Topik diikuti
Pergi ke BHkuKelompok elit tentera kuasai arah politik Iran
Kelompok elit tentera kuasai arah politik Iran
Kumpulan punya hubungan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan terdiri daripada mantan komander kanan tentera, pegawai risik dan tokoh keselamatan
Kelompok elit tentera kuasai arah politik Iran
TEHERAN: Kematian pemimpin tertinggi Iran, Encik Ali Khamenei, dalam serangan udara Israel pada 28 Februari lalu bukan sahaja mengubah landskap politik negara itu, malah, membuka ruang kepada pengaruh lebih besar kelompok elit tentera dan perisikan yang sekian lama berada di belakang tadbir kuasa Teheran.
Walaupun anaknya, Encik Mojtaba Khamenei, mengambil alih kedudukan bapanya, ramai penganalisis percaya kuasa sebenar di Iran kini tidak lagi tertumpu kepada seorang individu semata-mata.
Sebaliknya, keputusan penting negara dikatakan dikendalikan oleh sekumpulan kecil tokoh elit yang mempunyai hubungan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran.
Golongan itu terdiri daripada mantan komander kanan tentera, pegawai perisikan dan tokoh keselamatan yang dibentuk oleh pengalaman perang Iran-Iraq pada 1980-an.
Pakar politik Iran di Universiti Tennessee di Chattanooga, Profesor Madya Saeid Golkar, menyifatkan mereka sebagai “persaudaraan” yang kini menguasai negara.
“Mereka memiliki maklumat, perisikan dan memahami bagaimana sistem berfungsi. Mereka memantau, mengawal dan mengintip antara satu sama lain.
“Disebabkan penguasaan terhadap perisikan, mereka akhirnya menguasai hampir setiap aspek politik Iran,” katanya.
Ramai tokoh dalam kelompok ini mula menonjol semasa perang Iran-Iraq yang berlangsung selama lapan tahun.
Ketika itu, mereka masih muda tetapi telah diberi tanggungjawab besar dalam bidang ketenteraan dan keselamatan negara.
Pengalaman perang serta sokongan Barat terhadap Iraq membentuk pemikiran tegar mereka bahawa Iran tidak boleh bergantung pada mana-mana kuasa luar.
Selepas perang tamat, ramai daripada mereka menguasai institusi keselamatan, perisikan dan kehakiman.
Hubungan rapat mereka dengan Encik Mojtaba pula dipercayai terjalin sejak beliau mengendalikan pejabat bapanya selama bertahun-tahun.
Penganalisis percaya latar belakang sama itu menjadi sebab pemerintah Iran tidak musnah walaupun kira-kira 50 pemimpin politik dan tentera terbunuh sejak perang dengan Israel bermula.
Mohammad Bagher Ghalibaf
Antara tokoh paling berpengaruh ketika ini ialah Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf.
Mantan komander tentera udara Pengawal Revolusi Iran itu pernah mengetuai polis nasional dan menjadi Datuk Bandar Teheran.
Beliau terkenal dengan pendekatan tegar terhadap penunjuk perasaan antipemerintah.
Encik Ghalibaf pernah secara terbuka mengaku menunggang motosikal bersama anggota militia untuk memukul penunjuk perasaan semasa demonstrasi 1999.
Namun, beliau juga dilihat lebih pragmatik berbanding tokoh tegar lain.
Pada April lalu, beliau dilaporkan mengadakan rundingan secara langsung dengan Amerika Syarikat di Pakistan.
Pakar melihat Encik Ghalibaf sebagai jambatan antara elit tentera dengan elit politik Iran.
Penulis buku, Vanguard of the Imam, Afshon Ostovar berkata Encik Ghalibaf pernah cuba mengubah imejnya semasa bertanding jawatan presiden pada 2004.
“Beliau hadir seperti watak Don Johnson dalam siri televisyen, ‘Miami Vice’, siap dengan sut putih dan cermin mata hitam,” katanya.
Namun, usaha itu gagal menarik sokongan kelas pertengahan Iran.
Ahmad Vahidi
Tokoh lain yang sangat berpengaruh ialah Encik Ahmad Vahidi.
Beliau mengambil alih kepimpinan IRGC selepas pendahulunya terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel.
Encik Vahidi pernah mengetuai Pasukan Quds, unit elit yang membina rangkaian kumpulan proksi Iran di Asia Barat termasuk Hezbollah.
Beliau kerap dikaitkan dengan operasi ketenteraan luar negara Iran.
Antara insiden yang dikaitkan dengannya ialah pengeboman pusat masyarakat Yahudi di Buenos Aires pada 1994 dan serangan terhadap berek tentera Amerika di Dhahran, Arab Saudi pada 1996.
Iran bagaimanapun menafikan penglibatan dalam kedua-dua serangan itu.
Gholam-Hossein Mohseni-Ejei
Ketua badan kehakiman Iran, Encik Gholam-Hossein Mohseni-Ejei, pula dianggap lambang penggunaan sistem mahkamah untuk menekan penentang pemerintah.
Beliau terkenal dengan pendekatan tegar termasuk hukuman gantung terhadap mereka yang menyertai tunjuk perasaan antipemerintah.
Encik Mohseni-Ejei pernah menjadi Menteri Perisikan ketika bantahan besar tercetus selepas Pilihan Raya Presiden 2009.
Ketika itu, gerakan dikenali sebagai Pergerakan Hijau melalui penahanan, penyeksaan dan hukuman mati.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kemudian mengenakan sekatan terhadap beliau.
Hossein Taeb
Satu lagi nama penting ialah Encik Hossein Taeb.
Beliau pernah mengetuai militia Basij dan organisasi perisikan Pengawal Revolusi Iran.
Encik Taeb terkenal sebagai tokoh yang memainkan peranan besar dalam menindas gerakan reformasi dan tunjuk perasaan di jalanan.
Organisasi di bawahnya turut didakwa menahan rakyat yang memiliki kewarganegaraan berganda untuk tujuan pertukaran tahanan atau tekanan diplomatik.
Seorang anggota Parlimen Iran pernah mengkritik pengurusan krisis Encik Taeb.
“Apabila pengurusan krisis diserahkan kepada individu yang lebih mengenali belantan daripada pemikiran dan kebijaksanaan, inilah hasilnya,” berdasarkan kenyataan yang pernah diterbitkan dalam talian.
Walaupun kehilangan jawatan penting pada 2022 selepas kegagalan menghalang operasi Israel terhadap program nuklear Iran, Encik Taeb masih dianggap tokoh berpengaruh dan rapat dengan Encik Mojtaba.
Mohammad Ali Jafari
Mantan komander, Pengawal Revolusi, Encik Mohammad Ali Jafari pula memainkan peranan penting dalam membentuk strategi ketenteraan Iran moden.
Beliau dikenali sebagai perancang ‘strategi mozek’, iaitu sistem arahan berpecah yang membolehkan tentera Iran terus beroperasi walaupun ramai komander kanan terbunuh.
Strategi itu kini menjadi faktor utama Iran mampu terus bertahan dalam perang semasa.
Encik Jafari juga ialah antara tokoh utama yang membina rangkaian kumpulan proksi serantau Iran.
“Pengawal Revolusi akan berjuang sehingga ke penghujung rejim Zionis,” katanya dalam kenyataan pada 2015.
Mohammad Bagher Zolghadr
Pelantikan Encik Mohammad Bagher Zolghadr, sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran menunjukkan bagaimana golongan tentera kini semakin menguasai politik negara itu.
Majlis berkenaan bertanggungjawab menentukan dasar keselamatan dan luar negara Iran.
Encik Zolghadr sebelum ini merupakan Timbalan Komander Pengawal Revolusi Iran dan mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang terkenal dengan pendirian tegar.
Peranan barunya ialah memastikan semua cabang pemerintah termasuk tentera, kehakiman dan keselamatan bergerak seiringan.
Perkembangan semasa menunjukkan Iran kini semakin dipimpin oleh kelompok keselamatan dan tentera yang mempunyai pemikiran lebih tegar berbanding generasi lama politik negara itu.
Walaupun Encik Mojtaba menjadi lambang kepimpinan baharu, kuasa sebenar dipercayai berada di tangan “persaudaraan” elit tentera yang sudah lama menguasai sistem negara.
Dr Golkar berkata kelompok itu bukan sekadar mempertahankan revolusi Islam, malah turut memastikan kuasa mereka sendiri terus kekal.
“Mereka mengawal sistem kerana mereka memahami setiap sudut negara ini,” katanya.
Perang dengan Israel akhirnya bukan sahaja mengubah keseimbangan geopolitik Asia Barat, malah mempercepatkan perubahan struktur kuasa dalaman Iran daripada kepimpinan agamawan kepada dominasi elit keselamatan dan tentera. – Agensi berita.
