Topik diikuti
Pergi ke BHkuRundingan Israel-Lebanon di Washington temu jalan buntu
Rundingan Israel-Lebanon di Washington temu jalan buntu
Jurang pendirian antara kedua-dua pihak kekal besar; pemimpin Hezbollah anggap rundingan ‘sesia’
Rundingan Israel-Lebanon di Washington temu jalan buntu
WASHINGTON: Wakil Lebanon dan Israel dijadual bertemu di Washington pada 14 April, untuk rundingan damai yang diusahakan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang di Lebanon.
Namun, prospek mencapai persetujuan dilihat tipis di tengah perbezaan ketara antara kedua-dua pihak.
Rundingan itu berlangsung ketika konflik di Lebanon terus meruncing sejak 2 Mac, apabila kumpulan Hezbollah yang disokong Iran melancarkan serangan ke atas Israel, sekali gus mengheret negara itu ke dalam konflik serantau yang lebih luas.
Sejak itu, serangan udara Israel, termasuk serangan besar ke atas Beirut pada 8 April, dilaporkan telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dan menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Ia berlaku walaupun wujud gesaan antarabangsa agar gencatan senjata dipertingkat.
Pertemuan yang dikendali Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, melibatkan Duta Israel dan Lebanon ke Washington serta Duta Amerika ke Beirut.
Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika berkata rundingan itu merupakan perbincangan langsung peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara sejak 1993.
“Pemerintah Israel dan Lebanon kini terlibat dalam rundingan diplomatik terbuka dan langsung bagi memastikan keselamatan jangka panjang di sempadan utara Israel serta menyokong usaha Lebanon mendapatkan semula kedaulatan penuh wilayahnya,” katanya.
Namun, jurang pendirian antara kedua-dua pihak kekal besar.
Jurucakap pemerintah Israel, Encik Shosh Bedrosian, menegaskan bahawa rundingan itu bertujuan melucutkan senjata Hezbollah dan mengeluarkan kumpulan tersebut dari Lebanon.
“Dialog ini bertujuan melucutkan senjata Hezbollah dan mewujudkan hubungan aman antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Israel tidak akan membincangkan gencatan senjata dengan Hezbollah.
“Kami tidak akan berunding mengenai gencatan senjata dengan Hezbollah yang terus melancarkan serangan tanpa memilih sasaran terhadap orang awam kami,” katanya.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut mengetengahkan pendirian tegas negaranya.
“Kami mahu pelucutan senjata Hezbollah dan perjanjian damai sebenar yang berkekalan untuk generasi akan datang,” katanya.
Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun menyatakan harapan agar rundingan tersebut dapat menghasilkan persetujuan awal ke arah gencatan senjata.
“Kami berharap rundingan ini dapat membawa kepada perjanjian gencatan senjata di Lebanon dan membuka laluan kepada rundingan langsung,” katanya.
Namun, pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, menolak rundingan tersebut sejak awal lagi dan menyifatkannya sebagai tidak bermakna.
“Rundingan ini sia-sia,” katanya.
Pentadbiran Presiden Donald Trump kini berdepan cabaran besar dalam mengimbangi tuntutan pelucutan senjata Hezbollah, kedaulatan Lebanon dan kepentingan keselamatan Israel – tiga perkara yang sukar dihuraikan dalam satu perjanjian.
Seorang bekas pegawai pertahanan Israel berkata peluang mencapai persetujuan dalam masa terdekat adalah tipis.
“Memerlukan imaginasi dan optimisme yang tinggi untuk percaya isu ini boleh diselesaikan dalam rundingan ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa Israel mungkin akan mewujudkan zon penampan di utara, sama seperti pendekatannya di Gaza.
Satu tinjauan oleh Institut Demokrasi Israel mendapati 80 peratus rakyat Israel berpendapat operasi ketenteraan terhadap Hezbollah perlu diteruskan, walaupun ia berisiko menjejas hubungan dengan Amerika. – Agensi berita.
