Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS yakin rundingan damai dengan Iran akan diteruskan di Pakistan
AS yakin rundingan damai dengan Iran akan diteruskan di Pakistan
Sumber berkata rundingan dijangka disambung semula seawal 22 April
AS yakin rundingan damai dengan Iran akan diteruskan di Pakistan
WASHINGTON: Amerika Syarikat menyatakan keyakinan bahawa rundingan damai dengan Iran akan diteruskan di Pakistan dalam masa terdekat, namun ketidaktentuan masih menyelubungi proses itu ketika tempoh gencatan senjata hampir berakhir.
Seorang pegawai kanan Iran memaklumkan bahawa Teheran sedang menilai secara positif kemungkinan menyertai rundingan tersebut, walaupun sebelum ini menolak penyertaannya.
“Iran sedang menilai secara positif penyertaan dalam rundingan, tetapi belum ada keputusan muktamad,” kata pegawai itu.
Sumber dari Pakistan yang terlibat dalam perbincangan itu pula berkata rundingan dijangka disambung semula seawal Rabu, 22 April.
“Perkembangan bergerak ke hadapan dan rundingan berada di landasan untuk diteruskan esok (22 April),” katanya.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dilaporkan mahu mencapai perjanjian yang dapat mengekang kenaikan harga minyak serta mengelakkan kejutan pasaran saham global.
Namun, beliau tetap bertegas bahawa Iran tidak boleh memiliki keupayaan untuk membangunkan senjata nuklear.
“Mereka akan berunding, dan saya harap satu perjanjian yang adil dapat dicapai… tetapi mereka tidak akan memiliki senjata nuklear,” katanya dalam satu wawancara media.
Sebaliknya, Iran dilihat cuba memanfaatkan kawalannya ke atas Selat Hormuz sebagai alat rundingan bagi mendapatkan kelonggaran sekatan ekonomi tanpa menjejaskan program nuklearnya.
Harapan bahawa rundingan akan disambung semula telah memberi kesan segera kepada pasaran global.
Harga minyak mentah Brent susut kepada sekitar AS$94.94 ($126.90) setong pada 21 April, manakala anggaran harga West Texas Intermediate bagi Mei turun kepada AS$88.50. Ini selepas lonjakan sekitar 6 peratus harga minyak mentah pada hari sebelumnya akibat ketidaktentuan rundingan tersebut.
Pasaran saham Asia turut mencatatkan pemulihan awal, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kemungkinan penyelesaian diplomatik.
Namun, ketegangan antara kedua-dua pihak masih tinggi.
Iran mengecam Amerika berhubung insiden terhadap kapal komersialnya, Touska, yang didakwa ditahan oleh pihak Amerika.
“Iran akan menggunakan semua keupayaannya untuk mempertahankan kepentingan dan keselamatan negara serta melindungi hak rakyatnya… Amerika akan bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang peningkatan konflik,” menurut kenyataan Kementerian Luar Iran.
Pihak Amerika pula menyatakan kapal tersebut telah melanggar sekatan yang dikenakan dan gagal mematuhi amaran selama beberapa jam.
China, sebagai pembeli utama minyak Iran, turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan tersebut.
Rundingan ini berlangsung ketika gencatan senjata dua minggu antara kedua-dua pihak dijangka tamat dalam masa terdekat.
Menurut sumber, gencatan senjata itu mungkin berakhir pada malam 22 April waktu Amerika, sekali gus meningkatkan risiko konflik berskala besar jika rundingan gagal.
Konflik yang bermula pada 28 Februari lalu itu telah mengorbankan ribuan nyawa dan menggugat bekalan tenaga global ekoran gangguan di Selat Hormuz, laluan kritikal yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.
Pakistan, yang bertindak sebagai pengantara, telah membuat persiapan rapi untuk menjadi tuan rumah rundingan tersebut.
Hampir 20,000 anggota keselamatan telah ditempatkan di Islamabad sebagai langkah berjaga-jaga.
Laporan turut menyebut Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, dijangka ke Pakistan bagi menyertai rundingan tersebut, walaupun terdapat percanggahan maklumat mengenai jadual perjalanannya.
Walaupun terdapat isyarat positif, kedua-dua pihak terus saling mengeluarkan kenyataan keras.
Encik Trump sebelum ini memberi amaran, Amerika akan memusnahkan prasarana penting Iran sekiranya negara itu menolak syarat rundingan itu.
Sebagai tindak balas, Iran menyatakan ia akan menyerang kemudahan tenaga di negara Teluk Arab sekiranya prasarana awamnya menjadi sasaran.
Jurucakap Rumah Putih,Cik Karoline Leavitt, bagaimanapun berkata Washington semakin hampir mencapai perjanjian.
“Kami berada di ambang perjanjian hasil kejayaan operasi ketenteraan dan pendekatan rundingan tegas presiden,” katanya.
Namun beliau menegaskan bahawa Amerika masih mempunyai pelbagai pilihan sekiranya rundingan itu gagal. – Agensi berita
