Topic followed successfully
Go to BHkuIsrael arah rundingan dengan Lebanon, kekal serangan terhadap Hezbollah
Israel arah rundingan dengan Lebanon, kekal serangan terhadap Hezbollah
AS sebagai pengantara dijangka anjur rundingan gencatan senjata antara Israel dengan Lebanon di Washington
Israel arah rundingan dengan Lebanon, kekal serangan terhadap Hezbollah
TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah mengarahkan Kabinet memulakan rundingan terus dengan Lebanon bagi melucutkan senjata kumpulan bersenjata Hezbollah.
Ini sekali gus memberi isyarat keterbukaan terhadap penyelesaian diplomatik di tengah konflik yang semakin memuncak.
Dalam satu kenyataan pada 9 April, sehari selepas pengeboman terburuk dalam perang itu mengorbankan lebih 300 orang di Lebanon, Encik Netanyahu berkata langkah itu dibuat susulan permintaan berulang daripada pihak Lebanon untuk membuka saluran rundingan secara langsung.
“Sehubungan permintaan berulang Lebanon untuk memulakan rundingan terus dengan Israel, saya telah mengarahkan kabinet semalam untuk memulakan rundingan tersebut secepat mungkin,” katanya.
Menurut beliau, rundingan itu akan memberi tumpuan kepada pelucutan senjata Hezbollah serta usaha membina hubungan yang lebih aman antara kedua-dua negara.
“Rundingan akan tertumpu kepada pelucutan senjata Hezbollah dan pembentukan hubungan damai antara Israel dengan Lebanon,” katanya.
Namun, Encik Netanyahu menegaskan bahawa Israel tidak akan melaksanakan gencatan senjata buat masa ini dan akan terus melancarkan serangan ke atas Hezbollah.
Seorang pegawai Israel turut mengesahkan bahawa “tiada gencatan senjata di Lebanon ketika ini” dan rundingan dijangka bermula dalam masa terdekat.
Kenyataan itu muncul di tengah perbezaan pandangan antara Iran dengan Amerika Syarikat mengenai sama ada Lebanon termasuk dalam perjanjian gencatan senjata rapuh yang dipersetujui pada 7 April.
Washington menyatakan bahawa Lebanon tidak termasuk dalam perjanjian gencatan senjata itu, namun Iran dan Pakistan yang bertindak sebagai pengantara menegaskan Lebanon secara jelas termasuk dalam perjanjian tersebut.
Beberapa negara termasuk Britain dan Perancis turut menyatakan gencatan senjata itu sepatutnya meliputi Lebanon.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak Lebanon dilaporkan menggesa gencatan senjata sementara bagi membuka ruang kepada rundingan yang lebih luas.
Seorang pegawai kanan Lebanon berkata langkah itu penting bagi membolehkan proses diplomatik berjalan dengan lebih teratur, dengan Amerika dijangka memainkan peranan sebagai perantara.
“Ini adalah laluan berasingan tetapi menggunakan model yang sama seperti perjanjian gencatan senjata lain,” katanya.
Perdana Menteri Lebanon, Encik Nawaf Salam, dijangka mengadakan lawatan ke Washington minggu depan bagi bertemu pegawai kanan Amerika.
Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika turut mengesahkan bahawa pertemuan akan diadakan bagi membincangkan rundingan gencatan senjata antara Israel dan Lebanon.
Bagaimanapun, wakil Hezbollah menegaskan kumpulan itu menolak sebarang rundingan langsung dengan Israel.
Ahli Parlimen Hezbollah, Encik Ali Fayyad, berkata:
“Kami menegaskan penolakan terhadap sebarang rundingan langsung antara Lebanon dan musuh Israel, serta keperluan menegakkan prinsip nasional, termasuk pengunduran Israel dan penghentian serangan.”
Beliau turut menekankan bahawa gencatan senjata perlu menjadi syarat utama sebelum sebarang langkah lanjut diambil.
Sementara itu, Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, menyatakan bahawa penyelesaian terbaik adalah melalui gencatan senjata diikuti rundingan.
“Satu-satunya penyelesaian ialah mencapai gencatan senjata antara Israel dan Lebanon, diikuti rundingan langsung antara kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau menambah bahawa usaha diplomatik sedang berjalan dan mula mendapat reaksi positif daripada masyarakat antarabangsa.
Ketegangan meningkat selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Hezbollah, susulan serangan roket dan dron oleh kumpulan itu pada 2 Mac.
Menurut pihak berkuasa Lebanon, kira-kira 1,700 orang terbunuh dan lebih sejuta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman.
Sumber yang rapat dengan Hezbollah pula menyatakan sekurang-kurangnya 400 anggota kumpulan itu terkorban, sementara ratusan roket dan dron dilancarkan ke arah Israel.
Perdana Menteri Lebanon berkata Kabinet telah memutuskan untuk membawa semua senjata di Beirut di bawah kawalan pemerintah dilihat sebagai usaha menangani pengaruh Hezbollah.
Encik Netanyahu menyambut baik kenyataan tersebut, yang dianggap selari dengan tuntutan Israel agar Lebanon mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan itu.
Walaupun kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, wakil mereka pernah bertemu pada Disember lalu di selatan Lebanon di bawah pengawasan jawatankuasa yang diketuai Amerika bagi memantau gencatan senjata sebelum ini. – Agensi berita.

