AS umum sekatan baru ke atas Iran walau rundingan nuklear masih berlangsung
AS umum sekatan baru ke atas Iran walau rundingan nuklear masih berlangsung
WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan sekatan baru terhadap Iran pada 12 Mei berhubung program nuklearnya, meskipun rundingan antara kedua-dua negara mengenai isu sensitif itu masih diteruskan.
Sekatan terbaru itu menyasarkan tiga warganegara Iran dan sebuah entiti yang dikaitkan dengan Organisasi Inovasi dan Penyelidikan Pertahanan Iran (SPND).
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, menegaskan bahawa Iran terus memperluas program nuklearnya secara agresif.
“Iran terus menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dwiguna yang boleh digunakan untuk senjata nuklear dan sistem pelancarannya. Negara itu satu-satunya di dunia yang tidak memiliki senjata nuklear tetapi memperkayakan uranium sehingga tahap 60 peratus,” kata Encik Rubio.
Tahap itu jauh melebihi had 3.67 peratus yang ditetapkan dalam perjanjian nuklear 2015, yang telah dibatalkan penyertaannya oleh Presiden Amerika ketika itu, Encik Donald Trump, semasa penggal pertamanya.
Sebagai perbandingan, uranium perlu diperkaya hingga 90 peratus bagi membolehkannya digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear
Sekatan diumumkan hanya sehari selepas pusingan keempat rundingan antara Washington dengan Teheran selesai.
Walaupun tiada kejayaan besar diumumkan, kedua-dua pihak menyatakan harapan secara berhati-hati terhadap kemajuan rundingan tersebut.
Rundingan yang bermula April lalu bertujuan mencapai satu perjanjian baru bagi menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.
Pihak Iran bagaimanapun bertegas bahawa mereka tidak berniat untuk membina senjata tersebut.
Sekatan baru ini akan membekukan semua aset yang dimiliki oleh individu dan entiti yang disasarkan sekiranya mereka mempunyai harta di Amerika, serta melarang sebarang urus niaga perniagaan dengan mereka.
Tiga individu yang dikenakan sekatan dikenal pasti sebagai pegawai kanan dalam program nuklear Iran.
Sebuah syarikat yang dinamakan Fuya Pars Prospective Technologists, atau juga dikenali sebagai Ideal Vacuum, turut dikenakan tindakan.
Menurut kenyataan Jabatan Negara Amerika: “Fuya Pars Prospective Technologists adalah syarikat yang bersekutu dengan SPND. Ia telah cuba mendapatkan peralatan daripada pembekal luar negara, dan pada masa yang sama membangunkannya sendiri di dalam negara, yang boleh digunakan dalam penyelidikan dan pembangunan senjata nuklear.”
Langkah ini dilihat sebagai tekanan lanjut ke atas Teheran, walaupun usaha diplomatik masih diteruskan.
Penganalisis antarabangsa berpendapat bahawa tindakan Washington mencerminkan pendekatan “menekan sambil berunding,” satu strategi yang sering digunakan dalam menangani isu keselamatan global secara serentak melalui tekanan dan diplomasi.
“Amerika perlu berhati-hati agar tidak melemahkan harapan yang semakin meningkat dalam rundingan ini,” kata seorang penganalisis dasar luar yang tidak mahu namanya disiarkan.
Buat masa ini, belum ada reaksi rasmi daripada pihak Iran berhubung sekatan terbaru ini, namun kenyataan sebelum ini menunjukkan bahawa Teheran tidak akan tunduk terhadap tekanan luar tanpa konsesi yang seimbang. – Agensi berita.

