BANGKOK: Thailand pada 10 November mengumumkan penggantungan pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja yang dimeterai sebulan lalu di bawah pemantauan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, selepas dua anggota tenteranya cedera parah akibat letupan periuk api berhampiran sempadan.
Jurucakap kerajaan, Encik Siripong Angkasakulkiat, berkata semua susulan terhadap perisytiharan bersama yang dijalankan sejak seminggu lalu dihentikan serta-merta, termasuk rancangan pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan, lapor Bloomberg.
“Susulan terhadap perjanjian bersama yang telah dilaksanakan selama seminggu akan dihentikan sepenuhnya sehingga ada kejelasan lanjut,” katanya dalam satu sidang media di Bangkok.
Langkah itu diambil selepas dua anggota tentera Thailand yang melakukan rondaan rutin di wilayah Si Sa Ket pada pagi 9 November cedera apabila terpijak periuk api yang dipercayai baru dipasang. Tentera Diraja Thailand dalam kenyataan berkata, seorang anggota mengalami kecederaan parah di kaki, manakala seorang lagi mengalami sakit dada akibat tekanan letupan.
Insiden itu merupakan letupan ketujuh dalam tempoh empat bulan, menyusul siri kejadian pada Julai lalu yang mencetuskan pertempuran paling berdarah antara kedua-dua negara dalam tempoh sedekad.
Perjanjian damai yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada Oktober lalu, dengan pengantaraan Amerika Syarikat dan Malaysia, dijangka menjadi titik tolak kepada pemulihan hubungan dua negara jirannya yang lama bergolak.
Namun, insiden terbaharu itu menjejaskan sepenuhnya kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh.
Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, yang kelihatan kecewa, mengumumkan penggantungan semua aktiviti di bawah Perjanjian Damai Kuala Lumpur, termasuk rancangan pembebasan tahanan Kemboja pada 21 November. “Apa yang berlaku menunjukkan permusuhan tidak berkurang seperti yang kita sangkakan,” katanya kepada wartawan. “Justeru, kita tidak boleh meneruskan apa-apa langkah lagi buat masa ini. Segala aktiviti akan dibekukan sehingga keadaan lebih jelas.”
Menurut tentera Thailand, rundingan yang sedang berlangsung sebelum ini turut melibatkan penarikan senjata berat dari zon sempadan serta pelancaran operasi pembersihan periuk api bersama antara November dan Disember. Namun semua rancangan itu kini ditangguhkan.
Thailand juga sebelum ini mendesak Kemboja mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penipuan siber yang beroperasi di wilayah bersempadan, isu yang semakin menegangkan hubungan dua hala.
Sumber diplomatik berkata, kerajaan Thailand telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri dan Pertahanan untuk mengemukakan aduan rasmi kepada pasukan pemerhati Asean yang mengawasi proses perdamaian.
Perdana Menteri Anutin dijadualkan melawat Si Sa Ket pada 11 November untuk melawat anggota tentera yang cedera serta mempengerusikan mesyuarat khas mengenai pendirian Thailand terhadap perjanjian tersebut.
Setakat ini, Kementerian Pertahanan Kemboja belum memberikan sebarang kenyataan balas terhadap pengumuman Bangkok.
Penganalisis serantau menilai langkah Thailand menggantung perjanjian itu sebagai isyarat bahawa proses perdamaian amat rapuh, terutama selepas tujuh letupan dalam tempoh singkat mengancam kestabilan di kawasan sempadan yang sering menjadi titik panas, khususnya berhampiran Kuil Preah Vihear, tapak warisan dunia yang pernah mencetuskan pertikaian berdarah antara kedua-dua negara.
“Insiden ini jelas menunjukkan betapa rentannya keamanan di kawasan sempadan. Tanpa langkah segera untuk membina semula keyakinan, konflik ini boleh kembali memuncak,” kata seorang penganalisis keselamatan Asean di Bangkok.
Perjanjian Kuala Lumpur, yang disifatkan oleh Presiden Trump sebagai “kejayaan diplomatik penting di Asia Tenggara”, bertujuan mengurangkan ketegangan dan membina kerjasama ketenteraan antara kedua-dua pihak. Ia juga mengandungi komitmen terhadap pengunduran senjata berat, pembersihan periuk api, dan pembebasan tahanan perang.
Namun, perkembangan terbaru ini menimbulkan keraguan terhadap kemampuan kedua-dua pihak mengekalkan semangat perjanjian itu.
“Selagi kejadian seperti ini berlaku, tidak mungkin Thailand akan meneruskan kerjasama,” ujar Encik Siripong dalam satu kenyataan lanjutan. “Kami tidak akan mempertaruhkan nyawa anggota kami sementara pihak lain gagal menunjukkan komitmen terhadap keamanan.”
Penggantungan perjanjian damai itu turut menimbulkan kebimbangan di kalangan negara Asean lain, khususnya Malaysia yang menjadi tuan rumah rundingan tersebut. Ia dilihat sebagai satu ujian terhadap kemampuan Asean mengusahakan konflik dalaman serantau. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg