Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel ancam musnahkan Hamas jika tidak setuju usulan gencatan senjata AS

May 31, 2025 | 5:09 PM
Para penduduk Palestin yang kini dirundung masalah kekurangan makanan, datang beramai-ramai bagi mendapatkan bantuan makanan di sebuah pusat pengagihan makanan di Rafah pada 29 Mei 2025
Para penduduk Palestin yang kini dirundung masalah kekurangan makanan, datang beramai-ramai bagi mendapatkan bantuan makanan di sebuah pusat pengagihan makanan di Rafah pada 29 Mei 2025 - Foto AFP

JALURAN GAZA: Israel pada 30 Mei berkata Hamas mesti menerima perjanjian tebusan di Gaza atau “dimusnahkan”, ketika Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan bahawa perjanjian gencatan senjata hampir dicapai.

Ia berlaku di tengah-tengah keadaan yang semakin buruk di Gaza, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa seluruh penduduk Gaza berdepan risiko kebuluran.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berkata Hamas mesti bersetuju dengan cadangan gencatan senjata yang dikemukakan utusan Amerika, Encik Steve Witkoff, atau dimusnahkan, selepas kumpulan Palestin berkata perjanjian itu gagal memenuhi tuntutannya.

“Hamas kini akan dipaksa untuk memilih untuk menerima syarat-syarat ‘Perjanjian Witkoff’ untuk pembebasan tebusan - atau dimusnahkan,” tegasnya.

Israel telah berulang kali menyatakan bahawa pemusnahan Hamas adalah matlamat utama dalam perang di Gaza.

Rundingan menamatkan hampir 20 bulan peperangan di Gaza setakat ini gagal mencapai kejayaan, dengan Israel menyambung semula operasi pada Mac berikutan gencatan senjata yang singkat.

Di Amerika, Encik Trump memberitahu wartawan “mereka sangat hampir dengan usaha mencapai persetujuan mengenai Gaza,” sambil menambah: “Kami akan memberitahu anda mengenainya pada siang hari atau mungkin esok.”

Kekurangan makanan di Gaza berterusan, dengan bantuan hanya mengalir masuk selepas penarikan sebahagian daripada sekatan lebih dua bulan oleh Israel.

Jurucakap agensi kemanusiaan PBB, Encik Jens Laerke, menyifatkan Gaza sebagai “tempat paling lapar di Bumi”.

“Ia adalah negara yang seluruh penduduknya berisiko kebuluran,” katanya.

Dalam masa yang sama, PBB mengutuk “rompakan sejumlah besar peralatan perubatan” dan bekalan lain “yang bertujuan untuk kanak-kanak kekurangan zat makanan” dari salah sebuah gudangnya di Gaza oleh individu bersenjata.

Kumpulan bantuan telah memberi amaran bahawa keadaan terdesak mendapatkan makanan dan ubat-ubatan dalam kalangan penduduk Gaza menyebabkan keselamatan semakin merosot.

Dalam pada itu, Israel telah meluaskan penempatan di Tebing Barat yang didudukinya, sambil mengingkari seruan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dan pemimpin dunia lain untuk penyelesaian dua negara.

Minggu ini, Israel telah mengumumkan penubuhan 22 penempatan baru di wilayah Palestin, yang telah diduduki Israel sejak 1967.

London berkata langkah itu adalah “halangan yang disengajakan” kepada penubuhan negara Palestin manakala Mesir menyebutnya sebagai “pelanggaran baru yang mencetus kemarahan dan terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa dan hak Palestin”.

Pada 30 Mei, Encik Katz berikrar untuk membina “negara Israel Yahudi” di Tebing Barat. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg