Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia perketat kawalan hutan, pulih hasil negara, ubah strategi makanan
Indonesia peroleh 31.3 trilion rupiah denda pentadbiran, penguatkuasaan kewangan
Indonesia perketat kawalan hutan, pulih hasil negara, ubah strategi makanan
JAKARTA: Kejayaan Indonesia mendapatkan semula dana bernilai 13.24 trilion rupiah (sekitar $948 juta) daripada denda, cukai dan penguatkuasaan kawasan hutan memberi isyarat jelas mengenai anjakan dasar pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.
Langkah itu mencerminkan komitmen Jakarta dalam merombak pengurusan sumber asli – daripada sekadar mengejar angka pertumbuhan ekonomi kepada usaha agresif memastikan tanah dan hasil negara tidak lagi dieksploitasi tanpa kawalan.
Langkah itu menjadi lebih penting kerana ia berlaku serentak dengan keputusan pemerintah menghentikan rancangan membuka jutaan hektar kawasan hutan bagi penanaman padi.
Dua perkembangan ini mempunyai kaitan rapat.
Di satu pihak, Jakarta mahu memperketat tindakan terhadap ladang dan lombong yang beroperasi tanpa kebenaran di kawasan hutan.
Di pihak lain, pemerintah sendiri kini mengurangkan kebergantungan kepada pembukaan tanah baharu bagi meningkatkan pengeluaran makanan.
Dari sudut dasar awam, perubahan itu menunjukkan satu peralihan penting: meningkatkan hasil ekonomi daripada tanah yang sudah digunakan, bukannya terus memperluaskan kawasan pertanian dengan mengorbankan hutan.
Peguam Negara Indonesia, Encik Sanitiar Burhanuddin, berkata Satuan Tugas Penertiban Kawasan Hutan (Satgas PKH) berjaya mendapatkan semula 13.24 trilion rupiah untuk negara.
Daripada jumlah itu, 3.47 trilion rupiah diperoleh menerusi denda pentadbiran sektor perhutanan.
Sebanyak 1.53 trilion rupiah lagi merupakan hasil negara bukan cukai daripada pengendalian kes jenayah khas oleh Pejabat Peguam Negara, manakala bahagian terbesar, 8.23 trilion rupiah, datang daripada pembayaran cukai susulan tindakan Satgas PKH.
Dana itu diserahkan secara rasmi kepada Menteri Kewangan, Encik Suahasil Nazara, di Pejabat Peguam Negara pada 6 Oktober dalam majlis yang turut disaksikan Encik Prabowo.
Namun, angka kewangan itu hanya satu bahagian daripada gambaran lebih besar.
Lebih enam juta hektar diambil semula
Sejak ditubuhkan di bawah pentadbiran Encik Prabowo, Satgas PKH telah mengambil semula kawalan ke atas lebih 6.22 juta hektar kawasan hutan yang digunakan bagi kegiatan perladangan dan perlombongan.
Daripada jumlah itu, kira-kira 6.206 juta hektar membabitkan sektor perladangan, manakala 14,633.79 hektar lagi berkaitan kegiatan perlombongan.
Skala kawasan itu memperlihatkan besarnya cabaran pengurusan hutan Indonesia.
Indonesia mempunyai antara kawasan hutan tropika terbesar di dunia, tetapi selama beberapa dekad berdepan tekanan akibat pembukaan ladang, perlombongan, pembalakan dan kebakaran.
Justeru, persoalan penting bukan sekadar berapa banyak tanah yang berjaya diambil semula, tetapi apakah yang akan dilakukan terhadapnya.
Dalam fasa kelapan operasi terbaru, pemerintah menyerahkan 259,230.73 hektar kawasan yang diambil semula untuk pengurusan lanjut.
Daripada jumlah itu, 140,762.04 hektar kawasan perladangan diserahkan kepada Kementerian Perhutanan untuk diuruskan syarikat milik negara, Agrinas Palma Nusantara.
Sebanyak 118,256.74 hektar hutan pemuliharaan dan perlindungan pula akan digunakan bagi program penanaman semula serta pemulihan ekosistem.
Sebanyak 211.95 hektar yang diambil semula daripada kegiatan perlombongan turut dikembalikan kepada kementerian berkenaan.
Dari perspektif tadbir urus, tindakan itu cuba menangani dua masalah sekali gus: mengembalikan kawalan negara terhadap tanah yang digunakan secara tidak sah dan memastikan kawasan tersebut mempunyai fungsi ekonomi atau alam sekitar yang jelas selepas diambil semula.
Encik Burhanuddin menegaskan bahawa sumber asli negara akhirnya perlu memberikan manfaat kepada rakyat, selaras dengan Perkara 33 Perlembagaan Indonesia yang menetapkan bumi, air dan kekayaan alam dikuasai negara untuk kemakmuran rakyat.
Jejaki wang hingga ke luar negara
Pendekatan terbaharu turut menunjukkan bahawa penguatkuasaan tidak akan berhenti pada penyitaan tanah atau pengenaan denda.
Satgas PKH mahu menjejaki hasil daripada kegiatan menyalahi undang-undang yang mungkin dipindahkan atau disembunyikan di luar negara.
Ini penting kerana jenayah berkaitan sumber asli bukan semata-mata isu alam sekitar.
Dari perspektif ekonomi politik, kegiatan perladangan atau perlombongan tanpa kebenaran boleh menghasilkan keuntungan besar, sementara negara kehilangan cukai dan hasil, selain terpaksa menanggung kos kerosakan alam sekitar.
Jika penguatkuasaan hanya mengambil semula tanah tetapi gagal menjejaki keuntungan yang diperoleh, kesan pencegahannya akan kekal terhad.
Justeru, usaha mengesan aliran wang ke luar negara memberi isyarat bahawa pemerintah mahu melihat pelanggaran undang-undang hutan sebagai isu kewangan dan tadbir urus, bukan sekadar pertikaian penggunaan tanah.
Namun, keberkesanan pendekatan itu bergantung pada ketelusan.
Siapakah yang dikenakan denda, bagaimana jumlahnya ditentukan, bagaimana tanah yang diambil semula diagihkan dan siapakah yang akhirnya meraih manfaat daripada kawasan itu perlu dapat diperiksa masyarakat.
Encik Burhanuddin sendiri mengakui penguatkuasaan memerlukan sokongan awam.
“Kami tidak boleh bekerja sendirian. Kekuatan terbesar penguatkuasaan undang-undang terletak pada sokongan rakyat,” katanya.
Tidak lagi perlu tebang hutan untuk padi
Pada masa yang sama, satu lagi keputusan pemerintah boleh memberi kesan besar terhadap masa depan hutan Indonesia.
Jakarta mengumumkan ia tidak lagi melihat keperluan memperluaskan sawah ke kawasan hutan selepas mencapai tahap sara diri beras.
Program yang dilancarkan pada 2024 pada asalnya menyasarkan pembukaan sehingga tiga juta hektar tanah bagi penanaman padi dalam usaha menghentikan kebergantungan pada import dalam tempoh lima tahun.
Namun, Utusan Khas Iklim Indonesia, Encik Hashim Djojohadikusumo, berkata simpanan strategik beras pemerintah kini mencapai sekitar 5.3 juta tan.
Indonesia menghasilkan 34.71 juta tan beras pada 2025, melebihi permintaan tahunan sekitar 31.19 juta tan.
Justeru, pemerintah mahu beralih daripada strategi memperluaskan kawasan pertanian kepada meningkatkan hasil daripada tanah sedia ada, termasuk melalui penggunaan benih lebih baik.
Perubahan ini penting dari sudut ekonomi alam sekitar.
Secara teori, terdapat dua cara meningkatkan pengeluaran makanan: membuka lebih banyak tanah atau meningkatkan daya penghasilan setiap hektar.
Pilihan kedua berpotensi mengurangkan tekanan terhadap hutan, asalkan peningkatan produktiviti dapat dicapai tanpa penggunaan sumber secara berlebihan.
Ia juga lebih selaras dengan sasaran Indonesia untuk menjadi penyerap karbon bersih menjelang 2030, apabila hutan dan sektor penggunaan tanah dijangka menyerap lebih banyak karbon berbanding jumlah yang dilepaskan.
Ujian sebenar ialah pelaksanaan
Namun, kejayaan jangka panjang tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah denda atau keluasan tanah yang diambil semula.
Indonesia secara tekal berdepan kehilangan hutan akibat perladangan, perlombongan, pembalakan dan kebakaran.
Kebakaran hutan dan tanah gambut pada 2026 turut menghasilkan jerebu yang merebak ke Malaysia dan Singapura, sekali gus menunjukkan bahawa kesan pengurusan tanah Indonesia melangkaui sempadannya.
Pemerintah kini mempunyai peluang untuk menghubungkan tiga agenda yang sebelum ini sering bertembung – pertumbuhan ekonomi, keselamatan makanan dan perlindungan alam sekitar.
Mengambil semula lebih enam juta hektar kawasan hutan menunjukkan keupayaan negara untuk bertindak.
Mengutip 13.24 trilion rupiah pula menunjukkan pelanggaran peraturan boleh mempunyai akibat kewangan yang besar.
Tetapi ukuran paling penting adalah sama ada kawasan yang diambil semula benar-benar dipulihkan, kegiatan haram tidak berulang dan hasil penguatkuasaan sampai kepada negara serta rakyat.
Di sinilah perubahan dasar menghentikan pembukaan hutan untuk sawah menjadi signifikan.
Ia menunjukkan bahawa keselamatan makanan tidak semestinya memerlukan lebih banyak hutan dikorbankan.
Seperti ditegaskan Encik Burhanuddin, perlindungan hutan bukan hanya persoalan penguatkuasaan hari ini, tetapi mengenai apakah yang akan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Melindungi dan mempertahankan hutan serta kekayaan alam bermakna melindungi warisan untuk anak cucu kita,” katanya. – Agensi berita.