Askar Thailand hilang kaki akibat letupan periuk api di sempadan Kemboja
Askar Thailand hilang kaki akibat letupan periuk api di sempadan Kemboja
BANGKOK: Seorang anggota tentera Thailand kehilangan kaki kanannya selepas terpijak periuk api di kawasan sempadan yang dipertikaikan dengan Kemboja pada 27 Februari ketika gencatan senjata rapuh masih bertahan selepas berbulan-bulan pertempuran rentas sempadan.
Tentera Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku sekitar waktu subuh di wilayah Surin, berhampiran sempadan kedua-dua negara. “Askar itu cedera parah dan kehilangan kaki kanan selepas terpijak periuk api,” menurut kenyataan tentera.
Mangsa dikenali sebagai Prebet Detchsak Tri-kham. Beliau mengalami kecederaan serpihan logam serius pada lengan kiri dan kaki kiri.
Letupan berlaku pada 6.44 pagi, 27 Februari, di kawasan operasi Kompeni Infantri Batalion Infantri ke-233 di Pangkalan Erawan. Pasukan perubatan tentera memberi rawatan awal di lokasi sebelum beliau dikejarkan ke Hospital Kabcheang untuk rawatan lanjut.
Pihak berkuasa kini memantau keadaan mangsa dan menjalankan siasatan bagi menentukan punca kejadian.
Insiden berlaku ketika hubungan Thailand dan Kemboja masih tegang walaupun kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata sementara Disember lalu. Kedua-dua pihak sebelum ini saling menuduh melanggar gencatan senjata melalui tembakan merentas sempadan dan serangan mortar.
Bangkok turut menuduh tentera Phnom Penh menanam periuk api baharu di kawasan pertikaian.
Namun pemeriksaan awal tentera Thailand mendapati bahan letupan itu kemungkinan bukan baru dipasang. “Pemeriksaan awal menunjukkan periuk api ditanam jauh dalam tanah liat dan ditutup daun, menandakan ia bukan ditanam baru,” kata tentera Thailand.
Sempadan sepanjang kira-kira 800 kilometer antara Thailand dan Kemboja telah lama menjadi titik panas sejak ditentukan pada era penjajahan Perancis lebih satu abad lalu.
Kawasan itu masih dipenuhi bahan letupan tidak meletup tinggalan peperangan lama, menjadikan rondaan tentera berisiko tinggi walaupun tanpa pertempuran aktif. Sejak musim panas 2025, puluhan orang terbunuh dalam beberapa gelombang konflik di kawasan hutan sempadan itu.
Pada kemuncak pertempuran Julai dan Disember lalu, lebih sejuta penduduk awam terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing. Di bawah perjanjian Disember, kedua-dua negara berjanji menghentikan tembakan, membekukan pergerakan tentera dan bekerjasama membersihkan periuk api.
Namun insiden letupan terbaru menimbulkan kebimbangan bahawa keadaan keselamatan di sempadan masih jauh daripada stabil. Walaupun tembakan besar sudah berkurangan, risiko daripada bahan letupan lama terus mengancam anggota keselamatan dan penduduk setempat, mengekalkan ketegangan antara dua jiran Asia Tenggara itu pada tahap sensitif. - Agensi berita

