WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau yakin satu perjanjian baharu dengan Iran untuk melanjutkan gencatan senjata serta membuka semula Selat Hormuz dapat dicapai dalam tempoh seminggu akan datang, ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak akibat konflik melibatkan Israel, Hezbollah dan Iran.

Encik Trump berkata rundingan antara Washington dengan Teheran masih berjalan pantas walaupun media Iran sebelum ini melaporkan Teheran menggantung rundingan tidak langsung dengan Amerika menyusuli serangan Israel di Lebanon.

“Keadaan nampak baik, nampak sangat baik,” kata Encik Trump dalam wawancara telefon dengan ABC News.

“Ada sedikit masalah hari ini (1 Jun), tetapi saya berjaya menyelesaikannya dengan cepat, seperti yang anda mungkin perasan.”

Menurut Encik Trump, “masalah” yang dimaksudkan ialah kemarahan Iran terhadap serangan Israel ke atas Lebanon, khususnya kawasan yang dikuasai Hezbollah di Beirut.

“Saya bercakap dengan Hezbollah dan saya kata jangan menembak.

“Saya juga bercakap dengan Bibi (Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu) dan saya kata jangan menembak.

“Mereka akhirnya berhenti menembak satu sama lain,” katanya.

Encik Trump turut menyifatkan kemungkinan perjanjian damai dengan Iran sebagai sesuatu yang lebih bernilai daripada kemenangan ketenteraan.

“Ia bukan perkara mudah. Kita bercakap mengenai sebuah negara besar dengan permusuhan yang sangat mendalam,” katanya.

“Bukan mudah bagi mereka dan bukan mudah juga bagi pihak kami. Tetapi kami sedang mendapatkan apa yang kami perlukan.”

Beliau berkata Memorandum Persefahaman (MOU) bagi membuka semula Selat Hormuz dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh seminggu, walaupun beberapa perkara masih belum dipersetujui.

“Saya rasa ia mungkin berlaku dalam tempoh minggu depan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih belum bersetuju sepenuhnya kerana masih terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan.

Selat Hormuz merupakan laluan penting penghantaran minyak dan gas dunia, dan sebarang ancaman penutupan laluan itu boleh memberi kesan besar kepada ekonomi sejagat.

Kebimbangan mengenai kemungkinan Iran menutup selat berkenaan telah menyebabkan harga minyak dunia melonjak dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Pada masa yang sama, kenyataan Encik Trump dilihat bercanggah dengan laporan media Iran yang mendakwa Teheran telah menggantung rundingan tidak langsung dengan Washington.

Agensi berita, Tasnim, yang mempunyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran melaporkan pasukan perunding Iran telah menghentikan pertukaran mesej dengan Amerika menerusi pihak pengantara sebagai bantahan terhadap tindakan Israel memperluaskan serangan di Lebanon.

Namun, Encik Trump menafikan telah menerima sebarang maklumat rasmi mengenai penggantungan rundingan itu.

“Mereka tidak memaklumkan perkara itu kepada kami,” katanya dalam wawancara dengan NBC News.

Encik Trump turut berkata beliau tidak kisah sekiranya rundingan itu dihentikan buat sementara waktu.

“Saya rasa kita terlalu banyak bercakap. Jika mahu tahu perkara sebenar, mungkin lebih baik kita senyap seketika,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa penghentian rundingan tidak bermaksud Amerika akan terus melancarkan serangan terhadap Iran.

Sekatan Amerika terhadap pelabuhan Iran juga akan diteruskan.

Dalam wawancara berasingan dengan CNBC, Encik Trump berkata beliau tidak terlalu peduli sama ada rundingan diteruskan atau tidak.

“Secara jujurnya saya tidak kisah jika rundingan itu tamat,” katanya.

Namun, beberapa jam selepas kenyataan itu disiarkan, Encik Trump memuat naik mesej di media sosial bahawa rundingan dengan Iran masih diteruskan.

Ketegangan di rantau itu semakin meningkat selepas tentera Israel mengarahkan serangan baharu ke atas kawasan pinggir selatan Beirut yang dikuasai Hezbollah.

Arahan Encik Netanyahu, mencetuskan gelombang baharu perpindahan penduduk di Lebanon.

Lebih sejuta rakyat Lebanon dilaporkan telah kehilangan tempat tinggal sejak konflik itu tercetus.

Sebagai tindak balas, markas utama tentera Iran memberi amaran bahawa penduduk di utara Israel perlu meninggalkan kawasan itu jika tidak mahu terdedah kepada serangan balas.

Penasihat pemimpin tertinggi Iran, Encik Mohsen Rezaei, berkata peningkatan serangan di Lebanon “tidak akan diterima lagi”.

“Kesabaran angkatan bersenjata Republik Islam Iran ada hadnya,” katanya dalam hantaran di platform X.

Kementerian Luar Iran pula menyalahkan Amerika atas pelanggaran gencatan senjata melibatkan Iran dan Lebanon.

Menurut Teheran, pelanggaran gencatan senjata di satu medan dianggap sebagai pelanggaran di semua medan konflik.

Gencatan senjata antara Iran dengan Amerika mula berkuat kuasa pada 8 April selepas 39 hari peperangan, namun, ketegangan tidak pernah benar-benar reda.

Sejak itu, kedua-dua pihak telah mengadakan beberapa siri rundingan bagi menukar gencatan senjata sementara kepada perjanjian damai yang lebih menyeluruh.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada persetujuan muktamad dicapai.

Iran berulang kali menegaskan bahawa gencatan senjata mesti meliputi Lebanon kerana Hezbollah yang disokong Teheran terus berperang dengan Israel.

Televisyen pemerintah Iran turut melaporkan bahawa kemungkinan gencatan senjata antara Teheran dengan Washington runtuh semakin tinggi sekiranya serangan Israel di Lebanon diteruskan.

Pemerhati melihat keadaan itu sebagai petanda bahawa konflik di Asia Barat kini semakin berkait rapat antara satu sama lain, melibatkan Iran, Israel, Hezbollah dengan Amerika.

Walaupun Encik Trump cuba menunjukkan keyakinan rundingan damai masih berada di landasan positif, ancaman ketenteraan yang terus meningkat di Lebanon dan sekitar Selat Hormuz menunjukkan keamanan di rantau itu masih jauh daripada terjamin.

Bagi penduduk di Lebanon, Israel dan Iran, perkembangan diplomatik yang berlaku kini mungkin menentukan sama ada rantau itu bergerak ke arah keamanan atau kembali terjerumus ke dalam peperangan yang lebih besar. – Agensi berita.