Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS tingkat tekanan ke atas Iraq agar jauhkan diri dari Iran
AS tingkat tekanan ke atas Iraq agar jauhkan diri dari Iran
Washington sekat AS$500j, sasar militia pro-Iran
AS tingkat tekanan ke atas Iraq agar jauhkan diri dari Iran
BAGHDAD: Iraq kini menghadapi tekanan semakin meningkat daripada Amerika Syarikat agar menjauhkan diri daripada Iran, ketika konflik antara kedua-dua kuasa itu semakin memuncak.
Washington dilaporkan menggantung kerjasama keselamatan serta menyekat penghantaran dolar Amerika ke Iraq sebagai langkah memberi tekanan kepada pemerintah di Baghdad supaya mengambil tindakan terhadap kumpulan militan yang disokong Iran.
Menurut laporan The Wall Street Journal pada 21 April, hampir AS$500 juta ($636 juta) hasil jualan minyak yang sepatutnya disalurkan ke Iraq turut disekat oleh pihak berkuasa kewangan Amerika.
Amerika menegaskan, Iraq perlu bertindak segera membendung kumpulan bersenjata yang didakwa melancarkan serangan terhadap kepentingan Amerika di negara itu.
Jurucakap Timbalan Jabatan Negara Amerika, Encik Tommy Pigott, berkata Washington tidak akan bertolak ansur.
“Amerika Syarikat tidak akan bertolak ansur terhadap serangan ke atas kepentingannya dan mahukan pemerintah Iraq mengambil semua langkah untuk melumpuhkan militia yang disokong Iran,” katanya.
Langkah tersebut termasuk menggantung program latihan ketenteraan dan kerjasama antipengganasan yang sebelum ini melibatkan operasi bersama menentang kumpulan seperti ISIS.
Ketegangan meningkat selepas beberapa serangan dron menyasarkan kemudahan Amerika di Iraq, termasuk serangan berhampiran misi diplomatik di Baghdad.
Washington menyalahkan militia yang dikaitkan dengan Iran atas beberapa siri serangan dron ke atas kemudahan diplomatiknya di Baghdad, manakala kumpulan berkenaan mendakwa tindakan itu adalah sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan Amerika dan Israel.
Menyusuli kejadian tersebut, Amerika telah memanggil Duta Iraq ke Washington bagi menyatakan bantahan rasmi dan mendesak Baghdad supaya mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan bersenjata itu.
Pegawai Kementerian Pertahanan Iraq berkata penggantungan kerjasama oleh Amerika akan memberi kesan besar kepada keupayaan ketenteraan negara itu.
Ia termasuk sokongan logistik kepada tentera udara serta program latihan yang penting untuk operasi keselamatan.
Seorang pegawai berkata penggantungan itu akan berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.
“Kerjasama keselamatan serta pembiayaan dihentikan buat sementara waktu menyusuli siri serangan terhadap kepentingan Amerika di Iraq,” katanya.
Iraq sejak sekian lama mempunyai hubungan rapat dengan kedua-dua Amerika dan Iran, menjadikannya terperangkap dalam persaingan geopolitik antara dua kuasa tersebut.
Kumpulan militia Syiah yang mempunyai hubungan dengan Iran kini menjadi sebahagian daripada struktur keselamatan dan politik Iraq, sekali gus menyukarkan pemerintah negara itu untuk bertindak.
Penganalisis geopolitik, Encik Ramzy Mardini, berkata keadaan itu meletakkan Iraq dalam situasi yang kompleks.
“Sempadan antara negara dengan kumpulan bersenjata di Iraq kini kabur. Ini bukan sekadar soal kemampuan, tetapi struktur negara itu sendiri,” katanya.
Beliau menambah bahawa tekanan Amerika mungkin tidak realistik.
“Anggapan bahawa pemerintah Iraq boleh bertindak secara sepenuhnya dengan bebas dan bersatu adalah tidak tepat,” katanya.
Ketegangan itu turut diperburuk oleh campur tangan politik luar dalam pembentukan kerajaan Iraq.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sebelum ini memberi amaran akan menarik sokongan jika tokoh tertentu yang dilihat pro-Iran kembali memegang jawatan perdana menteri.
Amaran tersebut ditolak oleh pemimpin Iraq, yang menegaskan bahawa pemilihan kepimpinan adalah hak negara itu.
Kedutaan Amerika di Baghdad turut mengeluarkan amaran bahawa militia yang disokong Iran mungkin merancang serangan terhadap warga dan kepentingan Amerika.
Sebagai langkah berjaga-jaga, semua perkhidmatan konsular telah digantung dan rakyat Amerika dinasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan ke Iraq.
Dalam satu kejadian berasingan, seorang wartawan Amerika diculik oleh militia sebelum dibebaskan selepas seminggu, mencerminkan tahap keselamatan yang kian rapuh.
Penasihat keselamatan kepada Perdana Menteri Iraq, Dr Hussein Allawi, berkata kerjasama dengan Amerika masih diperlukan walaupun berdepan tekanan semasa.
“Kerjasama dan penyelarasan perlu diteruskan, tetapi keadaan semasa sangat mencabar,” katanya. – Agensi berita.
