JEDDAH: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, berkata pada 10 Mac bahawa Ukraine perlu membuat konsesi ke atas tanah yang telah dirampas Russia sejak 2014, bagi mencapai sebarang perjanjian untuk menamatkan perang.
Encik Rubio menyatakan demikian dalam penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi, untuk berbincang dengan pegawai kanan Ukraine – 10 hari selepas pertemuan Rumah Putih yang menyaksikan perbalahan antara Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky.
Pentadbiran Encik Trump menghentikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine selepas perbalahan tersebut yang berpunca daripada keengganan Encik Trump untuk memasukkan sebarang jaminan keselamatan dalam perjanjian yang dicadangkan melibatkan sumber asli Ukraine.
“Perkara paling penting yang kita perlu tinggalkan di sini ialah perasaan yang kuat bahawa Ukraine bersedia untuk melakukan perkara yang sukar, sama seperti perlunya Russia melakukan perkara yang sukar untuk menamatkan konflik ini atau sekurang-kurangnya menghentikannya dalam apa jua cara atau bentuk,” kata Encik Rubio kepada pemberita.
Beliau enggan menawarkan garis besar perjanjian yang berpotensi dicapai kelak tetapi menjelaskan bahawa konsesi oleh kedua-dua pihak akan menjadi inti pati kepada diplomasi.
“Saya fikir kedua-dua pihak perlu mencapai persefahaman bahawa tiada penyelesaian ketenteraan untuk keadaan ini.
“Russia tidak boleh menakluki seluruh Ukraine, dan jelas sekali ia akan menjadi amat sukar bagi Ukraine untuk memaksa Russia kembali ke tempat mereka berada pada 2014,” ujarnya.
Encik Rubio menambah bahawa adalah penting dalam rundingan masa depan dengan Moscow untuk menentukan apakah yang Russia sanggup akui.
“Kami tidak tahu sejauh manakah jarak mereka sebenarnya,” kata Encik Rubio.
Rundingan pada 11 Mac berkemungkinan tidak akan menyentuh cadangan perjanjian mengenai sumber asli Ukraine, yang disifatkan Encik Trump sebagai pampasan untuk sokongan tentera Amerika selama tiga tahun sejak pencerobohan Russia.
Meskipun Amerika telah berhenti berkongsi beberapa sumber risikan dengan Ukraine, termasuk imej satelit, Encik Rubio berkata ia masih memberikan Kyiv maklumat yang membolehkannya untuk terus mempertahankan diri daripada serangan Russia.
Beliau juga berkata tidak ada ancaman untuk menyekat akses Ukraine kepada Starlink, syarikat perkhidmatan Internet SpaceX milik Encik Elon Musk.
Walaupun Amerika telah memberi tekanan kepada Ukraine dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Encik Trump juga telah mengancam untuk mengenakan sekatan tambahan ke atas Russia sebagai tindak balas kepada kegiatan ketenteraan Moscow yang berterusan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg