BAITULMAKDIS: Israel akan memutuskan hubungan dengan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada 30 Januari, menyusuli dakwaan bahawa agensi itu memberi perlindungan kepada pejuang Hamas.
Langkah itu berkemungkinan menghambat UNRWA dalam menyediakan perkhidmatan utama selepas 15 bulan peperangan di Gaza.
UNRWA akan dilarang beroperasi di wilayah Israel dan mengadakan sebarang hubungan dengan pegawai Israel.
Agensi itu telah menyediakan sokongan untuk pelarian Palestin di Timur Tengah lebih 70 tahun, namun sudah sekian lama mempunyai hubungan tegang dengan Israel kerana ia sering dituduh mengancam keselamatan negara itu.
Ketegangan memuncak selepas insiden 7 Oktober 2023, apabila Hamas melancarkan serangan ke atas Israel, dengan negara itu mendakwa pekerja UNRWA turut terlibat.
“UNRWA adalah pertubuhan yang dipenuhi dengan kegiatan keganasan Hamas,” kata jurucakap kementerian luar Israel, Encik Oren Marmorstein, di platform media sosial X.
“Ini sebabnya, mulai 30 Januari dan mengikut undang-undang Israel, Israel tidak akan ada hubungan dengan UNRWA.”
Pejabat dan kakitangan agensi UNRWA di Israel memainkan peranan utama dalam penyediaan penjagaan kesihatan dan pendidikan kepada rakyat Palestin, termasuk penduduk Gaza, yang terjejas oleh perang antara Hamas dan Israel.
Pada 29 Januari, jurucakap pemerintah Israel, Encik David Mencer, mendakwa “UNRWA menggajikan lebih 1,200 anggota Hamas, termasuk pengganas terlibat dalam serangan pada 7 Oktober”.
“Ini bukan bantuan, tetapi sokongan kewangan langsung untuk keganasan,” dakwanya.
Pada 29 Januari, Mahkamah Agung Israel menolak petisyen oleh kumpulan hak asasi manusia Palestin, Adalah, yang mencabar larangan terhadap UNRWA.
Mahkamah itu menarik perhatian undang-undang itu “hanya melarang kegiatan UNRWA di wilayah kedaulatan Negara Israel”, namun “tidak melarang aktiviti sedemikian di kawasan Judea-Samaria (Tebing Barat) dan Gaza”.
Larangan itu juga termasuk di timur Baitulmakdis, yang diduduki Israel, yang menempatkan ibu pejabat UNRWA bagi operasinya di Tebing Barat.
Mengulas keputusan tersebut, Adalah berkata larangan itu “tidak mengendahkan kesan kemanusiaan yang dahsyat‘.
Langkah itu, yang disokong sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat, mengundang kecaman daripada kumpulan bantuan dan sekutu Amerika yang lain.
Ketua Setiausaha PBB, Encik Antonio Guterres, pada 28 Januari, menuntut Israel menarik balik larangan itu sambil menegaskan UNRWA “tidak dapat diganti”.
Ketua agensi tersebut, Encik Philippe Lazzarini, berkata kapasiti UNRWA mengagihkan bantuan “jauh melebihi mana-mana entiti lain”, dan menyifatkan tindakan Israel itu sebagai serangan yang tidak henti-henti dan merosakkan kehidupan dan masa depan rakyat Palestin.
Satu siri siasatan, termasuk yang diketuai mantan menteri Luar Perancis, Cik Catherine Colonna, mendapati Israel tidak dapat membuktikan dakwaannya.
Pentadbiran baru Presiden Amerika, Encik Donald Trump turut menyokong langkah Israel, dengan menuduh UNRWA memperbesarkan kesan keputusan tersebut.
Sementara itu, kumpulan Hamas telah mula menyerahkan tiga tebusan Israel di Gaza pada 30 Januari untuk pembebasan 110 tahanan Palestin dalam peringkat terbaru perjanjian gencatan senjata.
Jurucakap sayap bersenjata kumpulan itu berkata di Telegram ia telah “menyelesaikan prosedur untuk menyerahkan dua tebusan Israel”.
Seorang pegawai Israel memberitahu Reuters bahawa tiga tebusan itu dijangka dibawa ke tiga hospital berbeza di Israel, walaupun itu boleh berubah bergantung kepada pemeriksaan segera mereka daripada doktor semasa ketibaan.
Tiga orang awam Israel dan empat askar sudah dibebaskan sejauh ini dalam gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari. Sebagai balasan, Israel membebaskan 290 banduan dan tahanan Palestin. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg