Topik diikuti
Pergi ke BHkuAsean gesa AS, Iran teruskan rundingan
Asean gesa AS, Iran teruskan rundingan
Asean gesa AS, Iran teruskan rundingan
MANILA: Negara Asia Tenggara menggesa Amerika Syarikat dan Iran supaya meneruskan rundingan damai bagi menamatkan konflik yang semakin meruncing, selepas perbincangan hujung minggu lalu gagal mencapai persetujuan.
Dalam satu kenyataan bersama pada 13 April, Menteri Luar negara anggota Asean menegaskan kepentingan usaha diplomasi bagi mengelakkan perang berlarutan.
“Kami menggesa Amerika dan Republik Islam Iran untuk meneruskan rundingan yang dapat membawa kepada penamatan konflik secara kekal serta keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau ini,” menurut kenyataan tersebut.
Asean turut mengalu-alukan gencatan senjata dua minggu yang diumumkan pada 8 April, namun menekankan ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih besar.
“Kami menyeru pelaksanaan penuh dan berkesan gencatan senjata bagi mencegah penderitaan dan korban jiwa berterusan,” kata para menteri.
Konflik yang bermula pada akhir Februari itu kini memasuki minggu ketujuh, dengan ketegangan meningkat susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk melaksanakan sekatan di Selat Hormuz selepas rundingan gagal.
Asean turut menekankan kepentingan memastikan keselamatan laluan strategik Selat Hormuz, yang menjadi nadi perdagangan tenaga global.
“Kami menyeru agar laluan selamat, tanpa gangguan dan berterusan bagi kapal serta pesawat di Selat Hormuz dipulihkan selaras dengan undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan tersebut.
Blok serantau itu menegaskan kebebasan pelayaran dan penerbangan perlu dipertahankan mengikut Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (Unclos), serta piawaian keselamatan antarabangsa.
Kenyataan tersebut turut memberi amaran bahawa gangguan di Selat Hormuz boleh menjejaskan aliran tenaga dan barangan penting, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi global.
Asean yang banyak bergantung kepada import minyak dari Asia Barat, melihat kestabilan laluan itu sebagai kritikal kepada keselamatan tenaga rantau ini.
Selain itu, Asean menggesa semua pihak supaya menunjukkan sikap menahan diri dan tidak mengambil tindakan yang boleh memburukkan keadaan.
“Kami menyeru semua pihak untuk mematuhi syarat gencatan senjata, menghentikan permusuhan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan,” menurut kenyataan itu.
Blok tersebut turut menegaskan kepentingan menyelesaikan pertikaian melalui cara aman, menghormati kedaulatan negara, serta melindungi orang awam dan prasarana awam dalam konflik bersenjata.
Pada masa sama, Asean menekankan dialog dan diplomasi kekal sebagai jalan terbaik untuk menyelesaikan konflik di Timur Tengah.
“Kami menegaskan kepentingan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, serta keperluan menghentikan permusuhan di semua medan konflik di Timur Tengah,” katanya.
Dalam masa sama, Asean turut memuji usaha Pakistan sebagai pengantara rundingan dan menggesa semua pihak terus bekerjasama bagi mencapai penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan. – Agensi berita.
