WASHINGTON: Amerika Syarikat pada 26 Mei menangkis dakwaan Hamas bahawa kumpulan itu telah menerima cadangan gencatan senjata Gaza yang melibatkan pembebasan 10 tebusan dalam dua kelompok dan gencatan senjata selama 70 hari.
Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan Hamas berkata sebelum ini bahawa kumpulan itu telah bersetuju dengan cadangan utusan khas Amerika, Encik Steve Witkoff, untuk melaksanakan gencatan senjata Gaza, yang diterima oleh Hamas melalui perantara.
Tetapi Axios melaporkan bahawa jurucakap Encik Witkoff, berkata utusan Amerika itu mempertikaikan persetujuan kumpulan Palestin dengan cadangannya.
“Utusan Rumah Putih Steve Witkoff menolak dakwaan Hamas bahawa kumpulan itu telah bersetuju dengan cadangannya untuk perjanjian tebusan dan gencatan senjata,” kata wartawan Axios, Encik Barak Ravid, menerusi X.
Beliau memetik utusan Amerika itu sebagai berkata: “Apa yang saya lihat dari Hamas adalah mengecewakan dan tidak boleh diterima sama sekali.”
Rangka utama perjanjian itu didedahkan ketika Israel meningkatkan serangannya di wilayah Palestin, dan rentetan daripada beberapa rundingan sebelumnya yang gagal sejak gencatan senjata terakhir selama dua bulan tidak diteruskan pada pertengahan Mac.
Sumber Hamas berkata perjanjian itu termasuk “gencatan senjata selama 70 hari sebagai pertukaran untuk pembebasan 10 tebusan dalam dua kelompok, dan semasa gencatan senjata itu, rundingan akan bermula dengan gencatan senjata kekal dengan jaminan Amerika”.
Amerika, Mesir dan Qatar terlibat dalam perantaraan rundingan gencatan senjata sepanjang perang.
Encik Witkoff terlibat dalam rundingan yang sebelum ini membawa kepada perjanjian gencatan senjata terakhir.
Tetapi pemberhentian dalam pertempuran menjadi berantakan di tengah-tengah perselisihan pendapat tentang cara untuk bergerak ke hadapan, dengan Israel menyambung semula operasinya di Gaza pada 18 Mac.
Pada 2 Mac, Israel mengenakan sekatan penuh ke atas kemasukan bantuan ke atas Gaza yang dikatakan bertujuan memaksa konsesi daripada Hamas.
Ekoran tindakan Israel itu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ia telah mewujudkan kekurangan makanan, air bersih, bahan api dan ubat-ubatan yang kritikal.
Israel telah berikrar untuk menguasai Gaza sehingga Hamas dimusnahkan dan baki 58 tebusan yang ditahan dalam serangan pada 7 Oktober 2023.
Serangan Hamas itu telah membunuh lebih 1,200 orang dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.
Namun, serangan balas Israel telah membunuh lebih 67,000 rakyat Palestin dan memusnah hampir sebahagian besar wilayah Palestin itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg