pekerja UNRWA mengambil bahagian dalam serangan 7 Oktober 2023, dan dalam mengambil dan menjaga tebusan, serta menuduh sekolah agensi itu mengagungkan keganasan dan menentang hak Negara Israel untuk wujud.

Washington telah lama menjadi penyumbang dana terbesar UNRWA, tetapi menghentikan pembiayaan pada Januari 2024 selepas Israel menuduh sedozen kakitangan UNRWA mengambil bahagian dalam serangan Hamas yang mencetuskan perang di Gaza.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, pernah menuduh agensi itu sebagai “anak syarikat Hamas,” yang ditetapkan oleh Amerika sebagai organisasi pengganas pada 1997.

Tidak jelas sama ada perbincangan Amerika itu tertumpu kepada sekatan terhadap seluruh agensi atau hanya pegawai tententu UNRWA atau operasinya.

Pegawai Amerika nampaknya belum memutuskan jenis sekatan terhadap UNRWA.

Antara kemungkinan yang telah dibincangkan termasuk mengisytiharkan UNRWA sebagai “organisasi pengganas asing,” kata sumber itu, walaupun tidak jelas sama ada pilihan itu - yang akan mengasingkan UNRWA secara kewangan - masih menjadi pertimbangan yang serius.

Tindakan tersebut boleh menyebabkan usaha bantuan pelarian menjadi kucar-kacir dan melumpuhkan UNRWA, yang sedia dibelenggu krisis pembiayaan.

Menghukum UNRWA atas dasar berkaitan keganasan adalah sesuatu yang luar biasa dan ketara, memandangkan Amerika merupakan anggota dan negara tuan rumah PBB, yang mewujudkan agensi itu pada 1949.

Pengarah pejabat UNRWA di Washington, Encik William Deere, berkata agensi itu akan “kecewa” jika pegawai AS membincangkan penetapan agensi itu sebagai badan pengganas dan langkah tersebut “tidak pernah berlaku sebelum ini dan tidak wajar.” - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg