Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS$15b diperlu untuk bina semula rumah di Gaza

Lebih 360,000 rumah rosak teruk atau sebahagiannya, dan lebih 70,000 musnah sepenuhnya  
Jan 18, 2024 | 11:55 AM
PERLUKAN BELANJA BESAR: Penduduk Rafah, selatan Gaza, memeriksa bangunan-bangunan yang musnah akibat serangan Israel. Laporan antarabangsa menunjukkan 350,000 rumah di Gaza rosak sepenuhnya atau sebahagiannya.
PERLUKAN BELANJA BESAR: Penduduk Rafah, selatan Gaza, memeriksa bangunan-bangunan yang musnah akibat serangan Israel. Laporan antarabangsa menunjukkan 350,000 rumah di Gaza rosak sepenuhnya atau sebahagiannya. - Foto AFP

DAVOS (Switzerland): Sekurang-kurangnya AS$15 bilion ($20.2 bilion) diperlukan untuk membangunkan semula rumah di Gaza, kata ketua syarikat Palestine Investment Fund pada 17 Januari – mencerminkan besarnya kemusnahan yang disebabkan oleh serangan Israel.

Pengerusinya, Encik Mohammed Mustafa, berkata laporan antarabangsa menunjukkan 350,000 rumah rosak sepenuhnya atau sebahagiannya di Gaza.

Dengan mengandaikan 150,000 daripadanya perlu dibina semula pada kos purata AS$100,000 seunit, ia menelan belanja AS$15 bilion, ujar beliau.

“Kami masih belum bercakap mengenai prasarana, belum lagi mengenai hospital yang rosak,” ujar Encik Mohammed dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos.

Angka yang dikeluarkan oleh pejabat media di Gaza menunjukkan lebih 360,000 rumah mengalami kerosakan teruk atau sebahagiannya, dan lebih 70,000 musnah sepenuhnya.

Encik Mohammed berkata kepimpinan Palestin akan dalam jangka pendek terus memberi tumpuan pada bantuan kemanusiaan, termasuk makanan dan air, tetapi akhirnya tumpuan akan beralih kepada pembinaan semula.

Angka itu menunjukkan kos pembinaan semula jauh lebih kecil berbanding pembangunan semula Gaza dalam konflik sebelum ini.

Dalam perang selama tujuh minggu saja antara Israel dan Hamas, yang mentadbir Jaluran Gaza, atau Gaza, pada 2014, Qatar membelanjakan lebih AS$1 bilion untuk projek perumahan dan bantuan di Gaza.

Peperangan semasa meletus pada 7 Oktober apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh 1,200 orang dan menahan 240 sebagai tebusan.

Israel bertindak balas dengan pengeboman dan serangan darat yang sejauh ini membunuh 24,448 orang Palestin.

Peperangan menyebabkan kebanyakan daripada 2.3 juta penduduk Gaza meninggalkan rumah mereka, sebahagiannya berkali-kali, dan mengakibatkan krisis kemanusiaan serius, dengan bekalan makanan, bahan api dan perubatan semakin berkurangan.

“Jika perang di Gaza berterusan, lebih ramai orang berkemungkinan mati akibat kelaparan,” tambah Encik Mohammed.

Menurut beliau, langkah pertama ialah membawa semula makanan, ubat-ubatan, air dan elektrik ke kawasan yang dikepung Israel.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, berkata pada 16 Januari bahawa negara Arab tidak berminat untuk terlibat dalam pembinaan semula Gaza jika kawasan itu akan “diratakan” semula dalam beberapa tahun.

Encik Mohammed berkata usaha pembinaan semula akan menjadi satu tugas berat dan memerlukan belanja besar.

Beliau juga berkata wang tidak akan menyelesaikan masalah Gaza, sambil menambah bahawa ia memerlukan penyelesaian politik.

Palestine Investment Fund, yang berpangkalan di Ramallah, adalah sebahagian daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Tebing Barat, yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas, yang diusir dari Gaza oleh Hamas dalam perang saudara singkat pada 2007.

Israel berkata kempennya bertujuan memusnahkan Hamas dan membebaskan tebusannya yang masih ditahan di Gaza.

Amerika berkata ia mahu melihat Tebing Barat dan Gaza bersatu semula di bawah tadbir urus Palestin selepas perang. Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah menolak peranan PA itu.

Ditanya apakah peranan Hamas pada masa depan, Encik Mohammed berkata: “Cara terbaik ke hadapan ialah menjadi inklusif seberapa yang boleh”. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg