BANGKOK: Thailand mengesahkan bahawa pasukan pemerhati Asean akan ke lokasi insiden periuk api pada Jumaat, 14 November selepas letupan itu mencederakan anggota tenteranya dan mencetuskan ketegangan baru dengan Kemboja. Insiden tersebut turut mengancam gencatan senjata yang dirundingkan bersama oleh Amerika Syarikat dan Malaysia pada bulan lalu.
Menurut Bangkok, periuk api jenis PMN-2 itu dipercayai baru ditanam di daerah Kantharalak, wilayah Sisaket, yang terletak bertentangan dengan wilayah Preah Vihear di Kemboja. Letupan pada 10 November itu menyebabkan seorang askar Thailand parah dan putus kaki.
Kemboja menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan meminta Thailand menghormati perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani di Malaysia. Perjanjian itu turut menubuhkan pasukan pemerhati Asean yang terdiri daripada pegawai tentera negara anggota, bagi memastikan kedua-dua negara mematuhi langkah meredakan ketegangan.
Pada 13 November, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemerhati Asean di Thailand dan Kemboja telah melaporkan bahawa periuk api di lokasi kejadian adalah baru.
“Saya baru sahaja bercakap dengan Menteri Luar Thailand. Pemerhati Asean mengesahkan periuk api itu memang baru. Harapan saya ialah kedua-dua pihak bertenang dan meneruskan rundingan damai,” katanya, menurut laporan Bernama.
Beliau menambah bahawa Malaysia bersedia menjadi tuan rumah bagi pusingan rundingan baru kerana keyakinan antara kedua-dua negara kini semakin terhakis. “Jika boleh, rundingan dibuat di Malaysia kerana kedua-duanya sudah hilang kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.
Sebuah lagi pasukan pemerhati Asean turut dijadualkan melakukan siasatan lapangan pada 14 November di kawasan pertikaian kedua, lokasi insiden tembakan rentas sempadan pada 11 November yang mengorbankan sekurang-kurangnya seorang warga Kemboja dan mencederakan tiga yang lain.
Versi kedua-dua pihak bercanggah. Kemboja mendakwa askar Thailand melepaskan tembakan terlebih dahulu. Thailand pula berkata Kemboja memulakan serangan dan tenteranya hanya melepaskan tembakan amaran sebagai tindakan balas.
Konflik di sempadan itu sebelum ini telah mencetuskan pertempuran selama lima hari pada Julai, mengorbankan sekurang-kurangnya 48 orang serta memaksa lebih 300,000 penduduk berpindah sementara. Pertempuran itu hanya dihentikan selepas gencatan senjata dirundingkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi Asean ketika itu.
Thailand dan Kemboja telah lama bertelingkah mengenai beberapa titik sempadan yang tidak jelas sepanjang 817 kilometer, garisan yang berasal dari peta Perancis pada tahun 1907 ketika Kemboja berada di bawah penjajahan.
Letupan periuk api di kawasan sengketa itu bukanlah perkara baru. Sejak 16 Julai, sekurang-kurangnya tujuh askar Thailand cedera parah akibat insiden berkaitan periuk api. Laporan sebelum ini menunjukkan sebahagian daripada periuk api itu mungkin baru ditanam, berdasarkan analisis pakar yang diperoleh Reuters.
Pada minggu ini, Kementerian Luar Thailand sekali lagi menuduh Kemboja bertindak tidak bertanggungjawab. “Tindakan Kemboja menunjukkan kurangnya tanggungjawab dan amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan.Kemboja bagaimanapun terus menafikan bahawa pihaknya meletakkan periuk api baru di kawasan itu.
Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan bahawa Malaysia sedang merancang untuk memulakan rundingan baharu demi memastikan proses damai tidak terhenti.
“Malaysia terbuka untuk menjadi tuan rumah. Yang penting ialah proses damai terus berjalan,” katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin Thailand dan Kemboja telah menyatakan sokongan kepada penyelesaian secara aman. “Kedua-dua pihak bersetuju bahawa jalan penyelesaian terbaik ialah melalui dialog, bukan konflik,” katanya.
Walaupun Malaysia telah menamatkan tempoh pengerusi Asean selepas sidang kemuncak awal bulan Oktober, usaha diplomatik untuk mengekang ketegangan tetap diteruskan ketika pemerhati Asean bersiap sedia melaksanakan siasatan kritikal yang dijangka menentukan hala tuju rundingan seterusnya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg