BANGKOK: Thailand menuntut permohonan maaf daripada Kemboja selepas menuduh negara jiran itu menanam periuk api baru yang mencederakan beberapa anggota tenteranya berhampiran sempadan, sehari selepas Bangkok menggantung perjanjian gencatan senjata yang dimeterai dengan pengantaraan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Encik Nikorndej Balankura, berkata pihaknya telah menghantar nota diplomatik rasmi kepada Phnom Penh berhubung insiden itu dan mendesak agar Kemboja mengambil tindakan segera.
“Kami mahu pihak Kemboja mengemukakan permohonan maaf dan mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab. Kami juga meminta jaminan agar kejadian sebegini tidak berulang,” katanya kepada media.
Menurut laporan tentera Thailand, letupan berlaku pada 11 November ketika pasukan rondaan sedang menjalankan pemeriksaan rutin di kawasan pertikaian berhampiran wilayah Si Sa Ket, menyebabkan seorang anggota kehilangan pergelangan kaki.
Kemboja menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa periuk api baru telah ditanam, dengan menyatakan bahawa letupan tersebut berpunca daripada sisa bahan letupan lama yang belum dibersihkan sejak konflik terdahulu.
“Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan Thailand berdasarkan semangat perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui,” kata Kementerian Pertahanan Kemboja dalam kenyataan balasnya.
Namun, kenyataan itu gagal meredakan kemarahan Bangkok. Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, berkata perjanjian damai yang ditandatangani di Kuala Lumpur bulan Oktober lalu kini digantung sepenuhnya.
“Perjanjian untuk membuka jalan damai telah berakhir bagi Thailand,” katanya semasa lawatan ke hospital tentera di Si Sa Ket untuk melawat empat askar yang cedera. “Kami tidak lagi akan melaksanakan mana-mana terma perjanjian itu. Thailand akan menentukan langkahnya sendiri.”
Beliau, yang juga Menteri Dalam Negeri dan ketua Parti Bhumjaithai, kelihatan sebak ketika berbual dengan askar yang cedera. Salah seorang daripada mereka kehilangan pergelangan kaki akibat letupan periuk api.
“Kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada angkatan tentera untuk mempertahankan kedaulatan negara,” ujar Encik Anutin lagi, disambut sorakan oleh anggota tentera yang hadir.
Menurut jurucakap kerajaan, Encik Siripong Angkasakulkiat, Bangkok kini sedang mempertimbangkan untuk membatalkan sepenuhnya perjanjian damai sekiranya Kemboja gagal memberi maklum balas terhadap bantahan rasmi Thailand.
“Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan operasi keselamatan di kawasan sempadan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Thailand, Encik Nattaphon Narkphanit, berkata semua syarat dalam perisytiharan bersama akan ditangguhkan serta-merta, termasuk pelan pembebasan 18 tahanan tentera Kemboja yang kini berada dalam tahanan Thailand.
Letupan terbaru itu merupakan insiden ketujuh dalam tempoh empat bulan, menyusul siri letupan pada Julai lalu yang mencetuskan konflik berdarah di sempadan dan menyebabkan 48 orang maut serta lebih 300,000 penduduk terpaksa berpindah sementara waktu.
Penganalisis berpendapat keputusan Thailand menggantung pelaksanaan perjanjian itu mencerminkan sentimen nasionalis yang tinggi dalam negara tersebut. “Isu sempadan Kemboja sangat sensitif bagi rakyat Thailand, dan kerajaan tidak mampu dilihat terlalu berlembut,” kata Encik Matthew Wheeler, penganalisis kanan Asia Tenggara di International Crisis Group, ketika mengulas perkembangan itu.
Thailand dan Kemboja telah berselisih faham selama lebih seabad mengenai beberapa titik sempadan yang tidak ditandakan dengan jelas sepanjang 817 kilometer, yang pertama kali dipetakan oleh Perancis ketika menjajah Kemboja pada tahun 1907.
Perjanjian gencatan senjata yang kini digantung itu, dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur, dirundingkan dengan campur tangan Presiden Donald Trump pada bulan Oktober lalu. Ia antara lain memperuntukkan penarikan keluar senjata berat dari kawasan sempadan antara 1 November hingga 31 Disember, serta usaha bersama pembersihan periuk api bagi memulihkan keamanan.
Selain itu, Thailand juga menuntut agar Kemboja membanteras sindiket penipuan siber yang beroperasi di wilayahnya, yang dipercayai melibatkan warganegara Thailand.
Namun, tindakan menggantung perjanjian itu mungkin menjejaskan rundingan perdagangan antara Bangkok dan Washington. Beberapa pegawai berkata, perjanjian perdagangan dengan Amerika disertakan dengan syarat bahawa kedua-dua negara mesti mengekalkan keamanan di sempadan.
Bagi Encik Anutin, keputusan menggantung perjanjian itu menunjukkan beliau tidak mahu berkompromi dalam hal keselamatan. “Keamanan hanya boleh dicapai apabila kedaulatan kita dihormati,” katanya tegas. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg