Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua WHO sebak, mohon Israel tunjuk belas kasihan di Gaza

Penduduk Gaza diserang selepas Israel arah pindah, 50 maut
May 23, 2025 | 2:09 PM
palestin, jaluran gaza, penduduk, pindah, israel, serangan udara
Para penduduk Palestin membawa barangan keperluan dan meninggalkan kediaman mereka di utara Jaluran Gaza pada 22 Mei, selepas Israel mengeluarkan arahan berpindah. - Foto REUTERS

GENEVA: Sambil menahan air mata, ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 22 Mei memohon Israel supaya “belas kasihan” dalam perang Gaza dan menegaskan keamanan adalah demi kepentingan Israel sendiri.

Dalam ucapan berbaur emosi di perhimpunan tahunan WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata perang itu mengguris an Israel dan tidak akan membawa penyelesaian yang berkekalan.

“Saya dapat merasakan perasaan orang di Gaza pada masa ini. Saya dapat membayangkannya. Saya dapat mendengar walaupun bunyinya. Dan ini disebabkan mereka menghadapi gangguan tekanan selepas trauma.

“Anda boleh bayangkan bagaimana derita yang menyelubungi mereka. Ia benar-benar salah untuk menggunakan makanan sebagai senjata dalam perang. Ia juga sangat salah untuk menggunakan bekalan perubatan sebagai senjata,” kata Dr Tedros, 60 tahun, sambil mengimbas kembali pengalamannya sendiri semasa perang di Habsyah.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 Mei telah mula mengagihkan sekitar 90 trak bantuan kemanusiaan, yang merupakan penghantaran pertama ke Gaza sejak Israel mengenakan sekatan sepenuhnya pada 2 Mac.

Dr Tedros berkata hanya penyelesaian politik boleh membawa keamanan yang bermakna.

“Seruan untuk perdamaian sebenarnya adalah untuk kepentingan terbaik Israel sendiri. Saya merasakan bahawa perang itu merugikan Israel sendiri dan ia tidak akan membawa penyelesaian yang berkekalan.

“Saya bertanya sama ada anda boleh tunjukkan belas kasihan. Ia baik untuk anda dan baik untuk rakyat Palestin. Ia baik untuk manusia,” ujar beliau.

Pengarah Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan, berkata bahawa 2.1 juta orang di Gaza “dalam bahaya di ambang kematian”.

“Kita perlu menamatkan kebuluran, kita perlu membebaskan semua tebusan dan kita juga perlu membekalkan semula bantuan makanan dan membawa sistem kesihatan kembali ke Gaza,” ujar beliau.

“Sebagai bekas tebusan, saya boleh katakan bahawa semua tebusan harus dibebaskan kerana keluarga mereka menderita dan dalam kesakitan,” tambahnya.

WHO berkata penduduk Gaza mengalami kekurangan makanan, air, bekalan perubatan, bahan api dan tempat tinggal mereka begitu mengaibkan.

Empat hospital utama di Jaluran Gaza pula terpaksa menangguhkan perkhidmatan perubatan pada minggu lalu, kerana berdekatan dengan zon permusuhan atau pemindahan, dan serangan.

Hanya 19 daripada 36 hospital di wilayah Palestin itu yang masih beroperasi, dengan kakitangan bekerja dalam “keadaan yang mustahil”, kata agensi kesihatan PBB dalam satu kenyataan.

Menurut agensi itu, sekurang-kurangnya 94 peratus daripada semua hospital di Jaluran Gaza rosak atau musnah manakala utara Gaza “telah dilupuskan daripada hampir semua penjagaan kesihatan’’.

Ia berkata hanya 2,000 katil hospital kekal tersedia di Gaza - sangat tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.

“Kemusnahan dijalankan secara sistematik. Hospital dipulihkan hanya untuk terdedah kepada permusuhan atau diserang lagi. Kitaran yang merosakkan ini mesti berakhir,” tambah kenyataan itu.

Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh sekitar 1,200 orang dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.

Serangan balas dan berterusan Israel telah membunuh lebih 67,000 rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar wilayah Palestin itu.

Dalam masa yang sama, lebih 50 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh akibat serangan udara Israel di Jaluran Gaza, selepas tentera Israel mengarahkan orang awam berpindah pada 22 Mei.

Amaran pemindahan terbaru bagi sebahagian Bandar Gaza dan kawasan berdekatan itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan akan memulakan pengagihan 90 trak bantuan.

Ia adalah penghantaran pertama sejak Israel mengenakan sekatan penuh pada 2 Mac, susulan tekanan antarabangsa untuk menamatkan sekatan dan menghentikan serangan yang semakin meluas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengulangi kesediaan untuk menerima ‘gencatan senjata sementara’, namun menegaskan bahawa tentera Israel berhasrat mengawal seluruh Gaza.

Beliau masih berpegang kepada tiga syarat iaitu pembebasan semua tebusan Israel, semua anggota Hamas meletakkan senjata dan Gaza diletakkan di bawah kawalan Israel selepas perang. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg