Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS, Ukraine adakan rundingan di Jeddah, tumpu penyelesaian segera perang

Mar 11, 2025 | 4:07 PM
Foto edaran Agensi Berita Rasmi Arab Saudi (SPA) ini menunjukkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (kanan) mengiringi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky semasa upacara kawalan kehormatan di Istana Diraja, Jeddah pada 10 Mac 2025. Ukraine dijadualkan membentangkan kepada Amerika Syarikat pada 11 Mac satu pelan gencatan senjata dengan Russia, dalam usaha untuk mengembalikan sokongan daripada sekutunya yang kini, di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, menuntut konsesi bagi menamatkan perang yang telah berlarutan selama tiga tahun.
Foto edaran Agensi Berita Rasmi Arab Saudi (SPA) ini menunjukkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (kanan) mengiringi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky semasa upacara kawalan kehormatan di Istana Diraja, Jeddah pada 10 Mac 2025. Ukraine dijadualkan membentangkan kepada Amerika Syarikat pada 11 Mac satu pelan gencatan senjata dengan Russia, dalam usaha untuk mengembalikan sokongan daripada sekutunya yang kini, di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, menuntut konsesi bagi menamatkan perang yang telah berlarutan selama tiga tahun. - Foto AFP

JEDDAH: Pegawai tertinggi Amerika Syarikat dan Ukraine bertemu di Jeddah pada 11 Mac bagi membincangkan usaha memulihkan hubungan dua hala dan menilai kesediaan Ukraine untuk membuat sebarang kompromi dalam usaha Presiden Donald Trump menamatkan perang Rusia-Ukraine secepat mungkin.

Rundingan ini berlangsung dalam suasana dasar luar Amerika yang telah berubah secara drastik sejak Encik Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu. Sejak itu, Washington menghentikan bantuan ketenteraan kepada Kyiv, menggantung perkongsian risikan dan memulakan rundingan terus dengan Moscow.

Hubungan antara kedua-dua negara merosot mendadak selepas insiden pertengkaran terbuka antara Encik Trump dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky di Rumah Putih pada Februari.

Perbalahan itu turut menjejas perjanjian mineral yang dilihat penting dalam mengekalkan sokongan Amerika, sebagai balasan kepada bantuan ketenteraan bernilai AS$65 bilion ($86.4 bilion) yang telah disalurkan kepada Ukraine sejak pencerobohan besar-besaran Russia pada 2022.

Dalam tekanan politik yang semakin meningkat dari Washington, Encik Zelensky berusaha membuktikan komitmen Ukraine untuk menamatkan perang walaupun tidak berjaya memperoleh jaminan keselamatan daripada Amerika yang dianggap kritikal dalam perjanjian damai.

“Kita perlu memahami kedudukan Ukraine dan tahu secara umum apakah kompromi yang sanggup mereka pertimbangkan. Tidak akan ada gencatan senjata atau penamatan perang selagi kedua-dua pihak tidak berkompromi,” kata Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio kepada media pada 10 Mac ketika dalam penerbangan ke Jeddah.

Encik Rubio akan ditemani Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Mike Waltz dalam pertemuan dengan delegasi Ukraine yang diketuai oleh pembantu kanan Zelensky, Andriy Yermak.

Encik Zelensky sendiri berada di Arab Saudi pada 10 Mac untuk bertemu Putera Mahkota Mohammed bin Salman, tetapi tidak akan menyertai rundingan tersebut.

Sementara itu, utusan khas Trump untuk Timur Tengah, Steve Witkoff, yang kini terlibat secara langsung dalam diplomasi Ukraine, menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian mineral antara AS dan Ukraine akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Menurut sumber, Encik Witkoff dijadualkan mengadakan kunjungan susulan ke Moscow untuk bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin – selepas pertemuan pertama mereka pada Februari lalu.

Negara-negara Eropah yang menyokong Ukraine memberi amaran agar Kyiv tidak didesak terlalu awal untuk duduk di meja rundingan. Mereka berpendapat sebarang perjanjian damai hanya boleh dicapai sekiranya Ukraine berada dalam kedudukan kukuh.

Encik Zelensky turut menyuarakan keraguannya terhadap niat sebenar Encik Putin, dengan memberi amaran bahawa kegagalan menewaskan Russia secara tuntas boleh mengundang risiko kepada negara-negara Eropah lain.

Encik Rubio dalam kenyataannya enggan menyatakan secara terperinci apakah bentuk kompromi yang perlu dibuat oleh kedua-dua pihak, namun beliau mengakui bahawa sukar bagi Ukraine untuk merampas semula kesemua wilayah yang telah jatuh ke tangan Russia.

“Rusia tidak mampu menakluk seluruh Ukraine, tetapi pada masa yang sama, agak mustahil bagi Ukraine untuk memaksa Russia berundur sepenuhnya ke sempadan asal mereka pada 2014,” ujar beliau.

Setakat ini, Russia masih menguasai sekitar 20 peratus wilayah Ukraine termasuk Crimea yang telah dirampas pada 2014, dan terus menekan kedudukan Ukraine di wilayah Donetsk.

Pertemuan di Jeddah turut menyusul selepas satu rundingan jarang berlaku antara pegawai Amerika dan Rusia yang diadakan di Riyadh pada Februari lalu, sebagai usaha untuk memulihkan saluran diplomatik yang terputus semasa pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.

“Jika kita mahu menamatkan perang ini secara berhemah, ia memerlukan keberanian politik dan kesediaan untuk berunding, bukan hanya retorik ketenteraan,” tegas Encik Rubio. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg