KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dijadualkan bertemu Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman pada 10 Mac, menjelang rundingan penting antara pegawai Ukraine dan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang dengan Russia yang semakin kritikal buat Kyiv.
Pertemuan Encik Zelensky dengan Putera Mohammed sangat penting kerana Arab Saudi sebelum ini memainkan peranan sebagai orang tengah dalam konflik Russia-Ukraine. Negara itu membantu mengatur pertukaran tahanan perang dan menjadi tuan rumah rundingan di antara Russia dan Amerika pada Februari lalu.
“Di pihak kami, kami komited sepenuhnya kepada dialog yang konstruktif, dan kami berharap perbincangan ini dapat menghasilkan keputusan serta langkah-langkah yang diperlukan untuk mencapai keamanan,” kata Encik Zelensky menerusi satu hantaran di platform media sosial X.
Perbincangan rasmi antara pegawai Ukraine dan Amerika dijadualkan berlangsung pada 11 Mac ini. Ini adalah pertemuan rasmi pertama antara kedua-dua pihak sejak perjumpaan yang kurang berjaya di Rumah Putih antara Encik Zelensky dan Presiden Donald Trump sebelum ini.
Encik Zelensky bagaimanapun tidak akan hadir dalam pertemuan ini, sebaliknya akan diwakili oleh ketua staf beliau, menteri luar dan pertahanan, serta pegawai tertinggi ketenteraan dalam pentadbirannya.
Wakil khas Ukraine akan membincangkan cadangan rundingan keamanan serta satu perjanjian mineral dua hala bersama Amerika. Kyiv kini menghadapi tekanan besar ekoran kedudukannya yang semakin merosot di medan pertempuran, khususnya di wilayah Kursk yang kini hampir dikepung sepenuhnya oleh tentera Russia.
Dalam minggu lalu sahaja, Russia telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine. Menurut Encik Zelensky, sepanjang minggu lalu sahaja, Russia telah melancarkan lebih daripada 80 peluru berpandu, selain kira-kira 70 serangan peluru berpandu serta serangan udara yang berjumlah lebih daripada 1,200 serangan secara keseluruhan.
Amerika yang selama ini menjadi sekutu kuat Ukraine, dilihat mula mengubah strateginya dan kini sedang mencari penyelesaian segera bagi menghentikan konflik yang semakin memakan banyak nyawa dan sumber.
Meskipun begitu, Russia menolak cadangan gencatan senjata sementara yang turut dicadangkan oleh Britain dan Perancis, dengan mendakwa cadangan tersebut hanyalah usaha Barat untuk memperkukuh kedudukan Ukraine secara sementara.
Dalam pada itu, Encik Zelensky menggesa gencatan senjata di udara dan laut serta pertukaran tahanan sebagai langkah awal menguji komitmen Russia terhadap usaha menamatkan konflik.
“Kami sepenuhnya komited dalam dialog yang membina ini dan berharap dapat mencapai kesepakatan tentang keputusan serta langkah yang diperlukan. Kami memerlukan bukti nyata komitmen Russia terhadap perdamaian,” kata Encik Zelensky.
Dalam situasi ini juga, Zelensky menyeru sekutu Eropah untuk meningkatkan sokongan mereka terhadap Ukraine memandangkan kedudukan tentera Kyiv yang semakin kritikal di barisan hadapan.
Tekanan dari Moscow juga semakin meningkat, dengan Kremlin menolak cadangan genjatan senjata sementara yang dicadangkan oleh Britain dan Perancis, menganggapnya sebagai percubaan melengah-lengahkan konflik bagi mendapatkan kelebihan strategik.
Menurut Encik Zelensky: “Keadaan semakin genting, namun kami tidak akan menyerah. Ukraine akan terus memperjuangkan kebebasan dan wilayah kami sehingga tercapai satu penyelesaian yang adil dan saksama buat semua pihak.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg