Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yayasan bantuan yang disokong AS hentikan agihan di Gaza

Gesa Israel pastikan keselamatan orang awam yang terima bantuan; PBB undi gencatan senjata
Jun 4, 2025 | 2:40 PM
Yayasan Kemanusiaan Gaza, agih bantuan
Penduduk Palestin yang berebut-rebut datang bagi mendapatkan bantuan makanan daripada Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) menyatakan keadaan di lokasi pengagihan begitu huru-hara akibat perebutan yang berlaku. - Foto AFP

BAITULMAKDIS/NEW YORK: Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat akan menghentikan bantuan pada 4 Jun dan mendesak Israel supaya meningkatkan keselamatan orang awam di luar tempat pengedaran makanannya.

Tindakan yayasan itu dibuat sehari selepas puluhan rakyat Palestin terbunuh ketika datang untuk mendapatkan bantuan.

GHF berkata ia telah meminta tentera Israel supaya “menyediakan laluan penduduk yang meminimumkan kekeliruan atau risiko perebutan” dan panduan lebih jelas buat orang awam; dan meningkatkan latihan untuk menyokong keselamatan awam.

“Keutamaan kami kekal memastikan keselamatan dan maruah orang awam yang menerima bantuan,” kata jurucakap GHF.

Jurucakap tentera Israel memberi amaran kepada orang awam supaya tidak berpindah di kawasan yang menuju ke tapak GHF pada 4 Jun, menganggapnya sebagai “zon pertempuran”.

Tentera Israel berkata pada 3 Jun bahawa ia melepaskan tembakan ke arah sekumpulan orang yang dilihatnya sebagai ancaman, berhampiran tapak pengedaran bantuan makanan GHF.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah berkata sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan puluhan lain cedera. GHF menjelaskan kejadian itu “jauh di luar kawasannya”.

Penduduk Palestin yang mengambil kotak makanan GHF pada 3 Jun menggambarkan keadaan begitu kacau-bilau kerana tiada sesiapa yang mengawasi pengagihan makanan ketika orang ramai berebut-rebut mahu mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengundi pada 4 Jun berkenaan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas, serta akses kemanusiaan di Gaza yang huru-hara dan menyebabkan kematian selepas Israel menarik balik sekatan selama 11 minggu di wilayah yang dilanda masalah kebuluran itu.

“Ia tidak boleh diterima. Orang awam mempertaruhkan nyawa mereka hanya kerana cuba mendapatkan makanan,” kata jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric pada 3 Jun.

Menurutnya, model pengagihan bantuan yang disokong yayasan Amerika itu membawa bencana.

GHF memulakan operasi di Gaza seminggu lalu dan berkata pada 3 Jun bahawa ia telah memberikan lebih daripada tujuh juta makanan di tiga lokasi pengedaran yang disifatkan selamat.

Pengarah eksekutif sementara GHF, Encik John Acree, menggesa agensi kemanusiaan di Gaza supaya bekerjasama dengan yayasan itu untuk mengagihkan bantuan kepada mereka yang bergantung kepadanya.

PBB dan kumpulan bantuan lain telah enggan bekerjasama dengan GHF kerana yayasan itu bersikap tidak berkecuali dalam model pengedarannya sekali gus menimbulkan banyak masalah.

GHF menggunakan syarikat keselamatan dan logistik swasta Amerika untuk mengagihkan bantuan di lokasi pengedaran.

Keadaan kucar-kacir itu adalah yang terbaru dalam rentetan usaha untuk mendapatkan lebih banyak bantuan ke dalam wilayah Palestin itu.

Pakar menyatakan keseluruhan 2.1 juta penduduk Gaza kini di ambang kebuluran kerana masalah pengedaran bantuan yang berlaku.

Perang meletus di Gaza pada 7 Oktober 2023 apabila kumpulan Hamas menyerang secara mengejut selatan Israel, membunuh 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Israel bertindak balas dengan kempen ketenteraan yang berlanjutan sehingga kini telah membunuh lebih 54,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Serangan Israel juga telah memusnahkan sebahagian besar Gaza termasuk kemudahan awam dan hospital di wilayah berkenaan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg