WASHINGTON: Pemerintah Amerika Syarikat pada 14 Aprik secara rasmi mengumumkan bahawa Israel dan Lebanon telah bersetuju memulakan rundingan secara langsung bagi menamatkan konflik bersenjata antara tentera Israel dan kumpulan militia Hezbollah.

Langkah diplomatik yang mengejutkan ini dilihat sebagai satu usaha berisiko tinggi untuk menstabilkan rantau Timur Tengah yang kini diancam oleh pertembungan lebih besar antara Amerika dan Iran.

Pengumuman tersebut menyusul selepas pertemuan bersemuka antara Duta Israel dan Duta Lebanon di Washington, yang turut disertai oleh Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio.

Meskipun pertemuan itu tidak diklasifikasikan sebagai rundingan peringkat tinggi, ia dianggap sangat signifikan memandangkan kedua-dua negara tersebut tidak mempunyai hubungan diplomatik dan secara teknikalnya masih berada dalam keadaan perang sejak tahun 1948.

Bagaimanapun, keberkesanan rundingan ini dalam menghentikan pertempuran di lapangan masih menjadi tanda tanya besar kerana Hezbollah tidak terlibat dalam perbincangan tersebut.

Pemerintah Lebanon pada hakikatnya tidak mempunyai kawalan langsung ke atas Hezbollah yang berfungsi sebagai sebuah militia pro-Iran sekaligus sebuah parti politik yang mempunyai pengaruh kuat di Parlimen Lebanon.

Kekangan ini menjadikan sebarang penyelesaian diplomatik antara kedua-dua pemerintah sangat sukar untuk dikuatkuasakan di selatan Lebanon, di mana Hezbollah bertapak kukuh.

Konflik ini merupakan salah satu daripada tiga isu utama dalam ketegangan antara Amerika, Israel, dan Iran, selain daripada program nuklear Teheran dan kawalan ke atas Selat Hormuz yang merupakan laluan kritikal bekalan tenaga dunia.

Pertemuan di Jabatan Negara yang dihoskan oleh Encik Rubio itu berakhir dengan nada yang menggalakkan namun tanpa sebarang komitmen rasmi untuk menghentikan kempen ketenteraan Israel.

Israel setakat ini masih enggan menghentikan serangan udara dan darat mereka yang mensasarkan kedudukan Hezbollah.

Namun, hakikat bahawa kedua-dua negara ini sanggup duduk semeja menunjukkan bahawa Lebanon dan Israel kini berkongsi matlamat yang sama iaitu melucutkan senjata Hezbollah.

Duta Israel ke Washington, Encik Yechiel Leiter, menegaskan selepas pertemuan selama dua jam itu bahawa kedua-dua pihak berkongsi aspirasi untuk menghapuskan ancaman militia tersebut. Beliau menyatakan, “Kami berada di pihak yang sama dengan rakyat Lebanon, bahawa kejahatan Hezbollah mesti dihapuskan sama sekali.”

Bagi pihak Amerika Syarikat, Encik Rubio menyifatkan rundingan ini sebagai langkah penting ke arah perubahan geopolitik jangka panjang. Beliau menegaskan bahawa perbincangan ini adalah permulaan untuk membawa pengakhiran kekal kepada pengaruh Hezbollah yang telah mendominasi wilayah tersebut selama lebih tiga dekad.

Walaupun pegawai Lebanon menggunakan bahasa yang lebih berhati-hati, mereka dilaporkan bersimpati dengan matlamat tersebut.

Sumber yang rapat dengan perbincangan itu mendedahkan bahawa pihak Lebanon mengulangi keinginan untuk memaksa Hezbollah meletakkan senjata, namun mereka memohon bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat bagi memperkasa angkatan tentera Lebanon yang kini kekurangan peralatan untuk melaksanakan tugasan berbahaya tersebut.

Di sebalik tabir, Iran menyatakan bantahan keras terhadap proses ini. Teheran menegaskan bahawa perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada 7 April lalu antara mereka dan Amerika Syarikat sepatutnya merangkumi situasi di Lebanon.

Namun, Washington secara tegas menolak penglibatan Iran dalam urusan Lebanon-Israel ini bagi memberi isyarat bahawa pengaruh Teheran ke atas Beirut harus ditamatkan.

Pakar analisis dari Eurasia Group, Encik Firas Maksad, memerhatikan bahawa Amerika Syarikat sengaja mahukan proses ini dipimpin oleh mereka sendiri tanpa campur tangan Iran bagi melemahkan kedudukan Hezbollah. Beliau turut memberi amaran bahawa Iran dan Hezbollah pasti akan melakukan segala usaha untuk mensabotaj proses damai ini.

Di Lebanon sendiri, perkembangan ini telah mencetuskan perpecahan politik yang mendalam.

Kumpulan penyokong Hezbollah telah turun ke jalanan di Beirut bagi membantah rundingan tersebut, mencetuskan kebimbangan mengenai ketidakstabilan domestik.

Pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, dalam satu ucapan televisyen menyelar tindakan pemerintah Lebanon dan menyifatkan rundingan tersebut sebagai satu bentuk penyerahan kalah kepada musuh.

Beliau menyeru pihak berkuasa Lebanon supaya membatalkan rundingan itu dan tidak membiarkan negara menjadi alat kepada kepentingan Israel.

Presiden Lebanon Encik Joseph Aoun, tetap berharap agar gencatan senjata dapat dicapai terlebih dahulu sebelum rundingan jangka panjang yang lebih menyeluruh dapat dimulakan bagi menjamin kedaulatan negara itu daripada terus menjadi medan perang proksi. – Agensi berita.