Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

WACANA

Asean usah ‘terjerat’ dengan pergolakan di Myanmar

Jul 16, 2023 | 05:30 AM



Kumpulan menteri ehwal luar Asean baru sahaja menamatkan sidang mereka di Jakarta, pada Jumaat lalu.

Selain pertemuan sesama mereka, kumpulan menteri itu juga mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan antaranya dari Amerika Syarikat, China, India dan beberapa negara utama lain.

Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, turut menghadiri Mesyuarat Menteri Luar Asean (AMM) ke-56 itu yang antara lain menyemak semula usaha Pembangunan Masyarakat Asean dan menegaskan semula peranan utama Asean serta perpaduan anggotanya di sebalik sekitaran serantau dan sejagat yang terus mencabar.

Kali ini, Menteri Luar Timor-Leste, Encik Bendito dos Santos Freitas, menghadiri mesyuarat Asean buat kali pertama sebagai pemerhati. Ini adalah perkembangan baik bagi Asean dalam memperkukuh kedudukannya di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, kumpulan menteri luar Asean juga berkesempatan membincangkan pemulihan pascapandemik di rantau ini serta beberapa isu lain termasuk penyepaduan ekonomi, kemajuan dalam membina landasan dan prasarana bagi pembangunan jangka panjang.

Sememangnya, itulah harus menjadi tumpuan berterusan blok Asean yang turut berpeluang menemui ramai rakan dialog dari pelosok dunia yang antaranya merupakan ekonomi besar dunia seperti Amerika, China, Jepun dan India.

Selain kerjasama ekonomi, tidak dapat tidak, isu Myanmar juga menjadi perhatian, sejak pasukan tentera negara itu merampas kuasa daripada pemerintah awam pada Februari 2021.

Kehadiran menteri luar Myanmar masih tidak dibenarkan memandangkan junta tentera negara itu masih enggan memenuhi komitmennya untuk melaksanakan konsensus lima perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat Asean pada April 2021 di Jakarta.

Sehingga kini, tiada kemajuan ketara dalam rancangan damai itu yang bertujuan meredakan keganasan dan pergolakan berdarah yang telah membunuh ribuan nyawa di Myanmar.

Malah, kejadian keganasan semakin meningkat dan terus menguasai perbincangan mesyuarat pemimpin Asean sejak lebih dua tahun lalu.

Keadaan di negara itu masih huru-hara. Ribuan orang awam terkorban dalam persengketaan tersebut dengan keadaan ekonomi negara itu pula terus merudum.

Setelah lebih dua tahun, tampaknya pemimpin junta tentera Myanmar kurang berminat melaksanakan konsensus lima perkara tersebut, walaupun sudah ada beberapa daya usaha yang dilakukan pihak Asean termasuk lawatan Duta Khas Asean ke negara itu.

Justeru, Asean tidak harus memberi tumpuan berlebihan atau ‘terjerat’ dengan keadaan berterusan dan berlanjutan di Myanmar, mentelah dengan pendirian junta tentera yang tidak banyak memberi kerjasama.

Sewajarnya, Asean mesti terus memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama bidang ekonomi, sosial dan pelbagai bidang lain dalam kalangan anggotanya yang akan mendorong rantau ini untuk membangun lebih pantas dan akan hanya menguntungkan warganya yang berjumlah lebih 660 juta.

Ekonomi Asean, yang kini dianggarkan sebagai ketiga terbesar di Asia dan kelima terbesar di dunia, telah menunjukkan potensi besar.

Ini telah pun menarik perhatian pelabur serantau dan antarabangsa dengan banyak syarikat utama dunia telah melabur di rantau ini atau menunjukkan minat berbuat demikian, antaranya dalam bidang ekonomi digital dan hijau serta bidang baru yang sedang meningkat.

Asean perlu terus merebut peluang ini dan memperkukuh kerjasama antara anggota demi menjadikan rantau ini sebagai destinasi syurga pelaburan.

Namun ini bukan bermakna penderitaan penduduk Myanmar dilupakan begitu sahaja. Bantuan kemanusiaan mesti diteruskan demi membantu penduduknya yang terjejas teruk dek persengketaan ganas dan berdarah.

Selain itu, usaha juga mesti diteruskan untuk memujuk semua pihak agar mencari huraian damai yang akan membantu negara itu menghentikan kehilangan jiwa dan harta yang besar.

Usaha damai Myanmar memang tidak harus dihentikan, namun isu negara itu juga tidak harus secara berterusan menjadi isu utama sehingga menjejas atau mengambil terlalu banyak perhatian Asean daripada usaha untuk memajukan rantau menjadi rantau yang lebih makmur dan maju.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >