BAITULMAKDIS: Lebanon dan Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata bagi menamatkan permusuhan di sempadan kedua-dua negara, menurut pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 3 Jun, dalam perkembangan yang dilihat mampu membuka ruang kepada perjanjian lebih besar untuk menamatkan perang melibatkan Amerika, Israel dan Iran.

Perjanjian itu dicapai selepas rundingan di Washington dan diumumkan menerusi kenyataan bersama Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Gencatan senjata tersebut bergantung kepada pemberhentian sepenuhnya serangan oleh kumpulan Hezbollah yang disokong Iran serta pengunduran semua anggotanya dari kawasan Selatan Litani di Lebanon.

Kenyataan itu memaklumkan Lebanon dan Israel turut bersetuju untuk mempercepat pembentukan zon perintis yang akan dikawal sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Lebanon tanpa penglibatan mana-mana kumpulan bersenjata bukan negara.

“Kedua-dua pihak bersetuju dengan panduan Amerika Syarikat untuk mempercepat pembentukan zon perintis di mana Angkatan Tentera Lebanon akan mengambil kawalan eksklusif terhadap kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Lebanon dan Israel sebelum ini pernah bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada Mei lalu, namun pertempuran tetap berterusan.

Israel melancarkan serangan ke atas Lebanon pada Mac lalu bagi memburu Hezbollah selepas kumpulan itu melancarkan serangan rentas sempadan sebagai tanda sokongan kepada Teheran.

Kedua-dua negara kini bersetuju meneruskan rundingan langsung bagi membina keyakinan dan menyelesaikan isu tertunggak lain.

Menurut kenyataan tersebut, rundingan politik dan keselamatan akan disambung semula pada minggu 22 Jun dengan matlamat mencapai perjanjian menyeluruh.

Perkembangan itu berlaku ketika konflik lebih besar di Asia Barat masih belum reda.

Iran sebelum ini menetapkan bahawa sebarang perjanjian dengan Amerika sebahagiannya bergantung kepada penghentian serangan Israel terhadap Lebanon.

Pada hari sama, Iran melancarkan serangan terhadap Kuwait yang menyebabkan lapangan terbang negara itu rosak dan puluhan orang cedera.

Serangan tersebut berlaku ketika tentera Amerika menjalankan operasi berhampiran Selat Hormuz.

Pihak berkuasa Kuwait memaklumkan serangan dron dan peluru berpandu Iran telah merosakkan kemudahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait dan beberapa misi diplomatik.

Seorang terbunuh manakala lebih 60 orang dilaporkan cedera.

Operasi penerbangan di lapangan terbang itu turut digantung sementara sebelum disambung semula selepas langkah keselamatan tambahan dilaksanakan.

Iran bagaimanapun menafikan pihaknya menyerang lapangan terbang Kuwait.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendakwa kerosakan berlaku akibat peluru pemintas Amerika yang gagal mengenai sasaran.

Namun tentera Amerika menolak dakwaan itu dan menegaskan dron Iran memang menyasarkan lapangan terbang berkenaan.

Media Iran turut melaporkan bahawa Pengawal Revolusi menyerang ibu pejabat Armada Kelima Amerika di Bahrain serta sebuah pangkalan udara Amerika.

Bagaimanapun, Pentadbiran Pusat Amerika (Centcom) menafikan pangkalannya terkena serangan dan mendakwa peluru berpandu balistik Iran gagal mengenai sasaran.

Centcom turut mengesahkan pihaknya melancarkan siri baharu “serangan pertahanan” di selatan Iran dengan menyasarkan tapak pelancaran peluru berpandu dan bot Iran yang dipercayai cuba meletakkan periuk api di perairan strategik.

Tentera Amerika juga melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm berhampiran Selat Hormuz selepas mendakwa berlaku cubaan serangan oleh Iran.

Konflik yang bermula sejak serangan Amerika dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu terus mencetuskan ketegangan di rantau Teluk.

Teheran berulang kali menyerang sasaran di rantau tersebut yang menempatkan pangkalan tentera Amerika.

Walaupun gencatan senjata pernah dipersetujui pada awal April, ketegangan masih tercetus dari semasa ke semasa.

Situasi itu turut memberi kesan besar kepada ekonomi dunia apabila Selat Hormuz yang menjadi laluan utama hampir satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair dunia masih belum dibuka sepenuhnya.

Harga minyak dunia meningkat hampir dua peratus susulan perkembangan terbaru itu.

Minggu lalu, Iran dan Amerika memberi bayangan bahawa kedua-dua pihak semakin hampir mencapai perjanjian awal untuk menghentikan perang dan membuka semula Selat Hormuz.

Namun sehingga kini tiada perjanjian rasmi dimeterai.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata rundingan masih diteruskan tetapi belum menunjukkan kemajuan besar.

“Rundingan tidak terputus, tetapi belum ada kemajuan dicapai,” katanya kepada stesen televisyen Lebanon, Al Mayadeen.

Selain menuntut penghentian perang di Lebanon, Teheran turut mahu sekatan terhadap eksport minyaknya dilonggarkan, akses kepada hasil minyak dipulihkan dan sekatan Amerika ke atas pelabuhan Iran ditarik balik.

Encik Trump pula menegaskan keutamaan utama beliau ialah memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.

Iran menegaskan program nuklearnya hanya untuk tujuan aman.

Dalam satu wawancara podcast yang diterbitkan pada 3 Jun, Encik Trump mendakwa Iran telah bersetuju untuk tidak membangunkan senjata nuklear.

Beliau turut berkata pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, terlibat dalam rundingan tersebut.

“Jika ia berlaku, ia mungkin berlaku hujung minggu ini,” kata Encik Trump kepada wartawan di Rumah Putih mengenai kemungkinan kemajuan dalam rundingan.

Beliau turut mengakui pernah menghubungi Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu dan meminta perang di Lebanon dihentikan.

“Pada satu tahap saya berkata, Bibi, kita perlu hentikan perkara ini,” katanya merujuk Netanyahu menggunakan nama panggilannya.

Encik Netanyahu pula berkata beliau dan Encik Trump kadangkala mempunyai “perbezaan taktikal”, namun tetap sependapat dalam isu utama berkaitan Iran.

Dalam pada itu, Israel terus melancarkan serangan di Lebanon.

Sumber keselamatan Lebanon berkata serangan dron Israel membunuh sekurang-kurangnya enam orang di selatan Lebanon dan turut menyasarkan sebuah kereta berhampiran Beirut.

Israel pula mendakwa berjaya memintas sebuah pesawat yang dipercayai dilancarkan Hezbollah.

Encik Araghchi memberi amaran Iran akan bertindak tegas sekiranya Israel menyerang Beirut.

Perang yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu telah mengorbankan ribuan nyawa terutama di Iran dan Lebanon selain menjejaskan ekonomi global akibat gangguan besar terhadap bekalan tenaga dan perdagangan dunia. - Agensi berita