Letupan baru periuk api uji gencatan senjata rapuh Thai-Kemboja
Letupan baru periuk api uji gencatan senjata rapuh Thai-Kemboja
BANGKOK: Satu letupan periuk api telah mencederakan seorang askar Thailand berhampiran sempadan Kemboja, dalam satu insiden yang berisiko menjejaskan gencatan senjata yang rapuh antara dua negara jiran Asia Tenggara itu.
Letupan terbaru itu berlaku di wilayah Si Sa Ket, yang bersempadan dengan Kemboja.
Encik Sitthichai Chaiwong, ketua operasi dan maklumat Tentera Diraja Thailand, menyatakan pada 11 Februari bahawa askar itu mengalami kecederaan parah.
Tentera Thailand berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa askar itu dibawa ke hospital dan maklumat lanjut akan menyusul kemudian.
Letupan itu berlaku selepas beberapa minggu keadaan tenang susulan gencatan senjata pada 27 Disember, yang dicapai selepas pertempuran baru meletus di sepanjang sempadan 800 kilometer kedua-dua negara.
Pertempuran pada Julai dan sekali lagi pada Disember telah mengorbankan berpuluh-puluh orang dan memaksa ratusan ribu penduduk meninggalkan rumah mereka.
Insiden terbaru itu boleh merumitkan usaha untuk menstabilkan salah satu pertikaian sempadan paling tidak menentu di Asia Tenggara.
Kedua-dua pihak telah berulang kali menuduh satu sama lain kerana melanggar terma gencatan senjata.
Ini adalah kali kedua letupan periuk api berlaku ketika ketegangan antara kedua-dua negara masih belum reda.
Letupan pertama berlaku pada 11 November ketika pasukan tentera Thailand sedang menjalankan pemeriksaan rutin di kawasan pertikaian berhampiran wilayah Si Sa Ket, menyebabkan seorang anggota kehilangan pergelangan kaki.
Menyusuli kejadian itu, Kemboja menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa periuk api telah ditanam, dengan menyatakan bahawa letupan tersebut berpunca daripada sisa bahan letupan lama yang belum dibersihkan sejak konflik terdahulu.
Namun, Thailand tetap menuntut permohonan maaf daripada Kemboja selepas menuduh negara jiran itu menanam periuk api baru yang mencederakan beberapa anggota tenteranya berhampiran sempadan, sehari selepas Bangkok menggantung perjanjian gencatan senjata yang dimeterai dengan pengantaraan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Encik Nikorndej Balankura, berkata pihaknya telah menghantar nota diplomatik rasmi kepada Phnom Penh berhubung insiden itu dan mendesak agar Kemboja mengambil tindakan segera.
Menurut jurucakap kerajaan, Encik Siripong Angkasakulkiat, Bangkok kini sedang mempertimbangkan untuk membatalkan sepenuhnya perjanjian damai sekiranya Kemboja gagal memberi maklum balas terhadap bantahan rasmi Thailand.
“Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan operasi keselamatan di kawasan sempadan,” katanya. - Agensi berita


