Iraq rancang mesyuarat maya Liga Arab kedua, bincang ketegangan keselamatan serantau
Iraq rancang mesyuarat maya Liga Arab kedua, bincang ketegangan keselamatan serantau
BAGHDAD: Iraq membuat persiapan untuk mengadakan satu lagi mesyuarat maya melibatkan menteri luar Liga Arab bagi membincangkan peningkatan ketegangan keselamatan di rantau Asia Barat.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, mesyuarat ini akan menjadi yang kedua sejak serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari, diikuti serangan balas Teheran.
Perancangan mesyuarat itu diumumkan selepas Menteri Luar Iraq, Fuad Hussein, mengadakan perbincangan telefon berasingan dengan rakan sejawatnya dari Oman, Badr Albusaidi, dan Mesir, Badr Abdelatty.
Dalam perbualan dengan Albusaidi, kedua-dua pihak menekankan “kepentingan menyelaraskan pendirian negara Arab dan memperkukuh kerjasama bersama dalam menghadapi cabaran semasa,” menurut kenyataan Kementerian Luar Iraq.
Hussein dan Abdelatty pula bersetuju bahawa agenda mesyuarat perlu meliputi pelbagai isu dan tidak terhad kepada satu topik sahaja. “Agenda mesyuarat perlu merangkumi pelbagai isu, mencerminkan besarnya cabaran yang dihadapi rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat maya sebelum ini diadakan pada 10 Mac sebagai sesi kecemasan Liga Arab bagi membincangkan kesan awal konflik tersebut.
Ketika itu, menteri luar negara Arab mengecam serangan Iran ke atas negara-negara serantau dan menggesa agar ia dihentikan segera.
Ketegangan terus meningkat sejak akhir Februari apabila serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran diikuti serangan balas Tehran menggunakan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika.
Mesyuarat yang akan datang dijangka memberi tumpuan kepada penyelarasan strategi serantau yang lebih menyeluruh ketika situasi keselamatan semakin meruncing.

